Lagu Ku Di Halaman Rindu mempunyai mesej ketuhanan

Tadi tertonton satu video yang menampilkan penyanyi Datuk Nash di konti Radio Molek FM yang menarik perhatian saya.
Katanya, lagu Ku Di Halaman Rindu mempunyai mesej ketuhanan, dan halaman rindu yang dimaksudkan ialah “sejadah”!
Wah, tak sangka langsung. Pernah dengar lagu ini waktu kecil dahulu. Terus saya cari lirik lagu tersebut untuk menyelami mesej yang tersirat.
“Di tengah kepekatan malam
Berdiri aku di halaman rindu
Dihembus kenangan lalu”
Malam yang sunyi adalah waktu paling sesuai seorang hamba mendekatkan diri kepada Allah. “Halaman rindu” merujuk kepada sejadah, tempat rintihan dan doa. Kenangan lalu yang hadir adalah dosa silam, sebagai peringatan untuk kembali ke jalan Allah.
“Menjelmalah seraut wajah
Sekuntum bunga yang pernah kupuja
Tapi layu akhirnya”
Seraut wajah dan sekuntum bunga menggambarkan wajah diri dan hati kita yang cinta dunia, nafsu atau manusia yang diagungkan. Namun semuanya hanya sementara, akhirnya layu dan hilang. Inilah tanda kefanaan dunia, dan hanya Allah yang kekal.
“Ingin kutembus tembok silam
Dan membaiki kesilapan kita
Yang tiada kita rasa”
Ini adalah simbol taubat. Hati ingin menembusi dinding dosa lama, ingin memperbaiki kesalahan yang dahulu tidak disedari. Kesedaran ini adalah tanda rahmat Allah, yang membuka pintu hidayah kepada hamba-Nya.
“Dahulu maaf tak bererti
Darah muda menguasai diri
Begitu mudah membenci”
Waktu muda sering dikuasai ego dan nafsu. Mudah membenci, sukar memaafkan. Tetapi selepas usia dan pengalaman mendewasakan, barulah terasa betapa besar nilainya kemaafan di sisi Allah.
“‘Ku di halaman rindu
Hanya berteman bunga yang layu
‘Ku di halaman rindu
Tiada harum, tiada madu”
Berteleku di sejadah dengan hati yang pasrah.
Tidak berbuah harum (pahala) dan madu (ketenangan). Jiwa tetap kosong jika ibadah hanya sekadar gerakan, tanpa hati yang benar-benar tunduk kepada Allah.
“Oh, kesalku membeku di kalbu”
Rasa bersalah mengeras dalam hati. Penyesalan ini sebenarnya rahmat, kerana ia tanda iman masih hidup. Dari sinilah taubat bermula.
“Oh, sayangku penawar rinduku
Oh, kasihku hanyalah untukmu”
Akhirnya hamba sedar bahawa penawar rindu sebenar bukan pada manusia atau dunia, tetapi Allah. Dialah kasih sejati, cinta hakiki, dan tempat kembalinya hati.
Tamat lagi dan huraiannya.
Lagu ini pada zahirnya sebuah balada cinta, tetapi sebenarnya penuh dengan mesej kerohanian. Liriknya oleh Ramli Sarip rupanya, yang turut menyanyikan lagu-lagu puitis dengan mesej-mesej yang deeeeeeeep.
Bandingkan dengan lagu zaman sekarang
“Oit aku nak tanya ni, suka matcha atau kopi?
Kalau suka kopi, baik KOPIlih ku di sini”
Sumber dari FB Afyan Mat Rawi
............................................................
Buku F.I.R.E - FINANCIAL INDEPENDENCE RETIRE EARLY
RM49.00

