fbpx

Betul ke Perbankan Islam Zalim, Back Door Riba dan Menipu Allah? Ini jawapan padu dan cadangan balas kepada PPIM utk buat model kewangan Islam sendiri

  • 10 months ago
  • 10Minutes
  • 1825Words
  • 4098Views

Saya tertarik isu yang dikemukakan oleh PPIM berkenaan isu Perbankan Islam Zalim. Kata mereka “Menipu Allah Dengan Perbankan Islam”.

Sudah banyak kali Toqqi dan PPIM membawa isu ini dan semalam mereka adakan live video. Boleh layari FB mereka untuk ikuti perkara tersebut.

Satu sudut, ada bagusnya juga PPIM dedahkan perkara itu supaya pengguna sedar tentang beberapa perkara yang pernah berlaku dalam urusniaga perbankan Islam.

Saya menghormati PPIM sebagai sebuah pertubuhan pengguna Muslim yang banyak memperjuangkan hak-hak kepenggunaan Muslim. Perjuangan PPIM membantu mangsa along tidak mampu dilakukan oleh NGO lain apatah lagi bank-bank. Begitu juga dengan perjuangan Hero PPIM Yusuf Azmi pasti dalam ingatan rakyat Malaysia. Malah saya pernah berforum bersama Toqqi. Beliau mempunyai wawasan yang jelas dalam membawa NGO PPIM ini.

Namun seperti saya dan kita semua, pasti tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. PPIM sendiri pernah terpalit beberapa isu negatif juga seperti mengiktiraf pengamal perubatan yang menggunakan gelaran “Prof” palsu, membela “doktor gigi” tidak bertauliah, dan sebagainya.

Namun dalam isu perbankan Islam ini, tuduhan mengatakan perbankan Islam zalim dan menipu Allah adalah satu tuduhan yang berat. Bercampur baur antara fakta dan auta. Ada perkara yang benar dan banyak juga perkara yang kurang tepat.

Kita pergi satu per satu.

1) Perbankan Islam tidak patuh syariah dan ada riba, sama macam konvensional.

Ini satu tuduhan yang sangat berat. Riba adalah dosa besar. Ia sebesar-besar dosa dalam Quran dan Hadith. Lebih besar dari dosa membunuh, merompak, merogol, mengsemburit, berzina dan sebagainya.

Untuk mengatakan perbankan Islam ada riba dan tidak patuh syariah, ia perlu disertakan dengan dalil yang kukuh. Jika benar PPIM hendak melakukan pendakwaan begitu, PPIM perlu bentangkan kepada alim ulama dan membawa alim ulama yang menyokong mereka.

Ada yang berhujah, alim ulama yang jadi penasihat syariah bank sudah tentu iktiraf bank Islam patuh syariah sebab masyuuuuk. Ia satu tuduhan yang jahat. Sehingga hari ini, perbankan Islam sudah banyak kali diperbahasakan dalam pelbagai wacana sejak 40 tahun lepas dan sudah melepasi majlis-majlis fatwa negeri malah majlis fatwa kebangsaan.

Kemudian di bawa ke majlis pengawasan syariah Bank Negara Malaysia dan perbankan Islam.

Malah ia turut diakui oleh alim ulama yang tidak terlibat dalam perbankan Islam, sebagai contoh Bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Tok Guru Nik Aziz yang memindahkan akuan kerajaan negeri Kelantan apabila mengambil alih negeri itu, turut mengiktiraf. Juga bekas mufti Selangor Allahyarham Dato’ Ishak Baharom ketika fatwa Selangor memutuskan bahawa ASB haram kira-kira 20 tahun lepas, beliau turut menyokong perbankan Islam. Allahyarham Profesor Dr Haron Din, beliau antara tokoh ilmuan Islam awal di Malaysia diberi peluang untuk memberi nasihat kepada bank-bank Islam Malaysia.

Baca juga tulisan Sdra Pakdi ini di sini

Tak percaya ulama Malaysia? Saya sertakan pula nama-nama ulama di peringkat antarabangsa.

