fbpx

Kesilapan dalam memahami RIBA

  • 8 months ago
  • 9Minutes
  • 1739Words
  • 359Views

Asal mahal, riba. Asal riba, mahal.

Celah mana riba itu mahal dan mahal itu riba?

Sebenarnya perkara ini sudah banyak kali dijawab oleh para ilmuan, tapi seperti biasa geng-geng yang bencikan bank Islam ini akan berikan pelbagai alasan untuk menolak perbankan Islam. Bukan itu sahaja, mereka menghasut masyarakat untuk membenci bank Islam dengan menghina para alim ulama yang mengharuskan perbankan Islam. Golongan ini saya labelkan sebagai Bangsa Anti Bank Islam, untuk memudahkan pemahaman.

Jika anda daripada galangan golongan Bangsa Anti Bank Islam, tidak digalakkan membaca tulisan ini kerana ia tidak kan mengubah apa-apa.

Tapi bagi golongan masyarakat yang terkeliru dengan isu dibangkitkan, dialu-alukan untuk baca sampai habis. Jika ada persoalan, baca sekali lagi sehingga faham. Jika dah faham, boleh kogsikan supaya lebih ramai faham. Jika tak faham, boleh tanya di ruang komen.

Perkara ini bukanlah baru dan sebenarnya sudah banyak kali ia diberi respon oleh para ilmuan. Saya juga sekali sekala menjawab persoalan ini atas kapasiti sebagai perunding kewangan.

Jadi untuk posting kali ini, saya bahagikan isu-isu yang dibangkitkan kepada beberapa bahagian dengan dalil-dalilnya.

ISU PERTAMA: BENARKAH MAHAL ITU MENJADIKAN IA RIBA DAN RIBA ITU BERMAKSUD MAHAL?

ISU KEDUA: ADAKAH ISLAM MEMBENARKAN JUAL MAHAL?

ISU KETIGA: BENARKAH PERBANKAN ISLAM ITU MAHAL?

ISU KEEMPAT: APA YANG BERLAKU DALAM PROSES PEMBIAYAAN RUMAH SEHINGGA HARGA NAIK BERKALI-KALI GANDA?

Kita pergi satu-persatu isu yang dibangkitkan.

Tulisan kali ini memang panjang. Jadi, better share dulu supaya boleh baca balik kemudian hari.

ISU PERTAMA: BENARKAH MAHAL ITU MENJADIKAN IA RIBA DAN RIBA ITU BERMAKSUD MAHAL?

Untuk menjawab soalan ini, saya tanya satu soalan mudah:

Ada tak dalil ayat Quran atau Hadith atau Ijmak atau Qiyas ulama yang mengatakan bahawa jual mahal itu riba dan riba itu bermaksud jual mahal?

Jika ada dalilnya, saya akan tarik balik sokongan saya terhadap perbankan Islam.

Dalam muamalat Islam, asal sesuatu perkara itu harus kecuali ada dalil yang mengharamkannya. Jadi, untuk mengatakan sesuatu itu riba, perlu ada dalil. Untuk mengatakan jual mahal itu riba, ia perlukan dalil sama ada daripada Quran, Hadith, Ijmak, Qiyas.

Jika tidak ada dalil, bagaimana hendak dikatakan ia haram atau riba?

Kalau tanya bangsa anti bank Islam, saya berani jamin mereka tak ada dalil Quran, Hadith, Ijmak, Qiyas.

Rujuk dua hadith di bawah:

HADITH PERTAMA: Larangan menukar kurma dengan kurma berbeza timbangan, kerana ia riba.

