fbpx

Benarkah Perbankan Islam Tak Ada Risiko Dan Tidak Akan Rugi?

  • 3 years ago
  • 5Minutes
  • 867Words
  • 441Views

Ada 2 jenis jawapan saya boleh bagi.

Jawapan 1 Jawab dengan cara sentap

Kalau betul tak rugi dan tak ada risiko, buat la bank sendiri. Kumpulkan geng-geng dan NGO yang menolak perbankan Islam di Malaysia dan buat bank sendiri. Kemudian boleh lantik Sheikh Imran Hosein jadi penasihat syariah.

Saya sokong 100%

Saya nak jadi pelanggan pertama. Saya tengah survey nak beli rumah Alif Shukri harga 6 juta tu, dan bayar balik 6 juta dalam masa 30 tahun akan datang. Kemudian kalau saya bayar lambat, biarkan je. Barulah Islamic.

Kalau saya tak bayar pun, jangan minta balik. Barulah tak jadi Yahudi.

Ada sesiapa nak jadi pelanggan kedua? Eh, terpanjang pula jawapan ni.

Jawapan 2 lagi panjang

JAWAPAN 2: Jawapan panjang lebar dan lebih ilmiah

Bisnes utama bank adalah menyediakan perkhidmatan hutang. Inilah hakikat yang perlu kita sedar. Bank bukan jabatan kebajikan. Ia adalah entiti bisnes yang berorientasikan untung.

Bank konvensional menyediakan perkhidmatan tersebut secara tidak patuh syariah. Manakala perbankan Islam pula menyediakan perkhidmatan tersebut secara patuh syariah.

Benarkan industri perbankan tidak akan rugi?

Jawapannya, TIDAK.

Dalam sejarah Malaysia dan seluruh dunia, pernah ada bank yang rugi dan ditutup operasinya dan diambil alih oleh bank lain. Ketika krisis ekonomi sub-prima 2007, beberapa bank yang ditutup operasinya di Amerika Syarikat
Ini merupakan bukti bahawa bank pun tetap ada risiko rugi.

Bank tetap ada kos operasinya. Kos sewa bangunan, kos sewa pejabat, kos gaji staf, kos gaji CEO, kos marketing, kos iklan, kos perkeranian, kos alat tulis, kos alatan pejabat, kos perabot, kos signboard, kos peguam, kos audit, dan bermacam-macam kos tadi.

Naif sangat untuk kita katakan bahawa bank tidak ada kos dan tidak risiko rugi. Pemikiran yang terlalu simplistik dan tidak berpijak di bumi yang nyata.
Ia bukan semudah bagi hutang dan kutip balik hutang. Dalam tempoh hutang tersebut, ada banyak kos terlibat dan tetap ada risiko.

Risiko bank yang paling besar ialah risiko tidak bayar hutang atau disebut sebagai Non Performing Loan (NPL) atau di dalam perbankan Islam disebut sebagai Non Performing Financing.

Cuba bayangkan, kita memberi hutang sebanyak RM200,000 dalam masa 30 tahun, maka sepanjang tempoh 30 tahun itulah risiko itu berjalan. Sebab itu proses permohonan kelayakan untuk mendapatkan pinjaman atau pembiayaan ini mempunyai proses dan kriteria tertentu.

Sebelum meluluskan sesuatu permohonan, bank akan melakukan semakan pekerjaan, berapa pendapatan, berapa simpanan yang ada, umur, rekod hutang, CCRIS, komitmen bulanan sedia ada, hutang-hutang lain dan sebagainya. Ia adalah bertujuan untuk mengelakkan berlakunya NPL tadi.

Jika melepasi syarat minimum, barulah diluluskan. Kemudian akan ada kontrak perjanjian antara penghutang dengan pemberi hutang. Kontrak inilah yang bakal membezakan antara kontrak patuh syariah dengan kontrak tidak patuh syariah.

Kenapa bank buat semua itu? Sebab itulah yang menentukan risiko balik kepada bank.

