Perbankan Islam / Takaful tukar KONTRAK / AQAD Je?
“Alaaaa.. Perbankan Islam ni tukar nama dan istilah je…”
“Sama je perbankan Islam dengan konvensional. Dua-dua kena bayar lebih”
“Bank Islam tapi harga Yahudi!”
“Mana ada bank zaman Nabi Muhammad? “
Hujah ini biasa digunakan oleh rakan-rakan yang menolak perbankan Islam dan mengatakan bahawa perbankan Islam sama sahaja dengan konvensional.
Ini komen-komen biasa yang saya terima daripada posting-posting di media sosial terutama Facebook dan Tiktok.
Ada yang memang tak tahu. Ada yang sengaja buat-buat tak tahu.
Bagi mereka, perubahan yang ada pada perbankan Islam hanyalah kosmetik.
Mereka percaya bahawa perbankan Islam masih ada riba.
Mereka menolak keputusan fatwa-fatwa yang ada di seluruh dunia Islam yang mengatakan bahawa perbankan Islam itu patuh syariah.
Ada yang lebih ekstrem mereka mengatakan bahawa semua ini adalah agenda Rostchild, fitnah Iblis, agenda Zionis, Yahudi, illuminati. Tuduhan ini adalah tuduhan yang berat kepada alim ulama yang mengharuskan perbankan Islam.
Jadi tulisan ini adalah untuk menjawab tentang isu asas perbezaan sistem perbankan konvensional dan perbankan Islam. Ia juga terpakai untuk membezakan insurans konvensional dan takaful yang patuh syariah.
Perbezaan utama adalah KONTRAK atau AQAD.
Dalam muamalat Islam, yang paling utama adalah kontrak atau akad.
Tulisan ini agak panjang, please fasten your seat belt…
MEMAHAMI APAKAH AQAD ATAU KONTRAK
Apalah maksud akad? Akad bermaksud perjanjian, persetujuan. Aqad adalah istilah bahasa Arab. Dalam istilah Inggeris disebut “contact”. Dimelayukan menjadi kontrak.
Ramai orang membayangkan akad tu mesti ada kertas hitam putih, ada tandatangan. Ada juga yang membayangkan mesti ada majlis bersalam-salaman seperti aqad nikah atau pun akad lepas bayar zakat.
Tidak semestinya.
Kita pergi ke gerai, kita ambil 3 biji karipap dan kemudian bayar – ini adalah aqad. Tanpa perlu bersalam-salam.
Kita login Shoppe / Lazada kemudian klik, klik dan buat bayaran kemudian barang sampai – itu juga adalah transaksi dengan aqad jual beli.
Setiap jenis aqad / kontrak, ada jenis-jenisnya dan akan ada implikasi nya. Contoh-contoh di atas boleh jadi halal, boleh jadi haram, boleh jadi meragukan.
Beli karipap, tapi rupanya karipap isi oksigen. Agak-agak urusniaga macam ni dapat pahala atau tidak?
Beli online di Shoppe / Lazada, tapi penjual tak ada pun barang tersebut. Urusniaga sebegini rupa ada kebarangkalian menjadi fasad atau tidak sah.
Setiap jenis akad ada syarat-syarat dan rukun tertentu untuk memastikan ia tidak menjadi urusniaga atau muamalat itu tidak sah.
ANALOGI AYAM
Analogi yang biasa diberikan ialah perumpamaan di antara ayam yang disembelih dengan ayam yang tak sembelih.
Ayam yang disembelih dengan nama Allah hukumnya halal dimakan.
Tapi ayam yang tak disembelih betul betul, haram hukumnya. Sebagai contoh ayam yang dicucuk leher atau direndam dalam air panas, hukumnya haram dimakan.
Walaupun kedua-duanya sama rasanya apabila dimasak kari, dengan resipi yang sama, chef yang sama, dari dapur yang sama.
Jika kedua-dua kari ayam tadi diletakkan dalam 2 mangkuk berbeza, memang akan nampak sama. Rasa dan kelazatan yang sama.
Jika hanya melihat daripada aspek itu sahaja, tidak ada yang dapat bezakan antara kari daripada ayam yang disembelih dengan kari dari ayam tak sembelih.
ANALOGI NIKAH
Baik, saya berikan contoh lain.
Maaf, contoh ini untuk 18 tahun ke atas sahaja. Pastikan anda berusia 18 tahun ke atas sebelum menyambung pembacaan di sini.
Apa hukumnya melakukan hubungan jenis lelaki dan perempuan?
Hukumnya haram jika mereka bukan suami isteri.
Tapi jika dah jadi suami isteri, hukumnya halal! Nak buat 10 kali sehari pun ia halal.
Sebab apa halal?
Sebab sudah ada akad pernikahan yang sah sesama mereka. Dan akad itu tertakluk akad rukun dan syarat nikah.
Apa bezanya antara sepasang kekasih yang tidak mempunyai sebarang ikatan, kemudian mereka sama-sama bersetuju untuk menyewa bilik hotel murah dan melakukan hubungan?
Pasangan kekasih itu juga mempunyai “kontrak” atau “aqad”. Tapi bukan aqad nikah. Aqad mereka adalah aqad yang batil di sisi syarak.
