Mentaliti yang salah: Punca utama kegagalan perniagaan
Bukan masalah tidak ada bantuan kewangan, tapi masalah sikap
Assalamualaikum Saudara Afyan.
Mohon rahsiakan nama saya sekiranya Tuan nak berkongsi kisah ni di page Tuan.
Lepas terbaca kisah mindset dalam post Tuan terhadap post YB Menteri, Fahmi Fadzil. Saya nak kongsikan kisah yang terjadi dalam hidup saudara saya. Kisah dalam 35 tahun lalu. Boleh jadikan pedoman hidup semua. Saudara saya seorang pegawai kerajaan kini dah bersara.
1. Saudara saya ni menjadi penjamin bagi pinjaman MARA kepada sahabat dia, seorang jurugambar. Sahabat dia ni membuka kedai gambar di tepi jeti untuk ke sebuah pulau di pantai timur.
2. Si jurugambar waktu tu perlukan modal untuk beli mesin memproses gambar. Perlukan wang untuk mengembangkan perniagaan. Waktu tu memang laku la perniagaan kedai gambar sebab semua pakai filem. Kawasan tu majoriti Melayu, makin lama makin laku la sebab dah tak perlu ke tempat jauh untuk cuci gambar. Ianya juga amat memudahkan pelancong waktu tu.
3. Selain dapat menyediakan perkhidmatan cuci gambar, dia juga kerap dapat tempahan ambil gambar untuk buku tahunan sekolah. Bayangkanlah waktu tu bilangan sekolah hampir 20 buah di daerah tu dan majoriti ambil khidmat dia. Saya pernah ke kedai gambar ni pada hujung minggu. Memang tak memang tangan waktu tu.
4. Awalnya perniagaan berjalan lancar. Kedai strategik, ramai pelancong singgah dan pelanggan puas hati. Untung bertambah. Namun.. disangka panas hingga ke petang kiranya banjir tengah hari.
5. Selepas perniagaan beliau maju, jurugambar ni mendapat hobi baru. Dah senang la katakan. Hobi baru beliau ialah berkaitan dengan kereta antik (buruk). Lama kelamaan, hobi bertukar menjadi kerja dan kerja menjadi hobi. Teringat bertemu jurugambar ni dikedai makan suatu ketika, Dia bangga bercerita kehebatan kereta dia dan susah payahnya dia nak dapat “part”. Diceritakan kehebatan dia dan rakan sehobi dengannya berkumpul merata tempat seluruh negara. Sekali konvoi, makan masa dekat 3 hari. Balik pulak letih sakit badan sebab naik kereta buruk yang di “make up”.
6. Waktu “peak” pelancong iaitu hujung minggu, tidak dimanfaatkan untuk ‘henyak sampai lunyai’ mencari rezeki. Dimanfaatkan pula untuk berkonvoi bersama persatuan kesana sini. Kereta buruk di “make up” namun kedai gambar dan sumber rezekinya di “give up”. Lama kelamaan, keuntungan mula menguncup. Pelanggan mula berkurangan. Bayaran pinjaman MARA mula ditangguh-tangguh. Mesin sering “breakdown” sebab tak servis dan disalahkan pula pembekal mesin.
7. Bila mesin rosak, beliau kemudiannya kembali menggunakan bilik gelap. Namun sebab lama tak digunakan dan tak dihiraukan, bilik gelap bermasalah, bocor atap (ada cahaya). Jadi beliau terpaksa berkerja waktu malam untuk mendapatkan “gelap”. Kedai semakin tak digemari. Disalahkan pula pesaing lain walaupun alasan pesaing lain tu tak logik dek akal.
8. Akhirnya, perniagaan ditutup. Lama kemudiannya dipanggil ke mahkamah sebab hutang. Si jurugambar mengalah dan mengambil jalan untuk diisytiharkan bangkrap. Yang paling tak bernasib baik dalam kes ini ialah saudara saya yang menjadi penjamin. Terpaksa menanggung hutang yang dia tak pernah sentuh dan dapat untung. Saudara saya ni menceritakan dia selalu menasihati sahabat dia si jurugambar nih tapi lebih banyak alsan yang diberikan. Tidak sekali disalahkan diri sendiri disalahkan orang lain.
9. Saudara saya ni sering turun naik mahkamah untuk memohon penangguhan bayaran dan juga pengurangan. Akhirnya dia terpaksa menghabiskan “gratuiti”nya dan juga KWSP. Difahamkan jumlah hutang tu mencecah RM250K.
10. Sewaktu mendapat berita saudara saya ini naik ke mahkamah, saya cubalah meninjau kedai gambar tu. Nak menitis air mata saya sewaktu melihat ada satu bongkah mesin memproses gambar dicampakkan berhampiran kedai itu. Kedai terpaksa dikosongkan. Terbayang betapa sukarnya saudara saya si pegawai kerajaan tu mencari rezeki halal di pejabat namun kesitu akhirnya.
11. Apabila berpeluang berbual dengan saudara saya ini, saya menyoal beliau, apa beliau tak sedih?
Beliau menjawab “Boleh je aku nak sedih sampai jadi gila tapi kalau faham rezeki tu ALLAH yang pinjamkan dan kita hanya uruskan… Buat apa nak sedih. Aku tolong jadi penjamin dia sebab nampak dia boleh berjaya dan memang ALLAH boleh bagi dia berjaya tapi dia tak reti nak bersyukur..”.
12. Kisah ini bukanlah yang terburuk. Ada lagi kisah-kisah lain yang lagi tragis. Namun saya seringkali kongsikan kepada sahabat-sahabat saya supaya beringat-ingat bila nak berbuat baik dan sentiasa ingat dengan perbuatan baik orang pada kita. Sentiasa fokus dalam hidup (utamakan apa yang patut diutamakan) dan jangan sia-siakan peluang rezeki apabila ALLAH bukakan pada kita.
Sumber dari FB Page Afyan Mat Rawi
............................................................Buku F.I.R.E - FINANCIAL INDEPENDENCE RETIRE EARLY
RM49.00
Harga termasuk kos penghantaran