PKP: Poket Kian Pokai? No! Poket Kena Penuh!

“Kadangkala kita minta bunga yang cantik, tetapi Allah berikan kaktus yang berduri tajam. Rupa-rupanya dari kaktus yang berduri tajam itu keluar bunga yang lebih cantik dari bunga yang kita impikan

Kadang-kadang Allah hilangkan sekejap matahari, kemudian datangkan guruh dan petir. Rupa-rupanya Allah ingin berikan kita pelangi yang cantik menawan.”

Kita impikan tahun 2020 sebagai negara yang maju, ada kereta terbang, ada robotik di sana sini, sistem pengangkutan canggih, boleh teleportasi, dapat naik ke bulan, dan sebagainya.

Tapi Allah datangkan tahun 2020 penuh dengan krisis yang tidak pernah kita bayangkan selama ini.

Dengan krisis politik, ditambah dengan krisis kesihatan sehinggalah ke krisis ekonomi yang menyebabkan kita terpaksa duduk di rumah hingga ada yang hilang punca pendapatan dan ekonomi terjejas teruk.

Dengan krisis ini, kita mula mencari alternatif baru dalam mendapatkan sumber pendapatan. Kita jadi makin kreatif menggunakan segala sumber yang ada. Kita semakin pandai menyimpan dan berjimat cermat. Kita juga makin kreatif dalam memasak dengan sumber yang terhad.

Kita juga sudah tidak malu menjadi budak runner menunggang Food Panda, GrabFood yang menjadi penyambung rezeki peniaga makanan dan pembeli.

Kita juga sedar bahawa selama ini kita bekerja untuk mengkayakan orang lain dan kini kita bekerja sendiri untuk mengkayakan diri sendiri.

Kita juga sedar tidak selamanya syarikat menyayangi kita. Kita juga sedar bahawa tidak selamanya kita perlu bergantung harap dengan majikan. Kita kena keluar dari kepompong ini.

Percayalah, selepas kita keluar daripada krisis ini nanti kita bakal menjadi manusia baru, dengan kebijaksanaan yang baru, kreativiti yang baru dan melihat dunia dengan pandangan yang baru.

Dunia selepas PKP juga adalah dunia yang baru, yang sudah “reset” sepanjang tempoh krisis ini. Air sungai yang lebih bersih, pantai yang lebih cantik, udara yang lebih segar, ozon yang lebih tebal.

Sepanjang PKP kali ini, kita terperangkap di dalam rumah dalam tempoh yang panjang untuk “reset” diri.

Ibarat pepasir yang terperangkap di dalam tiram dalam tempoh yang panjang menghadapi tekanan kuat di dasar laut, sebelum keluar sebagai mutiara yang berkilauan!

Atau menjadi rama-rama yang cantik bebas terbang ke udara selepas keluar dari kepompong yang gelap dan menyakitkan selama ini.

Inilah Akademi PKP.

(Petikan dari ebook terbaru yang bakal terbit tidak lama lagi, PKP: Poket Kian Pokai? No! Poket Kena Penuh!)

 

Sumber dari FB Afyan Mat Rawi

WP2Social Auto Publish Powered By : XYZScripts.com