fbpx

Memori Haji 1438 – part 2

  • 2 years ago
  • 9Minutes
  • 1675Words
  • 474Views

Sambungan catatan #MemoriHaji1438

Sedari awal menerima surat panggilan-Nya, Allah sudah uji kami untuk membuat pilihan yang setiap satunya bukan mudah untuk ditempuhi.

Surat pengesahan perjalanan haji

Membuat pilihan sama ada untuk saya pergi sendiri dan meninggalkan isteri bersama anak-anak, atau pergi bersama-sama isteri yang baru habis pantang dan tinggalkan anak-anak.

Mydin, lokasi sehenti untuk dapatkan peralatan persiapan haji.

Pilihan pertama, supaya terjaga kebajikan si kecil yang masih menyusu badan. Pilihan kedua pula, kami perlu tinggalkan anak-anak termasuk si kecil yang baru melihat dunia dua bulan.

Ditelan mati emak, diluah mati bapak.

Selepas berbincang dan berfikir semasak-masaknya, kami pun membuat keputusan untuk pergi bersama.

Tidak tergamak pula untuk saya pergi seorang diri dan tinggalkan dia selama 44 hari menerima panggilan istimewa ini.

Lagipun, bukan senang utk mendapat panggilan ini. Jika ditolak kali ini, entah bila pula akan dipanggil lagi.

“Labbaikallah! Humma-Labbaik! Hamba-Mu datang menyahut seruan-Mu wahai ALLAH”. Semoga keputusan ini keputusan yg tepat.

Kebetulan, pada tahun tersebut, Arab Saudi menambah kuota jemaah haji Malaysia. Dikhabarkan, pada Januari 2017 Kerajaan Arab Saudi mengembalikan semula kuota jemaah haji Malaysia kepada 27,900 orang untuk Musim Haji 1438H/2017 berbanding 22,230 orang sejak 2013. Kemudian pada Mac 2017, kuota itu bertambah kepada 30,200.

Alhamdulillah, syukur yang tidak terhingga kami terpilih menjadi tetamunya daripada kalangan 7,880 kuota tambahan.

Sebagaimana yang saya tulis tempoh hari, sesungguhnya ia keputusan yang berat.

Sungguh berat.

Yang paling berat dan sayu dan ialah terpaksa meninggalkan anak kecik yang baru bersama 2 bulan dan masih menyusu.

Inilah pertama kali kami akan meninggalkan anak-anak yang masih kecil selama ini.

Anak yang sulung ketika itu berada dalam darjah 6, akan ditinggalkan bersama seorang sahabat yang rumahnya berdekatan sekolah, manakala anak-anak lain dihantar ke rumah datuk dan nenek mereka.

Untuk si kecil yang masih bayi, stok susu badan juga disediakan awal-awal supaya mencukupi dan isteri saya merancang untuk menyimpan juga stok susu ketika berada di Tanah Suci. Itu pilihan yang kami ambil. Mudah-mudahan dipermudahkan Allah.

Seterusnya, segera menghantar surat jawapan ke Tabung Haji. Ia segera dihantar sebelum tamat tempoh jawapan 14 hari selepas menerima tawaran.

Selepas itu baru tahu, perlu hadir Kursus Haji Perdana yang diadakan di Shah Alam pada hujung minggu selepas tamat cuti raya Aidilfitri.

Mujur kami hantar awal surat jawapan. Jika tidak, mungkin terlepas kursus penting tersebut. Maklumlah, ibadah haji ialah ibadah sekali seumur hidup. Tidak seperti solat, puasa, zakat yang dijalankan secara rutin harian dan tahunan.

Biarpun pernah mempelajari secara teori ketika bersekolah menengah dahulu, namun ia hanya untuk tujuan peperiksaan sahaja. Tapi kali ini untuk tujuan praktikal.

Dan sesungguhnya, sehingga pada hari Arafah dan di Mina pun, saya masih lagi keliru beberapa perkara dalam ibadah haji biarpun ketika itu sudah berada hampir sebulan di Mekah dan datang beberapa kali sesi taklimat.

Beruntunglah bagi yang dapat panggilan haji lebih awal, dapat hadiri kursus haji secara mingguan yang selalunya diadakan beberapa bulan sebelum musim haji.

Saya juga dimaklumkan bahawa, orang awam yang sudah mendaftar haji boleh hadiri kursus-kursus haji yang diadakan walaupun belum mendapat panggilan.

Ia juga satu cara untuk mempercepatkan giliran panggilan haji apabila nama kita akan dicatatkan dalam kehadiran peserta kursus haji.

Mudah-mudahan dengan cara itu, nama kita akan terpilih untuk tahun berkenaan apabila ada kekosongan kuota. Tips ini saya terima daripada seorang sahabat yang juga jemaah haji.

