Pelaburan Akhirat

Pelaburan Akhirat

Pihak yang bertanggungjawab menguruskan hal ehwal berkaitan wakaf perlu lebih proaktif dalam menggalakkan dan mempromosi aktiviti wakaf memandangkan ia terus dipandang sepi.

Perunding Kewangan Islam (IFP), Infaq Consultancy & Advisory, Afyan Mat Rawi berkata, sebagaimana zakat, wakaf juga boleh membantu meningkatkan ekonomi umat Islam, namun tidak ramai yang faham dengan selok-belok untuk memulakan wakaf.

“Zakat adalah perkara yang wajib dilaksanakan sedangkan wakaf pula sunat dilakukan.

Kedua-dua perkara ini sekiranya dijalankan secara aktif dan berterusan dijamin dapat membantu golongan miskin,” katanya.

Menurutnya, agensi yang diberikan amanah untuk mengendalikan wakaf perlu menggiatkan promosi berkaitan kebaikan dan kelebihan wakaf supaya orang ramai mendapat gambaran jelas mengenai manfaat yang boleh disumbangkan kepada masyarakat.

“Lebih banyak kempen perlu dilakukan supaya konsep wakaf mudah difahami dan dijalankan sama ada secara persendirian atau berkumpulan.

“Malah, saya yakin sekiranya konsep ini diketengahkan secara agresif, kita boleh memiliki hospital wakaf, sekolah wakaf atau universiti wakaf yang dapat memberi manfaat kepada keseluruhan komuniti,” katanya.

Afyan berkata, walaupun sukar untuk menilai pulangan pelaburan daripada wakaf dalam bentuk wang ringgit, namun ia seharusnya dilihat dari aspek yang lebih luas terutama berkaitan pelaburan di akhirat.

“Wakaf adalah pelaburan jangka panjang dan hasilnya mungkin tidak dapat dilihat dalam masa singkat.

Namun, jika difikirkan dari segi rohani, wakaf ternyata adalah penyelesaian terbaik untuk menyumbang kepada ekonomi masyarakat dan pulangannya dilihat sebagai bekalan di akhirat kelak,” katanya.

Menurutnya, terdapat dua cara untuk memulakan wakaf sama ada melalui jabatan agama Islam negeri atau melakukannya secara sendiri.

“Wakaf melalui jabatan agama sesuai untuk mereka yang mempunyai harta, tetapi tidak mempunyai kepakaran.

Sebagai contoh, sekiranya mereka mempunyai tanah, ia boleh tukar kepada nama jabatan agama dan dimaklumkan untuk kegunaan apa.

“Jika dilaksanakan sendiri, ia sesuai untuk mereka yang ada kepakaran dan dalam masa sama mempunyai niat untuk membangunkan institusi wakaf,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/10

Apa komen Sdra/i tentang tulisan ini?