fbpx

Berbicara Dengan Masa

  • 5 years ago
  • 4Minutes
  • 668Words
  • 420Views

Suatu ketika, saya sempat meluangkan masa untuk berbicara dengan Masa….

“Masa, apa khabar?”, sapa saya itu.

“Khabar tidak baik…” jawab Masa tanpa membuang masa.

“Kenapa?”, tanya saya.

“Aku hairan, manusia akhir zaman ini selalu membazirkan aku”, jawab Masa spotan.

“Termasuk akukah?”, tanya saya.

“Jika engkau selalu membuang masa, engkau juga termasuk dengan orang lain yang suka membuang aku”, kata Masa.

“Maafkan aku Masa, kerana selalu membuang engkau”, saya berkata lagi.

“Aku hairan, manusia menganalogikan aku dengan berbagai-bagai metafora.

Ada yang kata aku ini umpama emas. Makananya nilai aku sangat tinggi.

Namun mereka tidak sedar diriku yang begitu berharga ini hingga sanggup membazirkan aku tanpa rasa rugi….”, rintih Masa.

“Kadang-kadang ada juga yang mengandaikan aku ini umpama mata pedang, jika aku mereka tidak memotong aku, nescaya aku akan memotong mereka… Tapi tidak pun mereka bersungguh-sungguh untuk memotong aku”, rintihan Masa bertali arus.

“Masa, kadang-kadang kami, berasa seolah-olah engkau terlalu pantas berlalu sehingga kami tidak mempunyai masa untuk mengejarmu, Masa.”, kata saya. Seolah-olah membela diri.

“Oh, bukan itu soalnya”, tingkah Masa sambil merenung tepat saya.

“ALLAH menciptakan aku sama sahaja untuk seluruh umat manusia; 24 jam sehari, 7 hari seminggu, 30 hari sebulan, 12 bulan setahun.

Untuk engkau ALLAH ciptakan aku 24 jam sehari, untuk orang lain pun aku diciptakan dengan jumlah yang sama.

Ketika Adam dan Hawa diciptakan dahulu pun aku diciptakan 24 jam sehari untuk mereka.

Untuk Perdana Menteri pun aku dicipta 24 jam sehari., Untuk Donald Trump pun aku diciptakan sama.

Malah untuk polis, cikgu, perompak, tukang cuci sampah pun aku diciptakan sama.

Tidak kira siapa mereka, orang besarkah, orang kecilkah; masa mereka tetap 24 jam sehari, 7 hari seminggu, 30 hari sebulan, 12 bulan setahun!” hujah Masa satu-persatu kata-kata saya.

Suasana hening seketika…

Saya diam membiarkan masa berlalu begitu sahaja sambil menantikan luahan rasa Masa seterusnya.

“Kadang-kadang kelakar …..”, kata Masa sambil tersenyum sinis. Kali ini saya tidak lagi berani menatap wajahnya.

“Manusia yang memberi tamsilan kepada aku dengan berbagai-bagai tamsilan, tetapi manusia sendiri yang mengingkari tamsilan mereka….”, luah Masa.

“Tengok sahajalah remaja di sekeliling engkau, mundar-mandir tanpa hala tujuan ke sana ke mari….”, kata Masa sambil menghalakan sekumpulan remaja yang sedang melepak.

“Tidak cukup, wang ibu bapa mereka dihabiskan, aku turut menjadi mangsa pembaziran masa”, luah Masa lagi.

“Di sekolah, kadang-kadang mereka seolah-olah tidak sedar yang masa untuk menghadapi peperiksaan semakin hampir pun masih lagi membuang masa”.

“Bukan setakat remaja, orang dewasa pun selalu membuang masa membazirkan aku begitu sahaja.

Di pejabat, waktu yang sepatutnya digunakan untuk bekerja diambil kesempatan untuk bersembang, berborak, melayari internet dan lain-lain”, Masa terus meluahkan perasaannya yang terbuku.

Saya terus mendengar. Saya tidak berani menghadap wajah kepadanya. Saya tidak sangka begitu sekali luahannya terhadap sikap manusia.

“Masa… aku mewakili makhluk yang bernama manusia memohon maaf daripadamu kerana selalu mensia-siakan engkau.

Aku akan sedaya upaya menyampaikan luahan hati engkau ini semampu aku”, janji saya apabila melihat Masa tiba-tiba diam tanpa berbicara.

“Tak payahlah kau susah-susah buang masa untuk semua tu”, kata Masa seolah-olah menyindir.

“Tadi bukankah engkau juga yang mengatakan yang engkau tak cukup masa?”, Masa benar-benar menyindir saya.

Tetapi memang silap saya sendiri.

“Mana sempat engkau nak cari masa untuk sampaikan luahan-luahan aku tadi?”, makin tajam kata-kata Masa.

Memulangkan paku buah keras kepada saya.

Benarlah kata pepatah; masa itu umpama mata pedang.

Kata-kata Masa tadi benar-benar tajam sehingga membuatkan saya rasa begitu terpukul.

“Masa… janganlah engkau berkecil hati dengan aku”, pujuk saya.

“Oh, tidak sama sekali. Aku bukan seperti manusia yang mudah terasa. Aku tak ada masa untuk berperasaan seperti itu”, jawab Masa.

Suasana hening kembali. Lidah saya terkelu seribu bahasa. Saya berteleku. Masa terus berlalu….

.

.

.

.

.

.

.

Tidak sapai beberapa ketika masa berlalu, tiba-tiba Masa kembali sejenak sambil meninggalkan pesanan;

“Masa tidak ada ada masa untuk membuang masa dengan orang-orang yang selalu membazirkan masa”.

… dan tanpa melengahkan masa, Masa terus berlalu pergi meninggalkan saya yang sedang mengira-ngira betapa pantasnya masa saya berbicara dengan Masa.

Saya pun tak tahu bilakah lagi masanya untuk Masa meluangkan lagi masanya bersama-sama saya.

Sekalipun sebentar, namun masa tersebut begitu bernilai…

Afyan Mat Rawi
Kali pertama disiarkan di FB ialah pada 22 Oktober 2010

 

Sumber dari FB Afyan Mat Rawi

............................................................
Buku FIRE
Buku F.I.R.E - FINANCIAL INDEPENDENCE RETIRE EARLY
RM49.00
Harga termasuk kos penghantaran

www.BukuFIRE.com

Apa komen Saudara/anda tentang tulisan ini?

Recommended
Dipetik dari FB Ahmad Mustapha   PERLINDUNGAN PENDAPATAN . Sesuatu…