Kematian Yang Dicemburui

“Kita tak boleh memilih cara kita mati. Tapi kita boleh memilih cara kita hidup.”
Saya tak ingat ini kata-kata siapa. Kalau tak silap, kata-kata Ustaz Pahrol Mohamad Juoi.
Apabila membaca kisah “Kematian Yang Dicemburui” yang viral ini, saya tiba-tiba teringatkan kata-kata tersebut.
Kisah berkenaan seorang bilal yang dikenali sebagai Abang Rosliman atau Abang Man yang meninggal dunia ketika azan sangat menginspirasikan.
Bukan calang-calang manusia yang Allah pilih menghadap-Nya dalam keadaan yang begitu mulia.
Meninggal dunia ketika azan! Boleh dibilang dengan jari mereka yang meninggal dunia dalam keadaan begitu di seluruh dunia.
Sudah tentu ia kematian yang sangat dicemburui kita semua yang masih hidup.
Satu penamatan hidup dan cara mati yang baik ditentukan Allah ke atas Abang Man.
Mati dalam keadaan begitu sempurna, di dalam tempat yang begitu mulia di dalam surau dengan keadaan berwuduk, melaungkan takbir lengkap dengan syahadah, menutup aurat, sambil didengari oleh ribuan umat Islam setempat – satu kematian yang sanagt dicemburui.
Yang menentukan cara mati sebegitu bukanlah diri beliau, tetapi Allah. Tapi cara hidup Ustaz itulah yang membawa kepada cara kematian begitu.
Mana mungkin orang yang tidak pernah melaungkan azan, mati dalam keadaan azan.
Ada yang lebih besar dan penting daripada cara mati, iaitu cara hidup.
Kita tak mampu untuk memilih cara mati, tapi kita ada peluang yang sangat luas untuk memilih cara hidup.
Ada orang berharap agar mati di bulan Ramadhan, mati di dalam masjid dan sebagainya. Namun cara mati, tidak akan sekali-kali menentukan cara dibangkitkan kembali kelak.
Sebetulnya, cara hidup akan menentukan cara mati, dan cara mati akan menentukan cara dibangkitkan kembali, dan cara dibangkitkan kembali akan menentukan syurga dan neraka.

Ingar Mati adalah tuntutan agama

Sebab itu Nabi pernah menyebut yang bermaksud bahawa sebaik-sebaik manusia adalah mereka yang sentiasa mengingati mati.
Manakala Saidina Ali pernah menyebut; Berkerjalah seolah-olah kamu akan hidup selama-lamanya, dan beribadatlah kamu seolah-olah akan mati esok.
Orang yang sentiasa mengingati mati akan sentiasa menyediakan diri melakukan perkara terbaik setiap masa.
Tidak kira waktu bekerja, waktu berehat, waktu berFB, waktu makan, waktu tidur, waktu memandu dan sebagainya?
Bayangkan kita mati ketika sedang update status fitnah guna akaun FB palsu? Bayangkan kita mati baru selepas update status menghina ulama?
Bayangkan kita mati ketika dalam perjalanan pulang daripada ajak orang lain join skim cepat kaya?
Bayangkan kalau kita mati dalam keadaan kita aktif mempromosi insurans konvensional?
Bayangkan kita mati dalam masjid selepas curi duit masjid?
Cara mati ditentukan dengan cara hidup. Mana mungkin orang yang tidak pernah melaungkan azan, akan mati dalam keadaan begitu?
Kita tidak boleh memilih cara mati kita, tapi kita boleh memilih cara hidup kita.
Muhasabah untuk diri sendiri.
Sumber dari FB Afyan Mat Rawi