Diriwayatkan dari Abi Hurairah r.a, bahawa Rasulullah S.A.W melantik seorang sahabat sebagai petugas di Khaibar. Sahabat tersebut membawa kurma yang disebut (janib). Rasulullah S.A.W bertanya kepada sahabat tersebut: “Adakah semua kurma Khaibar begini?” Sahabat tersebut menjawab: “Demi Allah, tidak wahai Rasulullah. Kami membeli kurma ini satu sa` dengan imbalan kurma ini sebanyak dua sa’ dan jika kami membeli kurma ini dua sa` dengan imbalan kurma ini tiga sa`”. Rasulullah S.A.W bersabda: “Jangan lakukan seperti itu. Tetapi jual semua kurma tersebut dengan dirham, kemudian belilah dengan dirham tersebut kurma janib”. (Sahih Bukhari)

HADITH KEDUA: Larangan menukar kurma dengan kurma yang berbeza timbangan, kerana ia riba.

“Bilal datang menemui Nabi SAW bersama tamar Barni. Lalu Nabi SAW bertanya : “Dari mana engkau dapat tamar ini? Bilal menjawab : Pada asalnya saya mempunyai tamar yang tidak elok lalu saya jual dua gantang tamar tadi dengan segantang (tamar yang elok) untuk saya berikan kepada Nabi SAW. Lantas Nabi SAW bersabda : Tidak-tidak, itulah riba, jangan lakukan begitu.” (Sahih Bukhari dan Sahih Muslim)

Kedua-dua hadith di atas menunjukkan riba berlaku adalah disebabkan teknikal penukaran, bukan disebabkan harga.

Riba berlaku apabila berbeza timbangan dalam penukaran kurma dengan kurma, dan Nabi meminta sahabatnya menukar urusniaga tersebut dengan cara jual dahulu salah satu kurma dan dapat duit. Kemudian duit tadi digunkan untuk beli kurma satu lagi.

Riba adalah disebabkan pernukaran item ribawi yang tidak sama berat. Rujuk pula hadith berikut:

HADITH KETIGA: Item-item ribawi

“Emas dijual dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, barli dengan barli, tamar dengan tamar, garam dengan garam, timbangan dan beratnya mesti sama, dibayar secara serta-merta (bukan bertangguh). Namun, jika jenis dan kategori barangnya berbeza, maka berjual belilah mengikut yang kamu kehendaki dengan syarat mesti dibayar secara serta-merta (on the spot)”. (Sahih Muslim : 1587)

ISU KEDUA: ADAKAH ISLAM MEMBENARKAN JUAL MAHAL?

Ini adalah kesinambungan perkara di atas.

Apa maksud jual mahal? Jual dengan harga satu kali ganda? Jual dengan harga lebih 100%?

Sebenarnya, Islam menjaga hak kedua-dua penjual dan pembeli. Penjual ada hak untuk meletakkan berapa harga yang dia nak tapi di tak boleh paksa orang ramai menjadi pelanggannya. Manakala hak pelanggan pula ialah untuk berurusan dengan mana-mana peniaga yang dia ingini, tapi tak boleh pula nak paksa peniaga ikut harga yang dia mahukan.

Ia seterusnya menghasilkan demand & supply. Jika permintaan sesuatu barang itu tinggi dan tapi pengeluarannya rendah, ia boleh menjadikan sesatu produk itu naik harganya. Begitu juga jika sesuatu produk itu permintaan renda tapi pengeluarannya tinggi, ia menyebabkan harga barang berkurangan. Ini adalah prinsip asas dalam ekonomi daripada dulu hingga sekarang.

Baik, sekarang saya sertakan pula dalil-dalil daripada Nabi Muhammad tentang isu ini. Rujuk hadith-hadith berikut:-

HADITH KE-4: Sahabat Rasulullah menjual tanah dengan harga berkali-kali ganda daripada harga beli.

Hadith ini agak panjang, saya kongsikan bahagian yang relevan:

“Az- Zubair sudah membeli Al-Ghaba (merujuk kepada sebidang tanah yang khusus) dengan harga seratus tujuh puluh ribu. Abdullah menjualnya dengan harga satu juta enam ratus ribu.”