Malah tokoh ulama dunia seperti Dr Yusoff Qaradhawi dan Allahyarham Abdul Karim Zaidan turut menyokong perbankan Islam. Mereka siap menulis beberapa kitab untuk syarah perkara ini. Antara kitab mereka yang menyebut hal ini ialah Halal Haram Di Dalam Islam (Dr Yusuf Qaradhawi), dan al-Wajiz fi Usul al-Fiqh, al-Wajiz fi al-Qawa’id al-Fiqhiyyah (Dr Abd Karim Zaidan). Selalunya golongan yang menentang perbankan Islam suka menggunakan nama Sheikh Imran Nazar Hossein untuk mengatakan bahawa perbankan Islam ialah “back door riba” atau riba pintu belakang. Untuk makluman, hujah-hujah beliau sudah dipatahkan oleh alim ulama tadi dalam kitab-kitab mereka. Mungkin boleh cadangkan kepada Sheikh Imran untuk menulis kita untuk membalas baik hujahan ulama-ulama lain. Setahu saya beliau belum pernah lagi menulis sebarang kitab yang menjadi rujukan umat Islam. Betulkan saya jika silap.

Mereka ini tidak ada kepentingan pun dalam perbankan Islam. Mereka mahu memberi alternatif kepada umat Islam supaya bebas dari belenggu riba perbankan konvensional.

Yang paling utama, perbankan Islam membolehkan umat Islam di Malaysia untuk bebas dari dosa riba. Itu ialah kejayaan besar perbankan Islam di Malaysia. Banyak pahala yang mengalir kepada tokoh-tokoh alim ulama malah pemerintah yang mengusahakan perkara ini sejak 40 tahun lalu. Moga Allah berkati mereka.

Jadi untuk mengatakan perbankan Islam masih ada riba, seolah-seolah hendak mengatakan bahawa selama ini semua alim ulama ini berpakat menipu Allah atas nama perbankan Islam.

Malah perbankan Islam adalah penyumbang terbesar kepada institusi zakat di Malaysia. Boleh rujuk Pusat Zakat Wilayah Persekutuan. Inilah cara perbankan Islam membantu umat Islam di Malaysia ialah melalui zakat. Selain itu bank-bank Islam juga banyak melakukan CSR dan menjalankan aktiviti kebajikan dan waqaf. Mereka menyalurkan bantuan kewangan ke pusat pengajian, pelajar sekolah, pelajar universiti, maahad tahfiz dan sebagainya.

Itu cara mereka kembalikan wang keuntungan mereka kepada ummah.

https://afyan.com/menjawab-tuduhan-perbankan-islam-zalim-menipu.html/

2) Perbankan Islam menindas.

Ini sebenarnya isu utama.

PPIM melihat perbankan Islam ini zalim yang bermaksud menindas kerana peminjam perlu bayar balik dengan nilai yang lebih tinggi.

Dalam sudut ini, suka saya tegaskan bahawa riba tak semestinya menindas.

Saya meminjamkan Sdra RM 1,000,000 (RM 1 juta), dan diminta membayar balik RM 1,000,001 selepas 5 tahun.

Maka RM 1 yang ditambah daripada RM 1 juta tadi adalah riba.
Jika Saudara sebagai peminjam, adakah RM 1 bayaran tambahan yang dikenakan ke atas pinjaman RM 1 juta tadi, membebankan Saudara?

Secara logik matematiknya, sudah tentu ia tidak membebankan bukan?

Namun, sekalipun tidak membebankan dan menindas, ia tetap riba. Riba tetap haram walaupun tidak menindas.

Zalim dalam Islam bermaksud tidak meletakkan sesuatu pada tempatnya. Lawan kepada zalim ialah adil, meletakkan sesuatu pada tempatnya. Adil dalam Islam berbeza daripada maksud “equality” dari perspektif barat yang bermaksud kesamarataan.

Riba tetap zalim walaupun tidak menindas. Riba boleh wujud sekalipun tidak ada pihak yang tertindas.

Image result for keuntungan

Keuntungan atau riba?

Itu satu contoh. Kita ambil contoh lain.

Harga rumah RM200,000 dan kemudian jika melalui pembiayaan bank, ia jadi RM500,000. Ramai yang buat kesimpulan mudah, RM300,000 itu ialah riba.

