fbpx

Buat hibah tapi masih boleh dicabar? ini jawapan saya…

  • 3Minutes
  • 460Words
  • 12Views

Dalam sesi di Astro Awani semalam, ada beberapa persoalan diajukan, antaranya;

1. Kenapa hibah boleh dicabar?

2. Bagaimana nak elakkan hibah daripada dicabar?

Sesuatu yang BOLEH DICABAR bukan bermaksud ia TAK BAGUS.

Ia juga bukan bermaksud ia tak sah atau tak berkesan.

Perlembagaan Malaysia pun ada orang cabar.

Undang-undang Allah pun ada yang manusia cabar, apatah lagi dokumen yang dibuat oleh manusia.

Apabila kita sebut sesuatu itu “boleh dicabar”, ia bukan bermaksud ia salah atau tidak sah.

Sebaliknya, ia menunjukkan bahawa dalam kerangka kedaulatan undang-undang negara, setiap individu diberi ruang dan hak untuk membawa sebarang pertikaian ke muka pengadilan jika mereka rasa tidak puas hati.

Ini adalah prinsip asas keadilan, memberi peluang kepada semua pihak untuk didengar dan dinilai oleh institusi kehakiman.

Bukan semua cabaran akan menang, dan bukan semua yang dibawa ke mahkamah itu akan menang.

Yang penting, ada ruang terbuka untuk menyelesaikan pertikaian secara sah dan adil dan pihak pencabar mempunyai asas dan locus standi yang kukuh.

Apabila dibawa ke mahkamah, hakim akan tentukan keputusannya.

Banyak kes pusaka umat Islam dibawa ke mahkamah. Contohnya:

1. Tanah yang sudah diwakaf tapi dijual semula.

2. Tanah dihibah kepada anak, tapi si ayah jual balik, lalu anak cabar.

3. Anak angkat cabar hak pusaka.

4. Anak bawa ibu kandung ke mahkamah kerana tak puas hati wasiat arwah ayah.

5. Waris cabar pengiraan faraid.

6. Anak-anak tolak tuntutan harta sepencarian ibu.

7. Hibah kepada anak tunggal dibantah adik-beradik si mati.

8. Wasiat kepada masjid dipertikai kerana kurangkan hak faraid anak-anak.

Jadi apabila terjadi kes hibah takaful dicabar, ia bukan sesuatu yang pelik.

Ia jadi kecoh sebab selama ini ramai percaya ia tidak boleh dicabar. Jadi apabila berlaku, ramai yang terkejut.

Sedangkan pembahagian faraid yang wajib pun ada waris tidak berpuas hati dan membawa kes ke mahkamah.

Maka, tidak perlu risau jika kita telah menyediakan dokumentasi hibah harta atau melanggan hibah takaful.

Bukan semua hibah akan dicabar.

Dan jika dicabar sekalipun, belum tentu pihak pencabar akan menang.

Kita tidak mampu mengawal perasaan dan hati orang lain, termasuk ahli keluarga sendiri.

Oleh itu, jalan terbaik untuk mengelakkan perasaan tidak puas hati dalam kalangan ahli waris ialah dengan mendidik mereka agar tidak terlalu mencintai dunia dan reda dengan apa yang ada.

Tapi dalam realiti sekarang, ia sesuatu yang sangat mencabar dan sukar, tapi tidak mustahil.

Justeru dengan membuat persediaan awal melalui perancangan pusaka, hibah, wasiat dan sebagainya yang dilengkapi dengan ilmu dan kesedaran kepada ahli keluarga, mudah-mudahan ia boleh melancarkan urusan pengurusan pusaka kita kelak.

Saya akhiri dengan peringatan Allah di akhir ayat 11 Surah An-Nisa yang bermaksud:

“lbu-bapa kamu dan anak-anak kamu, kamu tidak mengetahui siapa di antaranya yang lebih dekat serta banyak manfaatnya kepada kamu (Pembahagian harta pusaka dan penentuan bahagian masing-masing seperti yang diterangkan itu ialah) ketetapan dari Allah; sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.”

Sumber dari FB Afyan Mat Rawi

............................................................
Buku FIRE
Buku F.I.R.E - FINANCIAL INDEPENDENCE RETIRE EARLY
RM49.00
Harga termasuk kos penghantaran

www.BukuFIRE.com

Tags:

Apa komen Saudara/anda tentang tulisan ini?

Recommended
HIBAH Perkataan Arab yang bermaksud pemberian secara sukarela, tanpa balasan.…