fbpx

Kenapa Perlu Sediakan Deposit Untuk Beli Rumah Dan Kenapa Bank Hanya Luluskan 90% Pembiayaan Perumahan?

  • 2 years ago
  • 3Minutes
  • 463Words
  • 855Views

Secara praktisnya, jika nak beli rumah, bank akan luluskan pembiayaan 90% daripada harga jualan rumah.

Jadi, pembeli perlu sediakan 10% daripada harga rumah dan baki 90% akan dibayar secara ansuran bersama keuntungan bank.

Itu tak termasuk lagi dengan kos peguam, stamp duty, valuer dan sebagainya, dengan anggaran 5% daripada harga rumah.

Apa rasionalnya? Ia adalah salah satu kayu ukur keupayaan seseorang untuk membeli dan membayar ansuran rumah tersebut.

Contohnya, jika harga rumah RM300,000, maka pembeli perlu sediakan RM30,000 sebagai deposit rumah tersebut bersama RM15,000 untuk kos-kos lain tadi. Total RM45,000.

Jika dia menyimpan sebanyak RM1,500 sebulan, ia memakan masa selama 30 bulan atau hampir 3 tahun.

Maknanya, sebaik sahaja dapat mula dapat kunci rumah, pembeli tadi hanya meneruskan tabiat menyimpan RM1,500. Jika sebelum ini RM1,500 masuk ke akaun simpanan maka jumlah yang sama kini dimasukkan ke akaun ansuran rumah.

Jumlah dan tabiat yang sama, Cuma kali ini ditukar kepada instrumen berbeza.

Sebagai “safe guard”

Jadi, itulah rasional kenapa bank sediakan pembiayaan 90% daripada harga rumah dan selalunya harga dan nilai rumah adalah sama.

Ia sebagai “safe guard” untuk memastikan seseorang itu bukan sahaja layak tapi mampu membeli dan membayar ansuran rumah tersebut.

Maknanya, jika seseorang itu nak membeli rumah yang berharga RM300,000 tapi tidak mempunyai simpanan sebanyak RM45,000, kebarangkalian besar dia tak mampu untuk membeli rumah tersebut.

Jika sebelum beli rumah dia tak mampu nak menyimpan RM1,500 sebulan, sudah tentu selepas dapat kunci pun tak mampu untuk membayar ansuran sebanyak itu!

Nampak tak rasional di sebalik keperluan deposit apabila membeli rumah?

Layak tak semestinya mampu.

Namun sistem ini ada kelemahan dan boleh dimanipulasi. Tanpa ada simpanan deposit pun orang boleh membeli rumah. Bukan setakat itu, malah dapat cashback lagi!

Pada pemerhatian saya, inilah punca kenapa ramai yang bersungut lepas dapat kunci rumah mengadu masalah kewangan. Sebabnya, tak ukur baju di badan sendiri.

Orang yang tak ada tabiat menyimpan yang baik dan mempunyai tabiat boros belanja, akan terus-menerus dengan tabiat mereka sebelum dan selepas membeli rumah.

Bayangkan, orang-orang sebegini boleh beli rumah tanpa bersusah payah menyimpan deposit dan kemudian dapat sedebuk wang cashback!?? Apa agaknya akan terjadi selepas itu? Agak-agaknya, apakah yang mereka akan lakukan dengan wang cashback dengan amaun yang tak pernah mereka simpan sebelum ini?

Tak dapat dinafikan dewasa ini banyak peluang untuk beli rumah tanpa deposit, namun di sebalik perkara tersebut, ada risiko yang bakal dihadapi.

Ibarat pisau, di tangan seorang Chef ia boleh digunakan untuk menyediakan makanan yang lazat, tapi di tangan kanak-kanak ia boleh membawa kepada cedera parah dan maut.

Jika seorang pelabur hartanah yang mempunyai banyak pengalaman dalam jual beli dan manipulasi pelaburan hartanah, peluang itu adalah lubuk emas mereka.

Tapi bagi orang yang baru nak beli rumah, baru nak memulakan pelaburan – silap gaya ia bukan lagi lubuk emas, tapi boleh jadi lubuk maut!

Afyan Mat Rawi
INFAQ Consultancy

Sumber dari FB Page Afyan Mat Rawi

............................................................
Buku FIRE
Buku F.I.R.E - FINANCIAL INDEPENDENCE RETIRE EARLY
RM49.00
Harga termasuk kos penghantaran

www.BukuFIRE.com

Apa komen Saudara/anda tentang tulisan ini?

Recommended
Banyak betul nampak iklan macam ni. Zero downpayment + free…