Antara boikot dan peluang ekonomi tempatan
Saya bukanlah peminat burger McD.
Kalau ikut selera saya, burger tepi jalan jauh lebih sedap. Lagi-lagi burger oblong yang mirip Property Burger McDonald’s. Hehe.
Dulu sebelum kempen boikot hujung tahun 2023, kalau makan pun jarang-jarang. Mungkin hanya dua hingga tiga bulan sekali. Itu pun sebab anak-anak ajak.

Sepanjang tahun 2024, memang saya tidak pernah singgah. Ambil kesempatan musim boikot ini untuk tidak membawa anak-anak ke restoran makanan segera.
Ia menjadi alasan kukuh untuk menolak permintaan anak-anak.
Setiap kali anak kecil ajak, saya akan respon;
“Eh, bukan boikot ke?”
Alhamdulillah, strategi berjaya.
Namun begitu, agak terkilan juga apabila McDonald’s Malaysia turut diboikot atas sentimen dasar sentimen.
Betul, McDonald’s Malaysia perlu membayar yuran francais kepada HQ, tetapi apa yang kita dapat di Malaysia sebenarnya jauh lebih besar:
Peluang pekerjaan untuk rakyat.
Peluang perniagaan.
Sumbangan kepada ekonomi tempatan.
Peluang pekerjaan untuk OKU.
Sumbangan kepada misi kemanusiaan.

Malah, sumbangan zakat juga besar.
Semua ini datang daripada operasi McDonald’s Malaysia.
Malah zakat itu dibayar selepas McDonald’s Malaysia diambil alih oleh anak syarikat Reza Group pada 2018.
Sebelum itu ia bukan milik orang Islam.
Memang benar, ada insiden McDonald’s Israel menyumbang kepada IDF, tetapi itu langsung tiada kaitan dengan McDonald’s Malaysia.

Setiap negara mempunyai operasi dan polisi masing-masing.
Apabila ramai mendesak McDonald’s Malaysia mengeluarkan kenyataan sokongan kepada Palestin, mereka sudah pun melakukannya.

Apabila diminta memberi sumbangan, mereka juga sudah melaksanakannya. Namun, tetap juga diboikot.
Hakikatnya, dalam senarai BDS Malaysia (Boycott, Divestment, Sanctions), McDonald’s tidak disenaraikan sebagai entiti utama yang perlu diboikot.
Cuma ada sedikit salah faham apabila McDonald’s Malaysia mengancam untuk menyaman BDS Malaysia. Harap mereka tidak meneruskannya. Jika tidak, situasi ini mungkin akan mengundang lebih banyak kemarahan.

Mungkin kita perlu lebih bijak membezakan mana musuh, mana sekutu.
Jangan sampai usaha boikot ini memakan diri, sedangkan manfaat yang lebih besar sebenarnya adalah untuk kita sendiri.
Suka saya bawakan kisah Saidina Uthman yang membeli telaga milik seorang Yahudi.
Ketika umat Islam di Madinah menghadapi krisis air, satu-satunya sumber air ialah Telaga Rummah, yang dimiliki oleh seorang Yahudi. Beliau mengenakan harga tinggi untuk air, menyebabkan penduduk Madinah tertekan.
Rasulullah SAW menawarkan ganjaran syurga kepada sesiapa yang sanggup membeli telaga itu untuk manfaat umat Islam. Saidina Uthman tampil dengan strategi bijak, membeli separuh hak milik telaga dan membenarkan umat Islam mengambil air secara percuma pada gilirannya.
Melihat keuntungannya terjejas, Yahudi itu akhirnya menjual baki hak milik telaga kepada Saidina Uthman. Beliau kemudian mewakafkan telaga itu, menjadikannya sumber air percuma untuk semua.
Mungkin selepas ini Reza Group boleh mengusulkan dan mendesak McDonald’s Corporation Ameri Syarikat untuk membeli lesen francais mereka tanpa perlu lagi membayar yuran tahunan untuk mengelakkan rangkaian mereka di negara-negara umat Islam terus mencatatkan kerugian
Atau Gerbang Alaf yang sekarang memiliki saham McDonald’s Malaysia, boleh mengambil inisiatif membina jenama sendiri sebagai alternatif McDonald’s yang masih menerima kesan akibat boikot.
Saya tahu ia akan ada implikasi dari sudut perundangan namun mungkin ada jalan yang lebih selamat contohnya menubuhkan anak syarikat lain dan membeli mana-mana syarikat lain, Burgerman contohnya.
Apapun saya pasti ada hikmah di sebalik apa yang terjadi.
Antara lain, beberapa brand Muslim mula naik seperti Darsa Fried Chicken, Muiz Hot Chicken, Matt Coffee, Burgerman dan sebagainya.
Besar harapan kita untuk melihat ekonomi Muslim di negara kita terus maju dan berkembang.
Sumber dari FB Afyan Mat Rawi
............................................................
Buku F.I.R.E - FINANCIAL INDEPENDENCE RETIRE EARLY
RM49.00
Harga termasuk kos penghantaran