Selepas mengisi surat jawapan, kami dikehendaki menghantar dokumen-dokumen penting seperti pasport, salinan sijil nikah dan sebagainya. Ada juga beberapa jenis borang lain yang perlu diisi. Selain itu kami juga dikehendaki untuk menjalani pemeriksaan kesihatan dan suntikan vaksin.

Ketika mengisi surat jawapan tawaran Tabung Haji, jemaah haji Malaysia diberi pilihan sama ada untuk turun di Mekah terlebih dahulu atau turun di Madinah terlebih sebelum menunaikan.

Selepas mendapat nasihat daripada orang-orang lama yg sudah menunaikan haji, kami memilih untuk turun di Mekah terlebih dahulu.

Selalunya, jemaah haji yang memilih untuk turun di Mekah dahulu, akan menaiki penerbangan yang di hujung-hujung musim haji. Manakala bagi jemaah yang memilih untuk turun di Madinah, akan menaiki penerbangan pada awal musim haji. Dan selalunya, tempoh berada di Madinah adalah selama 8 hari, sebelum ke Mekah.

Antara sebab lain saya memilih untuk turun di Mekah ialah supaya dapat menaiki penerbangan pada minggu-minggu akhir musim haji supaya dapat selesaikan apa yang sepatutnya.

(Nota: Apabila tiba di Mekah, baru kami maklum bahawa kami hanya akan berada di Madinah 3-4 hari sahaja sebelum pulang ke Malaysia. Ramai juga jemaah haji yang bersama saya yang sedih, kecewa dan marah-marah. Sudahlah perlu datang awal ke Mekah. Dapat sekejap sahaja di Madinah. Nanti saya akan kongsi dalam tulisan akan datang jika diizinkan)

Allah Maha Berkuasa; penerbangan kami ke Mekah adalah penerbangan pada minggu pertama. Saya pun terkejut.

Pemandangan di Tabung Haji Kelana Jaya. Kami batch terakhir menggunakannya. Batch jemaah selepas itu berkumpul di Hotel TH KLIA, Sepang.

ALLAH mengkehendaki saya dan isteri ke rumah-Nya lebih awal. Tarikhnya ialah 2 Ogos jam 2:30 pagi perlu daftar diri di Tabung Haji Kelana Jaya. Kami menaiki penerbangan XY16.

Dan saya mendapat pengesahan tarikh kira-kira 12 hari sebelum tarikh penerbangan. Tidak sampai 2 minggu. Itu pun mujurlah kami mengambil inisiatif untuk bertanyakan di Pejabat Tabung Haji Kelana Jaya. Sebelum itu dimaklumkan akan dihubungi melalui telefon.

Flight yang kami nak

Awalnya memang rasa sedikit tertekan dengan kekangan waktu yang ada. Memang persiapan kami dari sudut perkakasan yang perlu dibawa ke sana ialah sifar. Selepas dapat tarikh barulah kami rujuk balik buku nota dan “Google” perkara-perkara yang perlu dibawa ke sana. Malah, kain ihram pun belum ada.

Mujurlah ketika itu isteri saya masih dalam cuti bersalin, jadi situasi itu juga banyak membantu kami menguruskan persiapan untuk ke Tanah Suci. Tidak perlu lagi mengambil cuti untuk urusan-urusan penting.

Saya? Bekerja sendiri, jadi tidak ada isu sangat untuk minta cuti. Tapi perlu membuat penyusunan kerja dan memindahkan kerja-kerja tertunggak kepada staf-staf. Memang leceh, memandangkan ini pertama kali saya akan meninggalkan pejabat dalam tempoh hampir 2 bulan.

Jadi dalam masa yang ada, isteri saya menyenaraikan perkara-perkara yang perlu disediakan untuk dibawa ke Tanah Suci. Ada yang sudah ada tapi banyak juga yang perlu dicari.

Alhamdulillah, dengan bantuan rakan-rakan group whatsapp, ia menjadi mudah. Oh ya, selepas pengesahan penerimaan tawaran haji, kami dimasukkan dalam group Jemaah Haji bagi cawangan Tabung Haji Batu Caves.

Melalui group ini, kami dapat maklumat penting termasuk lokasi paling mudah untuk membeli barangan haji ialah di Pasar raya Mydin. Di sana, segala barangan dan peralatan haji dan umrah ada dijual. Dari sebesar-besar kain ihram hingga sekecil-kecil beg untuk mengisi batu apabila tiba di Mudzalifah letak. Lebih-lebih lagi menjelang musim haji, barangan keperluan haji diletakkan di bahagian utama.

Ketika membeli barangan haji di Mydin berdasarkan senarai barangan yang disediakan isteri, saya juga membeli stok makanan segera untuk dibawa ke sana. Ia bukan di dalam senarai yg diberikan isteri.

Banyak juga yang saya beli terutama mi segera, dan juga produk-produk makanan segera keluaran Adabi seperti kari ayam, daging masak kurma dan lain-lain. Semuanya makanan dalam tin yg boleh dimakan terus.

Pramugara di dalam kapal terbang sedang memberi arahan keselamatan.

