Orang nampak kejayaan, tetapi tidak nampak bagaimana saya bermula

“Sebab itu saya cakap tuan tak pernah merasa miskin…”

Saya baca komen itu perlahan-lahan.

Kemudian saya senyum sendiri.

Sebab orang yang nampak kita hari ini, kadang-kadang tidak nampak bagaimana kita bermula dahulu.

Mereka nampak hasil.

Tetapi tidak nampak luka.

Hakikatnya, saya pernah ada degree law.

Dalam masa yang sama, saya juga pernah jadi penerima zakat.

Selepas grad dahulu, saya buat keputusan yang ramai orang anggap gila.

Saya memilih untuk tidak makan gaji.

Bukan sebab sudah kaya.

Tetapi sebab terlalu terpengaruh dengan idea kebebasan kewangan selepas membaca buku Rich Dad Poor Dad dan Cashflow Quadrant karya Robert Kiyosaki.

Masa itu saya percaya hidup ini ada satu formula mudah.

Belajar.

Grad.

Bina bisnes.

Dapatkan pendapatan pasif.

Bunyi macam hebat, kan?

Sekali realiti tampar muka.

Pendapatan bulan pertama saya cuma RM150.

Ya.

RM150.

Padan muka sendiri.

Masa itu saya tinggal di sebuah markaz pengajian di Kampung Nakhoda, Batu Caves.

Bangunan itu sekarang sudah jadi bangunan PASTI.

Kononnya mahu jadi usahawan.

Tetapi sebenarnya banyak terlanggar dinding.

Saya buat macam-macam kerja.

Printing.

Jual buku.

Jadi fasilitator.

Jadi runner.

Dan macam-macam lagi.

Kalau zaman itu sudah ada Grab Food atau Food Panda, mungkin saya antara rider terawal.

Masa itu saya juga sudah jadi ejen takaful.

Tetapi level “secret agent 007”.

Tidak ada siapa pandang sangat pun.

Masih segar dalam ingatan saya apabila arwah Ustaz Zakaria Mamat, mantan Imam Masjid Kampung Nakhoda, menghulurkan wang zakat untuk membantu saya.

Perasaan masa itu bercampur-baur.

Terharu.

Gembira.

Segan.

Terharu sebab ada orang peduli.

Gembira sebab dapat duit.

Siapa tidak gembira waktu poket kosong?

Tetapi dalam masa sama, segan.

Sebab ada degree law, tetapi jadi penerima zakat.

Itu antara fasa hidup yang banyak mengajar saya tentang realiti kehidupan.

Bahawa sijil tidak semestinya terus menjadikan hidup senang.

Bahawa ego kadang-kadang perlu pecah dahulu sebelum kita benar-benar belajar tentang kehidupan.

Ramai orang fikir saya terus berjaya dalam industri takaful.

Tidak.

Saya juga bermula perlahan.

Merangkak-rangkak.

Jatuh bangun.

Dan degil.

Ya, memang degil.

Ibu dan isteri banyak kali suruh saya cari kerja tetap.

Tetapi saya tetap mahu berniaga.

Sampai berkahwin pun keadaan kewangan masih tidak stabil.

Masa kahwin, isteri masih belajar.

Pendapatan pula tidak menentu.

Tetapi masa itu berani pula hendak menikah.

Kadang-kadang bila dikenang semula, saya sendiri pun geleng kepala.

Namun selepas mendapat anak sulung, barulah saya mula nampak sedikit sinar.

Pendapatan pasif daripada bisnes takaful mula terasa.

Sedikit demi sedikit kehidupan berubah.

Dan dari situlah saya mula fokus sepenuhnya dalam industri ini.

Sebab itu bila orang kata saya tidak pernah rasa susah, saya hanya senyum sahaja.

Saya pernah rasa poket hampir kosong.

Saya pernah rasa malu menerima bantuan.

Saya pernah rasa gagal dengan pilihan sendiri.

Tetapi saya juga belajar satu benda.

Keadaan kewangan boleh berubah.

Asalkan seseorang itu ada matlamat yang jelas dan sanggup mengubah cara fikirnya.

Dalam kes saya, cara fikir saya banyak dipengaruhi oleh Robert Kiyosaki.

Walaupun selepas itu ada beberapa pandangan beliau yang saya tidak lagi setuju.

Dan itu saya ceritakan lebih lanjut dalam buku Financial Independence Retire Early.

Namun satu perkara yang saya masih pegang sampai hari ini ialah:

Kehidupan seseorang boleh berubah apabila cara fikirnya berubah dahulu.

Dan percaya atau tidak, kisah saya sebenarnya lebih banyak lagi daripada ini.

Saya belum cerita lagi bagaimana saya pernah hampir mengalah selepas berkahwin.

Nak tahu?

Sumber dari FB Afyan Mat Rawi

Add a Comment