Hati-Hati Mengambil Faham

Ketika kempen #BMF ini, tersebar maklumat tular melalui media sosial, berbunyi :

”Mufti Brunei telah mentafsirkan bahawa semua produk yang dibuat oleh NON MUSLIM adalah dikategorikan produk syubhah. Produk dari Non Muslim : Ianya bukannya produk HALAL kerana mereka tidak pernah mempelajari hukum fiqeh, hukum air mutanajjis, hukum yang berkaitan suci dan harus yang berkaitan. Maka WAJIB bagi umat Islam memilih produk Muslim 100%. Subhanallah … Tepat sekali … Tanpa pernah disebut nama Allah dalam penghasilan produk-produknya … Alhamdulillah … masih ada insan-insan yang berani menyatakan yang benar … Mohon share …”

Jabatan Mufti Kerajaan ingin menjelaskan bahawa tafsiran yang dinyatakan di atas bukan tafsiran atau ungkapan daripada Yang Berhormat Mufti Kerajaan, tetapi ia adalah datang daripada siapa yang ampunya teks tersebut. Yang Berhormat Mufti Kerajaan tidak pernah membuat tafsiran yang sedemikian itu. Teks tersebut menyatakan tentang hukum produk Non Muslim seumumnya. Ini jelas ia diolah sendiri oleh pengirim mengikut fahamannya sendiri, sedang kenyataan atau ungkapan sedemikian itu tidak pernah disebut di dalam Fatwa Mufti Kerajaan Brunei.

Produk bererti sesuatu barang, perkhidmatan dan sebagainya yang dikeluarkan oleh kilang atau ditawarkan oleh institusi dan seumpamanya. Oleh itu, dapat difahami bahawa jika disebut produk, adalah ia boleh merangkumi pelbagai jenis barang, sama ada pihak yang menghasilkan produk itu orang Islam atau Non Muslim.

Perlu difahami, dalam memberikan Fatwa atau Irsyad Hukum kepada orang ramai, setiap penjelasan yang diberikan adalah bergantung kepada permasalahan atau isu yang ditanyakan. Setakat ini, tidak pernah dibuat penjelasan atau kenyataan atau ungkapan mahupun tafsiran mengenai produk secara umum atau secara keseluruhan atau mutlak sebagaimana tular dalam media sosial berkenaan.

Sekali lagi ditegaskan bahawa Fatwa adalah tidak pernah menyebut semua produk Non Muslim itu sebagai syubhah sebagaimana yang ditularkan. Jika benar semua produk Non Muslim itu syubhah, nescaya semua produk mereka seperti produk kereta, telefon, peti televisyen, radio dan segala macam kraf tangan umpama bakul, tikar, alat-alat pertanian dan alat-alat menangkap ikan dan juga segala macam jentera yang dihasilkan oleh mereka itu adalah syubhah. Adakah ini benar? Siapakah yang menghukumkannya demikian itu? Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam tidak pernah mengeluarkan Fatwa yang seumpama itu.

Memang benar ada Fatwa mengenai dengan produk makanan, minuman, kosmetik, perubatan, khasnya yang berkaitan dengan daging-dagingan. Maka di sini memang ada berbangkit hukum syubhah itu, tetapi bukan mengenai keseluruhan jenis produk.

Jika berhajat untuk mengetahuinya, maka silalah baca atau dapatkan Fatwa yang telahpun dibukukan mengenainya.

Sumber dari laman web www.pelitabrunei.gov

 

Sumber dari FB Afyan Mat Rawi

WP2Social Auto Publish Powered By : XYZScripts.com