Pinjaman Islamik mahal = riba? Ini jawapan syariah sebenar

  • 5Minutes
  • 830Words
  • 17Views

Antara tuduhan yang dilemparkan kepada perbankan Islam ialah ia mahal dan mahal itu riba. Ia menindas.

Kata mereka, jika Islamik patutnya murah. Jika mahal jadi riba.

Contohnya macam ini. Katanya;

“Kalau pinjaman islamik memang sepatutnya tanpa riba.. ada ke pinjaman islamik tanpa riba???? Memang tujuan tanpa riba tu murah la, tujuan tanpa riba supaya tiada unsur berat sebelah dan membebankan.”

Saya pun pening ayat dia. Tapi saya faham yang dia nak kata mahal itu riba.

Lalu saya tanyakan dalil Quran dan Hadis yang mengatakan tujuan riba itu murah dan tidak dibebankan.

Lalu beliau berikan dalil riba pada surah Al Baqarah yang menyatakan pengharaman riba yang Allah sifatkan sebagai zalim.

Biar saya terangkan satu persatu.

1. ZALIM TIDAK SEMESTINYA MENINDAS

Sebenarnya perkataan zalim di sisi Islam bermaksud tidak meletakkan sesuatu pada tempatnya.

Lawan kepada zalim ialah adil, meletakkan sesuatu pada tempatnya.

Perkataan zalim dalam Islam tidak sebagaimana yang kita faham bermaksud menindas.

Menindas adalah zalim tapi zalim tidak semestinya menindas.

Semua maksiat adalah zalim, walaupun tidak menindas.

Minum arak, berzina, tidak solat, tidak puasa dan semua maksiat adalah zalim sekalipun tidak menindas sesiapa.

2. RIBA BOLEH WUJUD SEKALIPUN TIDAK MENINDAS

Rujuk hadis-hadis Rasulullah berkenaan riba.

Banyak contoh-contoh kes yang Rasulullah berikan situasi riba, tidak menindas pun.

Contohnya hadis tukaran kurma yang berbeza kualiti dan tidak sama berat, Nabi katakan ia adalah riba.

Saya terangkan hadis tersebut dalam bahasa mudah dalam konteks hari ini.

1 kg kurma Ajwa gred A berharga RM200/kg tukar dengan 2 kg kurma Ajwa gred C RM100/kg adalah riba.

Detail hadith saya konhsikan di ruangan komen

Kalau lihat situasi di atas, siapa yang tertindas?

Tiada siapa tertindas sebab harga sama.

Tapi Nabi kata ia riba sebab berat tidak sama.

Jika tukar sama berat, contohnya 1 kg kurma gred A dengan 1 kg kurma gred C, barulah tidak berlaku riba walaupun harga berbeza.

Kurma adalah item ribawi, maka pertukaran mestilah sama berat.

Contoh situasi lain, pinjam RM1,000,000 bayar balik RM1,000,000.01 adalah riba walaupun 1 sen.

Realitinya, riba 1 sen sendiri tidak menindas pun namun ia tetap haram.

Sama juga jika tukar duit not RM100 sekeping dengan not RM1 sebanyak 105 keping, ia riba. RM5 itu riba.

Sebab itulah Yahudi zaman Rasulullah dahulu mempertikaikan bahawa sama sahaja riba dengan jual beli.

Sama dengan apa yang bangsa anti bank Islam pertikaikan sekarang.

3. MAHAL MURAH BUKAN PENENTU RIBA

Ada yang kata “mahal itu riba, jika tiada riba mestilah murah”.

Tidak ada satu dalil Quran dan Hadis pun yang menunjukkan bahawa mahal itu riba dan murah itu tidak riba.

Lagipun, bagaimana hendak menentukan sesuatu itu mahal atau murah?

Apakah penanda aras mahal atau murah? 10%? 50%? 100%?

Malah ada hadis kisah ‘Urwah membeli kambing dengan harga 1 dinar dan jual kembali dengan harga 2 dinar.

Detail hadith saya konhsikan di ruangan komen

Berapa banyak keuntungan itu?

Dua kali ganda. Mark up 100%, beb!

Walhal jarak antara beli dan jual kambing itu tidak sampai sehari pun.

Mujurlah bangsa anti bank Islam tidak wujud zaman Nabi.

Jika mereka ada, Nabi akan dituduh mengamalkan riba.

4. ISLAM MENJAGA HAK KEDUA-DUA PENJUAL DAN PEMBELI

Sesuatu jual beli adalah sah apabila lengkap rukun dan syaratnya.

Antara syarat sah jual beli ialah saling reda meredai antara peniaga dengan pembeli.

Hak peniaga adalah untuk meletakkan berapa sahaja harga yang dia mahukan.

Manakala hak pembeli pula adalah dia bebas berurus niaga dengan mana-mana peniaga yang dia selesa.

Peniaga tidak boleh paksa pembeli ikut harga yang dia mahu.

Pembeli juga tidak boleh paksa peniaga jual ikut harga dia mahu.

Jika tidak ada persetujuan, maka jual beli tidak akan berlaku.

Begitulah yang berlaku dalam perbankan Islam.

Bank tetapkan harga jual, pembeli boleh memilih sama ada untuk beli atau tidak.

Jika tidak setuju, tidak perlu tandatangan apa-apa kontrak.

Hanya jika setuju barulah turunkan tandatangan.

Jangan nanti masa tandatangan kontrak seronok dan beronok-ronok dapat duit, dapat kereta, dapat rumah.

Tapi selepas beberapa tahun rasa terbeban bayar, terus jadi pakar usul fiqh dan keluarkan fatwa.

5. YANG MEMBEBANKAN IALAH HUTANG, TIDAK KIRA HUTANG HALAL ATAU HUTANG HARAM

Dalam satu hadis, Nabi melihat Abu Umamah sedang duduk di masjid dan berdukacita akibat hutang.

Detail hadith saya konhsikan di ruangan komen

Lalu Nabi ajarkan doa kepada Abu Umamah.

Sahabat Nabi pun keluh kesah dengan hutang walaupun hutang tersebut adalah hutang yang halal.

Nampak tidak?

Yang menyebabkan terbeban adalah hutang.

Hutang 0% keuntungan pun ramai bersungut terbeban dan tidak bayar, contohnya hutang MARA.

Hutang adalah alat.

Umpama pisau, jika dipegang oleh Khairul Aming ia boleh digunakan untuk memasak tapi di tangan seorang budak ia boleh mencederakan dirinya.

Jadi, kena belajar ilmu pengurusan kewangan barulah boleh uruskan hutang dengan baik.

Boleh dapatkan buku saya Bijak Merancang Wang atau e-learning Akademi Bijak Merancang Wang.

Eh, terpromosi pula.

PENAMAT

Saya yakin bangsa anti bank Islam tidak akan puas hati dengan jawapan ini.

Mereka bukan mencari jawapan tapi mencari alasan.

Mereka bukan melihat hujah tapi mencari helah.

Mereka bukan mahu yang patuh syariah tapi mahu yang paling murah.

Eh, macam pantunlah pula.

Cukuplah 5 poin dahulu.

Banyak-banyak nanti pun bukannya baca.

Siapa yang baca sampai habis?

Sudahkah anda belajar? Sila komeeeeeen.

Afyan Mat Rawi

Sumber dari FB Afyan Mat Rawi

............................................................
Buku FIRE
Buku F.I.R.E - FINANCIAL INDEPENDENCE RETIRE EARLY
RM49.00

www.BukuFIRE.com

Add a Comment

Recommended
Bab mahal murah tu, saya taknak ulas panjang. Memang nampak…