fbpx

Apakah sistem ekonomi islam

  • 2 years ago
  • 5Minutes
  • 824Words
  • 435Views

APAKAH SISTEM EKONOMI ISLAM?

Pakai dinar dirham barulah dikira sistem ekonomi Islam?

Tahukah anda, Islam tidak datang dengan sistem tapi datang dengan prinsip?

Nabi Muhammad membawa Islam di bumi Arab, dapat disesuaikan di mana sahaja, dan pada bila-bila masa. Ia bukan sesuai hanya untuk di tanah Arab malah di seluruh dunia dari dahulu hingga kini.

Islam bukan datang dengan teknikal dan sistem tapi Islam datang dengan prinsip.

Islam tak datang memperkenalkan pakaian jubah atau serban. Tapi Islam datang memperkenalkan pakaian yang menutup aurat.

Nabi Muhammad tidak memperkenalkan jubah, serban, purdah sebagai “pakaian Islam”. Ia adalah memang tradisi tanah Arab Quraisy sebelum kelahiran Rasulullah lagi.

Nak pakai t-shirt, jaket, kebaya, singlet, jubah, kot bertali-leher, skirt dan sebagainya tidak ditetapkan oleh Islam, yang penting ia menutup aurat dengan sempurna.

Pakai jubah ketat dan tudung tak cukup kain yang hanya membalut aurat masih tidak dikira sempurna dan masih tidak patuh syariah untuk dianggap menutup aurat.

Selagi mana menutup aurat, selagi itulah ia dipanggil “pakaian Islam”, tidak semestinya pakai jubah, serban, purdah barulah dikira Islam tanpa menafikan semua itu adalah sunnah sebab ia dilakukan oleh Rasulullah.

Islam juga tidak datang memperkenalkan kurma, kismis atau kambing, tapi Islam datang memperkenalkan makanan halalan dan tayyiban.

Kurma, kismis, kambing adalah makanan yang wujud di tanah Arab ketika kelahiran Rasulullah di sana.

Tanpa kurma, daging, kismis, kambing kita masih boleh menikmati “makanan sunnah” selagi mana ia halal dan tayyiban walaupun namanya chicken chop, takoyaki, hotdog, atau pun rendang.

Jika mentekedarah kambing golek, minum air kurma sampai perut buncit dan mendatangkan penyakit, itu bukan lagi sunnah walaupun kambing dibela di kandang yang dibaca Al-Quran 24 jam dan disembelih oleh hafiz Al-Quran.

Jadi berbalik kepada persoalan “apakah sistem ekonomi Islam?”

Islam tak datang dengan memperkenalkan dinar dirham. Islam datang dengan muamalat halal tanpa riba.

Dinar dan dirham sudah lama wujud digunakan sejak zaman kerajaan Rom dan Parsi, sebelum kelahiran Nabi Muhammad.

Nabi Muhammad diturunkan Allah untuk memisahkan yang hak dan yang batil.

Islam menunjuk ajar urusniaga riba yang diamalkan dalam masyarakat Arab dan berikan panduan bagaimana urusniaga patuh syariah menurut Islam.

Prinsip inilah, jika ia dipanggil sebagai sistem, ialah sistem ekonomi Islam yang sebenar.

Urusniaga yang patuh syariah.

Penggunaan dinar dan dirham tidak menjadikan ia automatik patuh syariah, bebas riba dan ekonomi Islam.

Riba yang disebut-sebut oleh Rasulullah ialah riba yang menggunakan transaksi urusniaga emas, perak, gandum, barli, kurma dan garam.

Lihat hadith-hadith yang menerangkan tentang beza riba dengan bukan riba, semuanya berkaitan kontrak. Tidak ada satu pun hadith berkenaan riba yang menunjukkan perbezaan dari sudut kesan.

Nabi ajar tukar kurma dengan kurma mestilah sama berat dan perlu secara on the spot.

Jika tukar kurma berbeza berat, ia adalah riba sekalipun berbeza gred dan harga yang sama.

Dalam satu insiden apabila sahabat memberitahu Nabi bahawa dia menukar kurma yang tidak sama berat, Nabi terus tegur dan katakan ianya adalah riba. Nabi minta sahabat supaya jual kurma terlebih dahulu barulah beli balik kurma yang baru – hasilnya tetap sama dengan urusniaga riba tadi.

Ada banyak lagi hadith-hadith tentang riba yang menunjukkan perkara ini. Lebih mengejutkan, tak ada satu pun ayat Al-Quran dan hadith yang menunjukkan bahawa riba itu menindas.

Menindas atau tidak, bukan kayu ukur riba atau tidak.

Malah soal harga juga bukan penentu riba atau tidak.

Tidak ada pun satu hadith atau ayat Al-Quran yang menunjukkan riba disebabkan harga tinggi atau rendah.

Malah pada zaman Nabi pun berlaku kenaikan harga barang.

Ada hadith yang menunjukkan kambing dijual dengan harga sekali ganda harga beli sebaik sahaja selesai urusniaga pertama.

Ada juga hadith hartanah yang dijual 9 kali ganda daripada harga beli!

Kalau ada orang Melayu di Tanah Arab ketika itu, mungkin akan terkejut dengan mengatakan “harga Yahudi” jika mengetahui ada kambing yang dijual sekali ganda harga beli, dan ada hartanah yang dijual 9 kali ganda daripada harga beli.

Mahal murah bukan penentu halal haram, apatah lagi riba atau tidak.

Penentu riba atau tidak ialah bagaimana kontrak itu terjadi.

Jadi, secara asasnya tiada masalah pun perkara-perkara teknikal dalam perbankan konvensional dikekalkan dalam Perbankan Islam, selagi mana elemen riba itu berjaya dibuang.

Ia tidak menjadikan Perbankan Islam itu ada riba disebabkan ada teknikal yang masih sama dengan teknikal perkara perbankan konvensional seperti Rules 78, reducing balance methode, OPR dan sebagainya.

Yang membezakan adalah kontrak tadi. Kesan akhir tetap sama, iaitu hutang.

Sejak zaman dahulu, hutang itu sifatnya membebankan sekiranya tidak mampu bayar balik.

Sejak zaman Nabi, itulah sifat hutang.

Malah ada kisah sahabat Rasulullah yang hidup keluh kesah akibat bebanan hutang. Sudah tentu hutang yang dibuat oleh sahabat itu adalah hutang yang halal tanpa riba.

Hutang secara fitrahya adalah membebankan tapi ia adalah perkara halal.

Ayat yang paling panjang dalam Quran adalah berkenaan hutang.

Jika ada orang menghadapi masalah hutang, majoriti puncanya adalah kerana tidak menguruskan kewangan dan hutang dengan baik.

Ada orang berjaya mencipta aset dan kaya raya apabila menggunakan fasiliti hutang bank, dan dalam masa sama ada orang yang terbeban dan jatuh bankrap disebabkan hutang yang sama.

Apakah beza mereka? Ilmu kewangan.

Sumber dari FB Page Afyan Mat Rawi

............................................................
Buku FIRE
Buku F.I.R.E - FINANCIAL INDEPENDENCE RETIRE EARLY
RM49.00
Harga termasuk kos penghantaran

www.BukuFIRE.com

Apa komen Saudara/anda tentang tulisan ini?

Recommended
Dipetik dari FB muamalat.my https://www.facebook.com/muamalat.my/posts/716984980429068?tn=%2CO*F Isu Pelaburan IRPS dan Pelaburan…