Boleh lihat statistik NPL di Malaysia, bank yang paling redah kadar NPLnya ialah yang paling ketat permohonannya. Bank yang mempunyai NPL yang tinggi, selalunya proses permohonannya lebih mudah.

Kontrak inilah yang mengikat antara penghutang dengan bank selama tempoh pinjaman atau pembiayaan tersebut. Dan kontrak inilah yang membezakan ia mengandungi riba atau tidak.

Ada yang kata “tukar kontrak je pun”.

Ia bukan sekadar”tukar kontrak je”. Dalam istilah muamalat ia disebut sebagai “aqad”.

Kita bincang topik itu banyak kali dalam posting lain. Boleh skrol tulisan-tulisan saya lain berkaitan perkara ini.

RUMUSAN

Selalunya pandangan sebegini datang daripada mereka yang anti terhadap perbankan Islam. Saya pernah cabar mereka dan kumpulan mereka untuk menubuhkan sendiri perbankan Islam mengikut acuan mereka tanpa terikat dengan acuan yang sedia ada sekarang yang pada pandangan mereka adalah acuan Yahudi, Rostchild, kapitalis, illluminati, dan segala macam teori konspirasi yang ada.

Jika nak kritik bank Islam, kritiklah. Tak ada masalah langsung jika nak kritik. Bank Islam bukan sempurna yang maksum daripada sebarang kelemahan.
Tapi ia bukan alasan untuk kita menghina dan memfitnah alim-ulama dalam bidang muamalat dan kewangan Islam yang mengharuskan perbankan Islam. Untuk makluman, semua fatwa-fatwa di dunia Islam mengharuskan perbankan Islam.

Adakah kita hendak katakan alim ulama muktabar ini berpakat hendak membawa umat Islam menyeleweng daripada ajaran Islam dan meninggalkan Quran dan Hadith?

Ada tulisan-tulisan mereka yang menggelarkan para alim ulama ini sebagai ejen Zionis. Kemudian memperlekehkan perbankan Islam dan takaful dengan panggilan selamik beng dan takafool. Saya banyak kali ditag dalam posting seorang yang selalu menulis sambil menghina perbankan Islam dan takaful, tapi saya malas nak respons di sana kerana tidak mahu mempopularkan orang-orang sebegitu.

Ulama sandaran mereka dari dulu hingga sekarang ialah Sheikh Imran Hosien. Apabila disemak latar belakang, majoriti tiada pun mempunyai pendidikan dalam bidang kewangan Islam. Berguru melalui Yuoutube sahaja subjek “back-door riba” tersebut.

Tapi apabila dicabar wujudkan sendiri model kewangan Islam mengikut acuan sendiri, tak mampu. Hanya pandai sembang sahaja.

Untuk makluman, fatwa-fatwa yang ada daripada para alim ulama seluruh dunia mengharuskan perbankan Islam. Dengan fatwa tersebut, umat Islam boleh pilih untuk bebas daripada riba melalui perbankan konvensional.

Adakah fatwa tersebut salah? Ada kemungkinan, sebab mereka juga manusia macam kita. Tapi nabi sebut, para alim ulama yang berijtihad tetap dapat 1 pahala jika ijtihad mereka salah, jika betul dapat 2 pahala.

Saksikan penerangan secara live; “Sama je ke perbankan Islam dengan perbankan konvensional?” oleh Dr Ahmad Sufyan Che Abdullah (pakar muamalat, ahli majlis fatwa dan founder muamalat.my)

Afyan Mat Rawi, IFP
www.bukuBMW.com <—-Belajar ilmu kewangan secara bermodul menggunakan buku Bijak Merancang Wang #BukuBMW

Sumber dari FB Afyan Mat Rawi, IFP

............................................................
Buku FIRE
Buku F.I.R.E - FINANCIAL INDEPENDENCE RETIRE EARLY
RM49.00
Harga termasuk kos penghantaran

www.BukuFIRE.com

Apa komen Saudara/anda tentang tulisan ini?

Recommended
AllahuAkbar! Subhanallah! Alhamdulillah! Allah Maha Besar! Maha Suci Allah! Segala…