Tragedi Pagi Jumaat
Tragedi Pagi Jumaat; Parkir KL Sentral, Dompet Hilang dan Bihun Sufi
Pagi tadi, saya ada temu janji di KL Sentral, yg dijadualkan 11:45 pagi. Kebetulan hari ini cuti Thaipusam, dan pelanggan saya hendak pulang ke kampung, menaiki tren dari KL Sentral jam 1 petangnya. Jadual temujanji kami jam 11:45 pagi, sementara menunggu tren beliau tiba jam 1 ptg.
Kira-kira jam 11:30 saya masuk ke parkir KL Sentral.
Selepas parkir dan bergerak ke lokasi temujanji, baru saya perasan beg dompet tertinggal di rumah!
Saya bergegas kembali ke kereta dengan harapan dapat keluar dari tempat parkir sebelum 15 minit. Selalunya 15 minit pertama ia percuma.
Setiba di kereta saya periksa kalau-kalau dompet tertinggal, namun hampa.
Saya mencari-cari duit syiling di celah-celah kerusi, namun hampa. Baru teringat, pagi tadi saya hantar anak ke sekolah dan dompet tertinggal, habis sudah duit syiling itu dijadikan duit belanja anak sekolah tadi. Sekalipun cuti Thaipusam, sekolah agama anak saya beroperasi spt biasa.
Saya terus menggerakkan kereta sambil melihat waktu masuk palang tempat parkir yg tercatat di tiket parkir adalah jam 11:29, dan sekarang 11:39.
“Masih sempat, belum 15 minit”, getus hati saya utk menenangkan perasaan.
Setiba di palang keluar parkir, saya memasukkan tiket. Di skrin tiket, tertera simbol “RM4.00 due”, ia adalah amaun yg perlu saya bayar kerana parkir di sini.
Saya menekan interkom dan disambut oleh operator.
“Cik, saya tertinggal dompet dan saya tiada duit. Saya perlu keluar, masa saya baru 10 minit”, saya menerangkan musibah yg saya alami.
“Tak boleh, Encik perlu bayar”.
“Saya tiada duit, dompet saya tertinggal”
“Encik kena bayar, kami tak dpt tolong”.
“Tapi saya tiada duit!”, saya mengeraskan suara.
“Ini prosedur kami”.
“Saya masuk tak sampai 15 minit, takkan tak boleh ada pertimbangan? ”
“Tak ada”
“Dompet saya tertinggal, jadi saya tiada duit. Lagipun tak sampai 15 minit pun”, saya cuba bernegosiasi.
“Kami tak dapat tolong”.
Saya kesal.
“Minta tolong bukakan pintu gate ini, jika tidak saya patahkan!”, saya nekad dan mengugut.
Tiada respon.
Saya menekan interkom berkali-kali. Kemudian, baru dapat respon;
“Encik, naik ke tingkat 4, bahagian customer service”.
Kemudian saya mengundurkan kereta, dan mencari parkir. Terus saya bergegas ke tingkat 4 dan mencari kaunter khidmat pelanggan. Ada seorang pelanggan sedang membuat bayaran di situ, dan ada dua pegawai wanita di situ.
Saya ceritakan sekali lagi “tragedi” yg menimpa.
Pegawai di situ tetap berkeras, yang saya perlu bayar.
“RM4 sahaja pun, takkan itu pun berkira. Saya betul-betul tiada duit, sebab dompet tertinggal”
“Ini prosedur kami. Kami tak dpt tolong. Encik perlu bayar kalau hendak keluar”
“Takkan tak ada langsung budi bicara?”.
Pegawai itu diam sejenak dan berbincang dengan rakannya.
“Encik ada apa-apa barang yang boleh ditinggalkan? “, pegawai itu membuat tawaran.
Saya membuka beg galas yang saya bawa. Ingin mencari apakah barangan yang boleh menjadi cagaran.
Tiba-tiba pelanggan yang berada di kaunter sebalah menegur saya;
“Kenapa Encik?”.
Saya memandangnya dan menceritakan kisah saya. Wajahnya seperti saya kenali.
Beliau menawarkan bantuan, membayar duit parkir saya. Saya amat terperanjat dan saya ucapkan berbanyak terima kasih kepada beliau.
Beliau membayar duit parkir saya dan duit parkir beliau sekaligus.
“Terima kasih banyak Encik, nanti saya bayar balik”, kata saya.
Dia hanya senyum. Saya amat lega. Sementara tiket dikembalikan, saya bertanyakan namanya.
“Nama Encik?”, tanya saya.
“Shawal”, balasnya.
Saya mengimbas memori wajahnya dengan namanya.
“Encik Shawal Bihun Sufi?”, saya membuat tekaan.
“Ya”, jawab beliau ringkas sambil tersenyum.
“Subhanallah! Tak sangka jumpa Encik di sini. Saya pernah baca kisah Encik di MajalahNiaga.com”, kata saya, teruja!”.
Dia hanya senyum.
Pembayaran selesai dibuat, dan pegawai di kaunter mengembalikan tiket kepada kami.
Saya sekali lagi mengucapkan terima kasih kpd En Shawal.
“Encik, boleh kita ambil gambar”, saya meminta keizinan.
Dia hanya senyum, lantas saya mengeluarkan telefon dan menukar mode kamera untuk mengambil gambar.
Kemudian saya mendapatkan kad bisnes beliau supaya dpt menghubungi kemudian.
Selepas bersalam-salaman, saya bergegas ke kereta dan bergerak keluar dari KL Sentral.
Kemudian, saya menghubungi rakan pelanggan yang sepatutnya temujanji berlangsung tadi. Mujurlah dia belum sampai. Saya memohon maaf, dan meminta jadual temujanji ditangguh ke tarikh lain. Beliau memahami situasi saya.
Di dalam kereta, baru perasan petrol sudah tinggal di takat “E” dengan signal lampu petrol menyala.
…. Alhamdulillah, ketika kisah ini dikemaskini, saya sudah kembali di rumah 🙂
Afyan Mat Rawi,
Hamba ALLAH.
P/S; Saya kongsi kisah ini di FB selepas jumaat tadi, tidak beberapa lama dapat bersua dgn Tuan Shawal di FB 🙂
............................................................Buku F.I.R.E - FINANCIAL INDEPENDENCE RETIRE EARLY
RM49.00
Harga termasuk kos penghantaran