Saya beli selepas membaca mesej-mesej di dalam group Jemaah Haji yang saya sertai sebelum itu. Antara perkongsian di dalam group itu ialah persediaan membawa bekalan makanan yang tahan lama untuk memberi selera makan di sana sebab masakan di sana nanti belum tentu sesuai dengan tekak kita.

Balik ke rumah;

“Abang, banyaknya beli makanan ni?”, tanya isteri ketika sedang mengemas pakaian dan barangan yg hendak dibawa.

“Abang baca dalam group katanya penting juga bekalan makanan ini”, balas saya.

“Abang, kita pergi untuk beribadah. Bukan untuk makan”, kata isteri. Lembut tapi “makan dalam”.

Saya insaf terus. Terus saya keluarkan stok makanan yang dibeli, daripada beg pakaian kami. Mujurlah ia tahan lama. Masih boleh dimakan ketika saya menulis, selepas balik dari Tanah Suci.

(Nota: Hendak dijadikan cerita, di sana dalam banyak situasi saya tidak lalu makan yang disediakan mu’assassah dan kemudian membeli makanan luar termasuk mi segera. Setiap kali membeli harga mi segera, saya terkenang mi segera yang ditinggalkan di tanah air. Nanti saya ceritakan lain kali jika sempat)

Tibalah pada tarikh keramat 2 Ogos 2017.

Sehari sebelum itu, ibu ayah dan adik-beradik datang dari kampung dan saudara-mara datang berziarah mengucapkan selamat tinggal dan mengirim doa dan salam kepada Rasulullah. Saya tidak sempat untuk mengadakan kenduri doa selamat sebagaimana lazim bakal jemaah haji anjurkan sebelum berangkat.

Malamnya (yang secara tepatnya ialah keesokan awal-awal paginya), kami bertolak ke Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya bersama rombongan keluarga yang mengiringi kami kira-kira jam 1 pagi.

Tibalah saat yang paling mengharukan kira-kira jam 5:30 pagi tanggal 2 Ogos 2017 apabila terpaksa berpisah dengan anak-anak. Berkali-kali saya dan isteri mengucup pipi Balqis, Zulaikha, Danial dan di kecil Eusoff sebelum masuk ke balai check-in bagasi.

Esakan tangisan dan pelukan mereka bagaikan tidak mahu lepaskan kami pergi. Kemas dan kuat sekali pegangan tangan mereka mendakap kami. Kecuali Eusoff yg masih belum memahami apa yg berlaku, semua anak yg lain menangis teresak-esak. Tangisan yg paling syahdu dan mengharukan ialah Sarah yg baru 4 tahun. Saya gagal mengawal air mata jantan daripada tumpah.

Apabila mula masuk ke ruangan berlepas untuk “city check-in” sebelum menaiki bas, lambaian dan tangisan anak-anak dan ahli keluarga lain tidak putus-putus mengiringi kami. Air mata begitu murah pada hening subuh itu. Saya sempat merakam momen-momen hiba itu untuk dijadikan pengubat rindu.

“Kakak, jaga diri baik-baik ya. Kak Aika, Danial, Sarah, dengar cakap Atuk dan Wan”, sempat saya titipkan pesanan buat mereka sebelum berpisah tadi.

Balqis akan tinggal di rumah seorang rakan yang dekat dengan sekolah memandangkan dia akan mengambil peperiksaan besar tahun ini. Manakala anak-anak lain tinggal bersama datuk dan nenek mereka. Si kecil pula sudah ditinggalkan bekalan stok susu badan, mudah-mudahan mencukupi.

Antara perancangan isteri adalah untuk menyimpan stok susu baru sepanjang berada di Tanah Suci untuk dibawa balik ke Malaysia. Ia antara cabaran besar yang kami hadapi di sana; untuk menyimpan dan seterusnya membawa balik stok susu ke Malaysia.

Ada sesiapa berminat nak tahu? Jika diizinkan Allah, saya akan kongsi pengalaman itu dalam tulisan akan datang.

Bas meluncur laju ke KLIA diiringi polis trafik. Masing-masing melayan perasaan sepanjang dalam perjalanan.

Dalam masa tak sampai satu jam bas bergerak, kami sudah tiba di KLIA.

Namun hati tertinggal di Kelana Jaya.

“Tuhan, jaga mereka untukku”.

#MemoriHaji1438

Afyan Mat Rawi

Maktab 86 & Hotel Fajar Badie 4 Dalam Kenangan

Baca – Part 1,

Sambungan di sini – Part 3

Sumber dari FB Page Afyan Mat Rawi

............................................................
Buku FIRE
Buku F.I.R.E - FINANCIAL INDEPENDENCE RETIRE EARLY
RM49.00
Harga termasuk kos penghantaran

www.BukuFIRE.com

Apa komen Saudara/anda tentang tulisan ini?

Recommended
Saya tonton Mat Kilau sejak minggu lepas lagi dan berhasrat…