Ia tidak semudah itu. Riba atau tidak riba ditentukan oleh cara urusniaga dibuat, bukan berdasarkan amaun jumlah wang yang terlibat. RM1 yang diperoleh melalui riba tetap haram walaupun sikit. Untuk RM1 juta diperolehi tanpa riba, tetap halal sekalipun amaunnya banyak.

Sebagai contoh mudah lain;

Peniaga jual air RM1 segelas, modal sebenar hanyalah RM0.20 sahaja. Adakah 80 sen keuntungan jualan air itu adalah riba Tidak, ia adalah keuntungan perniagaan. Sama macam bank, mereka menjalankan perniagaan.

Ada yang kata, apa produk bank? Kata mereka, bank tak ada produk. Bank hanya jual agreement.

Ini jawapannya: Ya, bank tidak ada produk fizikal. Tapi bank ada produk intangible yang lebih sesuai dipanggil servis atau perkhidmatan.

Bank menyediakan perkhidmatan untuk pembiayaan perumahan. Anda nak beli rumah dari pemaju, tapi tak ada tunai. Anda minta bantuan bank untuk membiayai jual beli rumah tersebut dengan bank.

Itulah servis yang disediakan oleh bank. Untuk menyediakan servis, bank perlukan banyak tenaga manusia untuk memastikan servis tersebut berjalan lancar.

Bank perlukan khidmat peguam untuk membuat perjanjian, khidmat kerani untuk menaip, khidmat pegawai pemasaran untuk memasarkan servis. Bank juga perlu menyediakan premis untuk memudahkan urusniaga dan selanjutnya. Semua itu memerlukan modal.

Jadi kos bukan hanya harga rumah yang dibiayai tapi juga termasuk kos-kos lain yang terlibat.

Sebagaimana air dijual RM1, walaupun modal bahan mentah 20 sahaja, tapi peniaga tersebut ada kos-kos lain yang terlibat.

Jika PPIM mengatakan bahawa bank ialah bisnes yang mudah buat untung, jadi saya cadangkan PPIM untuk mengusahakan bank sendiri.

Kita boleh lihat bagaimana perbankan Islam versi PPIM beroperasi. PPIM boleh gunakan Koperasi PPIM untuk menawarkan “pinjaman cara Islam” yang mereka mahukan. Keahlian PPIM ada ratusan ribu jika tidak jutaan pun. Boleh minta mereka berikan modal untuk PPIM mempelopori perkara itu. Selepas kumpulkan modal, berikan pinjaman untuk kereta, rumah dan lain-lain tanpa sebarang keuntungan. PPIM, please walk the talk!

Jadi, untuk mengatakan perbankan Islam zalim disebabkan riba, itu adalah tuduhan jahat. Period!

Image result for patuh syariah

Pandangan dan cadangan saya berkenaan isu di atas.

Satu sudut, bagus juga ada pihak yang mempertikaikan perbankan Islam. Supaya perbankan Islam yang ada hari ini dapat ditambah baik dan tidak selesa dengan kedudukan sekarang.

Berikut adalah beberapa pandangan dan cadangan saya berkenaan isu di atas.

1. Istilah perbankan Islam, sebaiknya ditukar kepada perbankan patuh syariah. Ia adalah untuk menjaga kesucian Islam itu sendiri.

2. Tidak dapat dinafikan ada berlaku penindasan tapi ia tidak ada kaitan dengan riba. Sebagai contoh, amalan pihak bank mengarahkan pihak ketiga untuk merampas kereta yang masih ada tunggakan, dilakukan dengan tidak bertimbang rasa. Ia adalah dalam video ketika sesi live bersama PPIM semalam.

3. Saya juga pernah menulis beberapa kes berkaitan pinjaman perumahan, yang dilihat menindas. Suka saya tegaskan, ia tiada kaitan dengan riba atau tak patuh syariah. Ia adalah sah di sisi undang-undang dan syariah.

Baca artikel di sini : Bayar Selama Hampir 15 Tahun Tapi Baki Pokok Meningkat!

Baca artikel di sini : 10 Tahun Bayar Hutang Rumah, Baki Pokok Hanya Kurang RM2,000!

