Panggilan Haji
Beberapa hari menjelang 1 Syawal 1438. Rabu, 21 Jun 2017.
Dalam perjalanan dari selatan tanah air menuju ke Kuala Lumpur membawa isteri masih dalam pantang bersama bayi yang usianya hampir 40 hari. Malamnya akan bertolak balik ke pantai timur utk menyambut raya aidil fitri di kampung halaman.
5 minit sebelum jam 4 petang, saya menerima panggilan telefon dari nombor yg tidak dikenali.
“Assalamualaikum Encik Afyan”
“Ya, saya”
“Saya dari Tabung Haji ingin memaklumkan Encik dan isteri dipilih utk menunaikan haji tahun ini.
“Haaa???? Alhamdulillah! AllahuAkbar! Syukur! Syukur!
Alhamdulillah!” Saya gagal mengawal emosi kegembiraan saya.
“Encik boleh ambil surat tawaran di cawangan Tabung Haji Batu Caves dan berikan jawapan dalam masa 14 hari “., kata pegawai berkenaan.
“Alamak, saya hendak balik kampung sepatutnya. Pejabat tutup pukul berapa?”
“Tutup jam 4 bulan Ramadhan.
Tapi Encik boleh ambil di mana-mana cawangan TH terdekat”.
“Ok, baiklah. Nanti saya usahakan”.
Dalam dilema
Dalam kegembiraan, terselit juga rasa resah.
Hati saya bermonolog sendiri.
“Anak-anakku masih sekolah, hendak hantar ke kampungkah? Atau tumpang rumah kawan? Atau minta tolong ibu ayah di kampung tinggal bersama utk jagakan mereka? Serba salah pula untuk menyusahkan mereka yg sudah tua”
“Yang bongsu masih menyusu, bagaimanakah keadaannya nanti? Kasihan anak kecil yg baru melihat dunia. Masih panjang tempoh yg sepatutnya menyusu. Tempoh haji bukannya pendek.”
“Atau, aku perlu terima seorang sahaja, supaya si kecil dapat menyusu bersama ibunya dengan baik tanpa gangguan.”
“Kasihan isteriku, baru sahaja bertarung ajal melahirkan zuriatku. Mampukah dia mengerjakan ibadah haji yang penuh dengan cabaran fizikal nanti?”
Arghh….. Berat sekali utk membuat pilihan yg terbaik.
Lantas mesyuarat tergempar dilakukan bersama isteri.
Isteri saya cadangkan supaya terima sahaja. Jika tolak tahun ini, entah tahun berapa pula akan dapat.
Isteri saya nampak bersungguh-sungguh. Tambahnya, banyak kali berdoa sepanjang bulan Ramadhan setiap malam semasa berpantang.
Saya dalam dilema. Ditelan mati emak, diluah mati ayah. Diterima kasihan anak, ditolak kasihan isteri. Betul-betul dilema.
Kata isteri, setiap malam apabila anak kecil saya bangun dan susukan, dia tak lupa berdoa agar dapat panggilan haji di usia muda.
Isteri saya pula yang banyak berikan rangsangan. Dia nampak bersemangat. Mana tidaknya, setiap tahun bermula beberapa tahun lepas apabila kami merancang utk membuat rayuan permohonan haji, dia yang mengarang suratnya dan mengutuskannya setiap tahun.
Dan setiap tahun juga kami terima surat balasan daripada Tabung Haji mengatakan kuota sudah penuh dan meminta kami bersabar. Saya pun ingat-ingat lupa kandungan surat tersebut. Tapi yang pastinya rayuan kami ditolak saban tahun.
Raya kali ini sangat berbeza dengan raya-raya biasa. Hampir setiap hari duk memikirkan tentang panggilan Ilahi yg julung-julung kali diterima.
Surat tawaran Tabung Haji yg sempat diambil dari Tabung Haji Daerah Besut sebelum cuti panjang Aidilfitri beberapa kali dibelek-belek bersama buku panduan haji yg diterima. Tertera nama saya dan isteri pada setiap surat. Pada bahagian jawapan, jelas dinyatakan jika ditolak, tidak ada sebarang jaminan untuk dipanggil lagi pada masa hadapan.
Hanya ada dua pilihan; Terima pada tahun ini yg penerbangan pertama hanya kira-kira sebulan sahaja lagi, atau tolak dan tidak ada jaminan bila lagi akan dipanggil.
Nekad
Ia satu tawaran yg sukar dilepaskan dalam masa sama sukar juga untuk terima dan mengatur jadual.
Saya mencongak-congak jadual bulan Ogos – September. Ada banyak juga program yg sudah diaturkan.
Jika saya terima panggilan makanya saya kena batal atau tangguhkan kesemuanya. Itu satu lagi yg menimbulkan resah di hati.
Tambahan pula, saya baru mendaftar utk satu training bisnes yg berjalan sehingga hujung tahun dengan sesi coaching setiap 2 minggu dan akan berlangsung selepas raya dgn bayaran yg bukan murah.
Tidak masuk lagi faktor anak-anak. Sungguh rumit puzzle yg perlu diselesaikan kali ini.
Namun apabila difikir-fikirkan kembali, itulah sebenarnya cabaran dan tarbiah yg Allah sediakan.
Seolah-olah Allah berkata kepada saya;
“Mana yg akan kau nak pilih; antara panggilan Aku yg seumur hidup sekali atau jemputan program dan kelas yg kau dah daftar”.
Panggilan ini bukan panggilan biasa. Ia panggilan istimewa.
Alhamdulillah, akhir sekali saya yakin membuat keputusan terbaik perkara ini.
Mesej ringkas saya hantarkan kepada penganjur, bahawa saya terima panggilan haji dan kemungkinan besar tarikh program bertembung dgn tarikh-tarikh saya berada di Tanah Suci. Juga pengumuman saya buat dalam kelas training bisnes tadi bahawa saya tidak dapat mengikutinya dlm masa terdekat.
Keputusan saya sudah bulat; “LabbaikallahHumma Labbaik! Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu wahai Allah!”.
Keputusan sudah dibuat, tinggal tarikh sahaja yg belum diketahui.
Tinggal lagi yg masih dalam dilema sama ada bersama isteri dan tinggalkan bayi yg masih menyusu atau pergi seorang sendiri.
Ditelan mati emak, diluah mati ayah.
*Ini catatan mukadimah saya mengimbau memori menunaikan haji tempoh hari. Ia akan disambung jika ada ramai yg berminat utk mengikutinya. Kalau dpt 1k like, semangat sikit saya nak sambung 🙂
MemoriHaji1438
KembaraHaramain
Afyan Mat Rawi
Update: Catatan bersambung ke sini
Sumber dari FB Afyan Mat Rawi
............................................................Buku F.I.R.E - FINANCIAL INDEPENDENCE RETIRE EARLY
RM49.00
Harga termasuk kos penghantaran