Katanya, secara tiba-tiba, sebuah kereta dari arah bertentangan memandu secara berbahaya lalu melanggar keretanya. Situasi itu, menyebabkan Fatimah cedera parah di kepala dan dikejarkan ke hospital swasta berdekatan.
Doktor pakar di sebuah hospital swasta berkenaan memberitahu kepadanya yang masih dalam keadaan sedar, pembedahan kecil perlu dilakukan dengan syarat pembayaran harus dilakukan terlebih dahulu.
“Mujurlah saya mempunyai polisi insurans perubatan di salah sebuah syarikat insurans takaful, jika tidak, mungkin saya tidak dapat menjalani pembedahan itu dan merasa tinggal di hospital swasta ini,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
Sebelum ini, kakaknya berkali-kali memujuk Fatimah supaya mengambil polisi tersebut tetapi dia enggan. Selepas beberapa kali dipujuk, barulah dia bersetuju untuk menyertainya dua tahun lalu. Pada masa itu kata Fatimah, gajinya agak kecil dan masih bujang.
“Saya mula mengambil polisi insurans perubatan ini pada November 2015, penggunaan kad perubatan baru-baru ini tidak dirancang kerana musibah yang terjadi pada diri saya ini berlaku secara tiba-tiba.
“Alhamdulillah, kini saya sudah pun pulih, bil hospital termasuk pembedahan, wad dan ubat-ubatan dibayar sepenuhnya oleh syarikat insurans takaful yang berjumlah hampir RM18,000,” ujarnya yang bersyukur kerana tidak perlu membayar kos berkenaan.
Menurut perunding kewangan peribadi, Afyan Mat Rawi, insurans adalah pemindahan risiko daripada seorang individu atau sesebuah organisasi kepada syarikat insurans.
“Seorang individu atau sesebuah organisasi akan dikenali sebagai pemegang polisi. Syarikat insurans akan menerima bayaran daripada seseorang individu dalam bentuk premium dan sekiranya pemegang mengalami sebarang kerugian atau kerosakan, syarikat insurans akan membayar pampasan,” katanya ketika ditemui.
Begitupun, Afyan menjelaskan, takaful pula adalah pelan perlindungan berdasarkan prinsip syariah.
“Dengan mencarum sejumlah wang ke dalam dana takaful dalam bentuk caruman penyertaan (tabarru), anda memeterai kontrak (aqad) bagi membolehkan anda menjadi seorang peserta dengan bersetuju untuk saling membantu antara satu sama lain sekiranya salah seorang peserta mengalami kerugian yang ditetapkan,” ujarnya.
Tambah bapa kepada lima orang cahaya mata itu, buat masa ini, peratusan individu yang memiliki perlindungan insurans, pendidikan dan simpanan persaraan; perlindungan rawatan dan kesihatan; dan sebagainya masih rendah iaitu 56 peratus daripada jumlah rakyat Malaysia di negara ini.
Gagal
Mengulas lanjut mengenai laporan daripada Bank Negara Malaysia (BNM) mengenai produk insurans, takaful masih gagal dan tidak menarik bagi sebahagian besar rakyat Malaysia baru-baru ini.
Jelasnya lagi, peratusan itu akan lebih menyedihkan apabila mengetepikan pelanggan ulangan menjadikan hanya 35 peratus orang dewasa di Malaysia memiliki perlindungan insurans dan takaful.
“Sebagai orang industri yang terlibat secara langsung sejak tahun 2003, saya terpaksa menyetujui laporan itu. Hal ini kerana majoriti ejen banyak diajar tentang bagaimana untuk close sales berbanding untuk memberi khidmat nasihat panduan melanggan polisi takaful dengan betul.
“Fokus utama mereka ialah bagaimana untuk mencapai sesuatu kadar bisnes dan jualan tertinggi, bukannya memberi kesedaran tentang kepentingan produk insurans takaful itu sendiri kepada pengguna,” katanya.
Dalam pada itu, Afyan memberitahu, kaedah mempromosi insurans takaful dengan cara menakut-nakutkan bakal pelanggan melalui berita-berita kematian, kadang-kadang agak melampau.
“Tidak kurang juga ejen-ejen mempromosi kad perubatan memburuk-burukkan hospital kerajaan dengan cara tidak beretika. Hasilnya, ramai dalam kalangan masyarakat kita tidak faham apa tujuan mereka mengambil perlindungan dan takaful,” tuturnya.
Selain itu, stigma masyarakat mengenai produk insurans dan takaful yang hanya menguntungkan sebelah pihak sahaja menyebabkan ramai beranggapan mereka berasa masih sihat dan tidak memerlukannya ketika ini.
“Jika kita lihat, banyak syarikat dan ejen yang datang untuk memberi tawaran mengenai insurans dan takaful ketika kita masih sihat, tetapi apabila kita telah jatuh sakit dan amat perlukannya, tiada satu pun syarikat dan ejen yang sudi terima.
Ilmu kewangan
“Terimalah hakikat bahawa syarikat insurans dan takaful bukanlah institusi kebajikan tapi ia adalah institusi perniagaan. Secara sedar atau tidak, ilmu pengurusan kewangan peribadi juga tidak pernah diajar di sekolah, kolej mahupun universiti.
“Walhal, ia merupakan ilmu yang cukup penting kerana setiap hari kita akan berurusan dengan wang. Tetapi malangnya, ia tidak diajar di mana-mana peringkat pembelajaran di Malaysia,” ujarnya.
Sementara itu, menurut kaji selidik Persatuan Insurans Hayat Malaysia dan Persatuan Takaful Malaysia baru-baru ini, kira-kira RM80 juta daripada lebih 110,000 polisi hayat dan sijil takaful keluarga matang dituntut oleh pemegang polisi atau sijil waris mereka pada tahun 2016.
Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Ageas Holdings Bhd., Kamaludin Ahmad, berkata, di Etiqa sendiri, terdapat polisi yang hilang atau dilupai bernilai kira-kira RM13 juta yang belum dituntut.
“Ramai orang tidak menyedari yang polisi atau sijil mereka telah matang. Justeru, mereka tidak menuntut manfaat dan wang berkenaan,” katanya.
Kamaludin memberitahu, usaha sudah dibuat untuk menghubungi waris tetapi sesetengah mereka tidak mengemas kini maklumat peribadi sehingga sukar untuk berhubung dengan mereka.
“Bagaimanapun, kami percaya boleh melakukan sesuatu yang berbeza kerana kami bersungguh-sungguh membayar tuntutan ini.
“Kami mahu menghapuskan salah tanggapan yang penginsurans dan pengendali takaful hanya mahu mengutip premium dan sumbangan tetapi enggan membayar tuntutan,” ujarnya.
Setakat ini hanya 56 peratus daripada jumlah rakyat Malaysia yang memiliki polisi perlindungan insurans kerana kurang kesedaran berhubung kepentingannya.
saya banyak membaca artikel mengenai perlindungan insuran. ia banyak memihak kepada syarikat dan harganya mahal.
https://cukaipendapatan.wordpress.com/2017/01/17/lhdn-akan-membendung-pelarian-cukai-pada-tahun-2017/