4. Selepas 40 tahun bertapak di Malaysia, sudah tiba masanya perbankan Islam keluar terus dari kerangka dan model bisnes perbankan konvensional. Contoh:

  • Tidak perlu lagi menggunakan OPR. Boleh gunakan satu kadar yang berbeza dgn konvensional.
  • Tidak lagi menggunakan default clause. Jika gunakan, jangan terikat dengan cara bank konvensional.
  • Tidak ada lagi lelongan, gantikan dengan pembiayaan semula untuk kurangkan ansuran tanpa tambah baki hutang.
  • Tidak membenarkan group company yang sama memiliki bank konvensional memiliki saham dalam perbankan patuh syariah dalam masa sama tidak ada perbankan patuh syariah dan perbankan Islam yg mempunyai sama nama. Pilih salah satu sahaja. Sebenarnya ini juga punca kekeliruan awam, contoh ABC Bank konvensional dan ABC Islamic Bank. Pisahkan terus termasuk nama: ABC Bank dan XYZ Islamic Bank.
  • Tidak membenarkan pegawai bank memasarkan serentak kedua-dua produk perbankan patuh syariah dan konvensional. Ini juga satu lagi punca kekeliruan di peringkat staf bank sendiri tak faham. Mungkin mereka berhijrah bukan faktor kesedaran tapi faktor tawaran yang lebih baik dan masyuuuuuk. Biasa berlaku, mereka sendiri yang beritahu pengguna “sama je dua-dua..”.
  • Harga rumah boleh gantikan dengan nilai mata wang emas untuk urusniaga.
  • Bank membeli rumah dari pemaju dan memiliki rumah tersebut, barulah ditawarkan kepada pembeli.
  • Bank menubuhkan anak syarikat sebagai pemaju hartanah dan kemudian jual kepada pelanggan.

Ya, semua cadangan saya di atas tidak dibenarkan oleh undang-undang hari ini. Sebab itu saya katakan tadi, perlu keluar dari kerangka perbankan konvensional untuk dilihat benar-benar berbeza dari konvensional.

Ia bukan perkara senang tapi tidak mustahil jika ada kesungguhan untuk berubah. Saya sangat alu-alukan rakan yang terlibat dalam industri kewangan dan perbankan Islam untuk berikan komentar.

Satu lagi yang boleh saya cadangkan kepada PPIM

  1. PPIM boleh menjalankan aktiviti beri hutang secara “qardhul hassan” melalui koperasi KOPPIM.
  2. Laksanakan apa yang PPIM cadangkan kepada bank-bank untuk laksanakan.
  3. Berikan hutang rumah tanpa sebarang caj keuntungan atau keuntungan yang minimum. Contoh, PPIM beli rumah RM500,000 dan jual balik kepada ahli KOPPIM dengan harga sama atau mark up RM600,000 dengan bayaran ansuran selama 20 ke 30 tahun.
  4. PPIM boleh gunakan pengaruhnya untuk mendapatkan suntikan modal daripada ahli KOPPIM yang memperjuangkan isu ini. Boleh juga dapatkan sumbangan modal daripada para jutawan PPIM.
  5. Saya yakin dan percaya jika PPIM berjaya buktikan perkara, ia akan menjadi satu benchmark baru dalam sistem kewangan Islam di Malaysia. PIM telah “walk the talk”. Saya doakan PPIM berjaya!

Semoga berjaya!

Saksikan penerangan secara live; “Sama je ke perbankan Islam dengan perbankan konvensional?” oleh Dr Ahmad Sufyan Che Abdullah (pakar muamalat, ahli majlis fatwa dan founder muamalat.my)

Afyan Mat Rawi
Jemput follow dan see first

Sambil-sambil tu, boleh join Channel Telegram
Ada banyak lagi tip-tip kewangan dan kehidupan dikongsi di sana.

Tulisan asal dari FB Afyan Mat Rawi

............................................................
Buku FIRE
Buku F.I.R.E - FINANCIAL INDEPENDENCE RETIRE EARLY
RM49.00
Harga termasuk kos penghantaran

www.BukuFIRE.com

Apa komen Saudara/anda tentang tulisan ini?

Recommended
Tengah buat kira-kira untuk bayar cukai pendapatan ke tu? Naik…