Masjid TNB viral, teringat zaman kami ‘masjid hopping’ cari juadah berbuka

Melihat Majsid TNB yang viral baru-baru ini dengan kehadiran Gen Z, teringat zaman saya belajar di Pusta Matrikulasi UIAM, Lembah Pantai suatu ketika dahulu.

Di waktu-waktu petang begini, antara aktiviti kami ialah berkira-kira hendak ke masjid mana petang ini.

Ya aktiviti kami ialah menjelajah dari masjid ke masjid setiap hari. Zaman sekarang dipanggil “masjid hopping”.

Oh, bukanlah mencari masjid untuk iktikaf pada malamnya tetapi untuk mencari lokasi berbuka puasa. (Ampunkan dosaku, Ya Allah)

Antara masjid utama saya dan beberapa rakan untuk berbuka ialah Masjid Ar-Rahman, Universiti Malaya.

Jam 6.00 ptg sudah mula bergerak berjalan kaki menuruni bukit dari kolej menuju ke sana semata-semata untuk berbuka. Jika tidak, hanya seminggu sekali kami ke sana utk solat jumaat di luar bulan puasa.

Jika ada masa dan tenaga, lokasi yang dipilih ialah Surau TNB yang terletak kira-kira 2 km dari lokasi kolej. Ia menjadi pilihan kerana juadah berbuka yg disediakan lebih mewah dan meriah berbanding Masjid Ar-Rahman.

Mungkin Masjid TNB hari ini suatu ketika dahulu adalah Surau TNB ini.

Jika ke sana, selewatnya jam 6:00 sudah perlu bergerak memandangkan kami hanya berjalan kaki dan perlu menuruni dan mendaki jalan berbukit. Namun kami gagahi dan juadah berbuka sebagai motivasi (Ampunkan kami, Ya Allah).

Sebenarnya ada pilihan lain yang lebih dekat iaitu Masjid Ar-Rahman, tapi selalunya juadah berbuka di situ, biasa-biasa sahaja. Jika di Surau TNB, juadahnya lebih menyelerakan dan dihidangkan berbanding di Masjid Ar-Rahman yang diberikan dalam polistrine.

Apabila menjejakkan kaki ke Main Campus UIAM Gombak, langkah kaki kami semakin lebar sebab ramai yang mempunyai kenderaan terutama motosikal.

Ketika itu antara lokasi utama kami ialah Masjid Damansara, Kuala Lumpur. Walaupun jauh, tapi ia tetap dekat di hati kami. (Ampunkan kami, Ya Allah).

Memang, bulan puasa merupakan bulan rahmat bagi kami selaku mahasiswa di perantauan dan peluang kami berjimat cermat.

Seorang rakan pernah berkata “alangkah bagusnya jika Ramadhan sepanjang tahun”.

Tapi jika hari ini diminta berjalan sejauh itu untuk ke lokasi berbuka puasa, hampir mustahil untuk saya lakukannya. Jika pergi, berbuka dan kembali ke rumah, mungkin terpaksa berbuka sekali lagi untuk ‘cover’ tenaga yang hilang ketika pulang berjalan kaki.

Ampunkan kami, Ya ALLAH…..

Sumber dari FB Afyan Mat Rawi

Add a Comment