Rujuk balik takrif aqad / kontrak di awal artikel ini.
Apakah yang membezakan hubungan kelamin di antara suami isteri dan pasangan kekasih tadi?
Satu halal dan satu lagi ialah zina. Zina adalah jenayah dalam Islam.
ANALOGI SYAHADAH
Apabila Sammy yang beragama Hindu kemudian mengucap syahadah dan tukar nama jadi Suhaimi, aqidah beliau sudah berubah.
Apakah beza Sammy a.k.a Suhaimi yang sudah memeluk Islam, dengan abang kembarnya Muthu masih beragama Hindu ?
(Nota; Nama sekadar contoh)
Sammy mengucapkan kalimah syahadat. Memandangkan dia masih baru dan muallaf, masih banyak perkara di dalam Islam yang dia sedang pelajari.
Kedua-duanya masih berkulit gelap, berbahasa Tamil , makan capati, dll.
Apa beza kedua-duanya?
Syahadat yang membezakan mereka. Syahadah inilah KONTRAK antara makhluk dengan hamba. Pengakuan bahawa Allah itu Tuhan yang Maha Esa dan mengaku bahawa Muhammad adalah pesuruh Allah.
BOLEH FAHAM TAK ANALOGI-ANALOGI YANG DIBERIKAN
2 mangkuk kari ayam yang salah satunya disembelih dan satu lagi tak sembelih = satu haram dan satu lagi halal. Walaupun kedua-dua nampak sama.
2 jenis perhubungan kelamin, pasangan suami isteri dan pasangan kekasih = satu halal dan satu lagi zina. Walaupun kedua-dua nampak sama.
2 individu kembar berbangsa India, Samy dan Muthu = satu Muslim dan satu lagi kafir. Walaupun luaran nampak masih sama.
RUMUSAN
Islam bukan datang teknikal tapi Islam datang dengan prinsip. Sebab itu hujah “Zaman Nabi tak ada bank”.
Islam tak datang memperkenalkan pakaian jubah atau serban. Tapi Islam datang memperkenalkan pakaian yang menutup aurat.
Islam tidak datang memperkenalkan kurma atau kambing, tapi Islam datang memperkenalkan makanan halalan dan tayyiban.
Islam tak datang dengan memperkenalkan dinar dirham. Islam datang dengan muamalat halal tanpa riba.
Nabi Muhammad pernah gunakan kaedah perang dari Parsi, sebuah negara Kafiir, dalam perang Khandaq.
Jadi, secara asasnya tiada masalah pun perkara-perkara dalam perbankan konvensional dikekalkan dalam perbankan Islam. Ia tidak menjadikan perbankan Islam itu ada riba disebabkan ada teknikal yang masih sama dengan teknikal perkara perbankan konvensional seperti rules 78, reducing balance methode dan sebagainya.
Yang membezakan adalah kontrak tadi.
Itulah asas perbezaan di antara sistem kewangan konvensional dengan sistem kewangan patuh syariah.
Kita ambil contoh masyarakat Melayu, 1000 tahun lepas, nenek moyang kita beragama Hindu. Sedar tidak sedar, sekalipun sudah beribu-ribu tahun memeluk Islam, budaya masyarakat Hindu sedikit sebanyak masih wujud dalam amalan harian kita.
Amalan berinai ketika berkahwin, amalan bersanding, amalan menepung tawar – semua ini adalah asalnya dari amalan budaya Hindu, bukan?
Apakah kesan amalan-amalan ini kepada aqidah Muslim? Sudah tentu tidak terjejas daripada aspek aqidah jika kita menganggapnya ia sekadar budaya. Bagi yang warak, sudah tentu menolaknya terus.
Begitulah analogi di antara perbankan konvensional dengan perbankan Syariah.
Tidak dapat dinafikan, dalam 40 tahun perbankan Islam bertapak, sukar untuk membuang 100% unsur-unsur daripada perbankan konvensional.
Malah pemain-pemain yang terlibat di dalam perbankan Islam pun, ramai berasal daripada perbankan konvensional.
Kita bergerak dari satu tahap ke satu tahap. Tahap asas memperkenalkan sistem perbankan bebas riba sudah lepas.
Namun sayang seribu kali sayang, kadar penembusan masih lemah berbanding perbankan konvensional. Justeru, kita semua selaku orang Islam WAJIB mempromosikan perbankan syariah kepada rakan, sanak dan saudara supaya HIJRAH segera.
Saksikan penerangan secara live; “Sama je ke perbankan Islam dengan perbankan konvensional?” oleh Dr Ahmad Sufyan Che Abdullah (pakar muamalat, ahli majlis fatwa dan founder muamalat.my)
Jom HIJRAH!
Afyan Mat Rawi, IFP
www.bukuBMW.com <—-Belajar ilmu kewangan secara bermodul menggunakan buku Bijak Merancang Wang #BukuBMW
Sumber dari Fb Afyan Mat Rawi, IFP
............................................................Buku F.I.R.E - FINANCIAL INDEPENDENCE RETIRE EARLY
RM49.00
Harga termasuk kos penghantaran