(Sahih Bukhari: Hadith 3129)

HADITH KE-5: Jual kambing satu kali ganda modal

“‘Urwah menceritakan bahawa pada suatu hari, Rasulullah SAW memberinya satu dinar emas agar beliau belikan seekor kambing untuk Nabi SAW. Dengan wang itu, dibelinya dua ekor kambing, lalu dijualnya seekor dengan harga satu dinar. Lalu dia kembali kepada Rasulullah SAW dengan seekor kambing dan sedinar, dan Rasulullah SAW menerimanya, bahkan Rasulullah mendoakan keberkatan kepadanya. Dengan keberkatan doa itu, sehingga diibaratkan, kalau beliau membeli butiran debu tanah pun, pasti dia tetap untung.”

(Sahih Bukhari, Muslim dan lain-lain)

HADITH KE-6: Larangan ke atas pemerintah untuk menetapkan harga barang

“Pernah terjadi kenaikan harga pada masa Rasulullah ﷺ, maka orang-orang berkata: Wahai Rasulullah, tetapkanlah harga untuk kami. Lalu Baginda bersabda: “Sesungguhnya Allah Sang Penetap Harga, Penggenggam, Pembentang dan Pemberi Rezeki. Aku berharap bertemu dengan Tuhanku dan tidak ada seorang pun dari kalian yang menuntut perbuatan zalim yang aku pernah lakukan kepadanya, baik berupa darah (qisas) maupun harta.”

(Sahih al-Tarmizi: No 1235)

Nampak tak? Rasulullah tak halang pun para sabahat jual harga mahal. Kambing dijual satu kali ganda. Tanah dijual berkali-kali ganda.

ISU KETIGA: BENARKAH PERBANKAN ISLAM ITU MAHAL?

Jika kalian membaca dalil-dalil di atas, nescaya persoalan ini tidak timbul. Mahal murah itu adalah disebabkan demand dan supply.

Apabila untuk mengatakan mahal, maka perlu ada subjek lain yang dikatakan murah. Dalam konteks perbankan Islam, dikatakan perbankan Islam adalah lebih mahal daripada perbankan konvensional.

Pertama sekali, adalah tidak wajar untuk membandingkan perkara halal dengan perkara haram. Ia bukan satu tindakan yang wajar.

Kedua, benarkah perbankan Islam lebih mahal daripada perbankan konvensional secara matematiknya? Tidak semestinya. Ada lebih 10 perbankan Islam di Malaysia, dan ada yang lebih mahal daripada perbankan konvensional, dan ada yang lebih murah.

Selalunya dalam banyak keadaan, rate yang ditawarkan oleh perbankan Islam tidaklah lebih mahal daripada perbankan konvensional, dalam group yang sama. Contohnya jika ABC Bank menarkan dengan kadar 5%, selalunya jika di ABC Islamic Bank pun tawarkan kadar yang sama.

Ketiga, dalam pinjaman rumah perbankan konvensional tidak dinyatakan harga jualan, jadi bagaimana untuk katakan ia lebih murah berbanding bank Islam yang menetapkan harga jualan?

Berbanding dengan pembiayaan perbankan Islam, harga jualan ditetapkan daripada awal dan ia pula adalah harga siling iaitu maksima yang pelanggan bayar. Berbanding dengan bank konvensional yang hanya bergantung kpd kadar BR / BFR / OPR tanpa ada siling, akan memungkinkan ansuran dan total bayaran melambung tinggi melebihi pembiayaan bank Islam.

Berbalik kepada harga yang termaktub dalam kontrak, ia adalah satu ketelusan yang ada dalam perbankan Islam. Jika perbankan konvensional, tidak ada sebarang harga jualan tertera dan inilah yang menyebabkan ia jadi haram kerana wujudnya gharar atau ketidakpastian / uncertain

Jadi, bagaimana untuk membandingkan harga yang ada dengan harga yang tidak ada? Bagaimana hendak mengatakan sesuatu itu murah walhal tidak ada harga yang spesifik?

ISU KEEMPAT: APA YANG BERLAKU DALAM PROSES PEMBIAYAAN RUMAH SEHINGGA HARGA NAIK BERKALI-KALI GANDA?

Kita buat kiraan matematik untuk contoh yang diberikan di atas:

Pembiayaan untuk jumlah RM202,400 yang menjadi RM747,993.

Keuntungan bank ialah RM572,593.

Berapa lama? Kita andaikan 40 tahun.

Maka kiraan keuntungan bank ialah RM572,593 ÷ 40 tahun ÷ 12 bulan = RM1,192

Bermakna secara purata, bank mengambil untuk RM1,192 sahaja setiap bulan untuk menampung kos hutang selama tempoh 40 tahun tersebut.

Bank ialah institusi perniagaan, bukan badan kebajikan. Ada kos dan risiko yang bank tanggung sepanjang tempoh 40 tahun pembiayaan tersebut.

Kos pejabat, kos pekerja, kos elektrik, kos sistem, kos peguam, kos marketing, kos pegawai syariah, kos penasihat syariah, kos dokumentasi dan segala macam kos.

Kalau taknak bagi bank untung lebih, senang je. Buat pembiayaan tu dengan tempoh pendek. Contohnya buat 10 tahun sahaja. Percayalah, harga jualan tu nanti akan jauh lebih rendah. Bukan susah pun 😎

Ada pula sorang mamat penjual emas duk kata bank tak ada risiko.

Dalam masa sama, bank menggubh satu risiko yang cukup besar iaitu risiko HUTANG TAK DIBAYAR.

Apa dia ingat bank ni bdan kebajikan? Itu yang pinjam kawan bertahun-tahun tak bayar tapi boleh lepak Starbucks, boleh upload gambar oversea. Hutang taknak bayar, lepas duk tuduh bank Islam riba. Walhal sebenarnya alasan dan justifikasi malas bayar hutang 🤣

Ia sama sahaja dengan mana-mana bisnes. Contoh mudah, bisnes jual air balang.

Kos secawan air hanyalah sekitar 20 – 30 sen, tapi boleh jual sehingga RM1 ke RM2 segelas. Kalau kedai mamak mungkin cecah RM3 segelas.

Ia adalah normal dalam mana-mana bisnes. Kalau taknak beli air, boleh buat sendiri dan lebih jimat.

Sama macam rumah. Tiada paksaan untuk beli rumah. Kalau tak mampu beli, ia masih boleh disewa dengan kos yang lebih rendah. Boleh juga kumpul duit dan beli secara tunai.

Takkan kita nak expect beli rumah yang berharga RM220,000, bayar balik selama 40 tahun RM220,000 balik?

Tapi kalau ada mana-mana institusi yang mampu menyediakan perkhidmatan pembiayaan RM220,000 dan bayar balik RM220,000 dalam masa 40 tahun, saya nak jadi pelanggan.

Saya pernah utarakan pandangan kepada Bangsa Anti Bank Islam yang mengkritik perbankan Islam sebagai zalim.

Saya cadangkan mereka kumpulan dana dari kumpulan mereka untuk sediakan perkhidmatan pinjaman tanpa keuntungan untuk beli rumah dan saya ingin menjadi pelanggan pertama.

Saya masih menunggu ia direalisasikan.

Jika RM220,000 tadi bank simpan di instrumen seperti ASB tau Tabung Haji yang boleh bagi pulangan 4% setahun, selama 40 tahun duit tadi boleh beranak jadi RM1 juta!

Sebenarnya ia bukan mahal pun. Tapi kita yang tak mampu dan tak pandai matematik.

Wassalam.

Afyan Mat Rawi, IFP

Sertai Channel Telegram ini utk lagi tip-tip kewangan secara PERCUMA

—>t.me/AfyanIFP

............................................................
Buku FIRE
Buku F.I.R.E - FINANCIAL INDEPENDENCE RETIRE EARLY
RM49.00
Harga termasuk kos penghantaran

www.BukuFIRE.com

Apa komen Saudara/anda tentang tulisan ini?

Recommended
Kenapa saya lawan bangsa anti bank Islam? Inilah sebabnya. Baca…