QM : Notis terkini 30 Mac 2025
Selamat hari raya dari QM
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,
Bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang mulia ini, pihak pengurusan Quantum Metal ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin kepada semua ahli Muslim dan keluarga tersayang. Semoga Aidilfitri kali ini membawa ketenangan, kebahagiaan dan keberkatan yang berpanjangan buat anda sekeluarga.
Dalam semangat perayaan ini, kami ingin berkongsi perkembangan terkini berkaitan proses pembayaran tertangguh serta langkah-langkah positif yang telah kami capai dalam usaha memulihkan dan memperkukuh operasi syarikat.
Kerjasama Strategik dan Pensijilan Dana
Dengan penuh rasa syukur, kami ingin memaklumkan bahawa Quantum Metal telah memeterai kerjasama strategik dengan sebuah institusi kewangan berlesen bagi menyokong keperluan kecairan operasi kami. Sebagai hasil daripada usaha ini, kami telah berjaya memperoleh Sijil Dana yang sah daripada pihak berkuasa tempatan pada hari Jumaat, 28 Mac 2025.
Ini merupakan satu pencapaian penting dalam proses pemulihan syarikat. Melalui kemudahan dana yang disediakan oleh institusi ini, sejumlah RM300 juta akan disalurkan secara berperingkat kepada Quantum Metal. Dana ini akan digunakan bagi memenuhi komitmen kami terhadap ahli, khususnya mereka yang telah memohon pencairan emas.
Fasa Seterusnya Sedang Dilaksanakan
Sejurus selepas memperoleh sijil dana tersebut, kami telah memulakan fasa akhir penyediaan pentadbiran, termasuk proses pembukaan akaun bank khas dan pelaksanaan prosedur dalaman yang diperlukan sebelum dana dapat disalurkan sepenuhnya.
Berdasarkan perancangan semasa, kami menjangkakan dana akan mula diterima dalam beberapa minggu akan datang dan pembayaran semula kepada ahli dijangka bermula selewat-lewatnya pada penghujung April atau awal Mei 2025.
Inisiatif Tambahan untuk Pilihan Kecairan
Sementara menunggu dana disalurkan sepenuhnya, Quantum Metal juga telah memperkenalkan satu inisiatif alternatif melalui kerjasama dengan pihak ketiga. Platform ini membolehkan ahli menjual dan membeli GSA pada harga menarik yang lebih rendah daripada harga pasaran semasa. Ini merupakan pilihan tambahan untuk mereka yang memerlukan kecairan segera dalam tempoh terdekat.
Komitmen Kami Tidak Pernah Berubah
Sepanjang cabaran yang dihadapi, komitmen kami terhadap ahli tidak pernah berubah. Kelewatan yang berlaku adalah disebabkan oleh keperluan pematuhan yang ketat dan proses semakan mendalam oleh pihak berwajib serta rakan strategik. Ia bukanlah disengajakan, sebaliknya adalah sebahagian daripada tanggungjawab kami untuk memastikan segala urusan berjalan mengikut saluran yang sah dan telus.
Kami yakin bahawa langkah-langkah yang telah diambil ini bukan sahaja akan menyelesaikan isu tertangguh, malah akan mengukuhkan kedudukan Quantum Metal sebagai penyedia penyelesaian kewangan berasaskan emas yang berdaya tahan dan diyakini, bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di peringkat antarabangsa.
Kami amat menghargai kesabaran, kepercayaan, dan sokongan yang telah diberikan oleh semua ahli. Dalam bulan yang penuh keberkatan ini, marilah kita bersama-sama berdoa agar segala urusan dipermudahkan dan segala yang dirancang dapat dilaksanakan dengan lancar.
Kami akan terus komited untuk memberikan makluman terkini kepada anda dari semasa ke semasa seiring dengan perkembangan proses pembayaran ini.
Ikhlas daripada,
Quantum Metal
Notis tempoh hari:
“Dalam pengumuman sebelum ini, kami telah menyatakan bahawa pembayaran akan bermula pada bulan Mac 2025.”

Notis terkini 30 Mac 2025:
“Berdasarkan perancangan semasa, kami menjangkakan dana akan mula diterima dalam beberapa minggu akan datang dan pembayaran semula kepada ahli dijangka bermula selewat- lewatnya pada penghujung April atau awal Mei 2025”

Subhanallah. Sesungguhnya mereka dari kalangan orang-orang yang sabar.
Beli emas dapat emas
Beli emas dapat notis
Dah habis puasa ni,.jemputlah komen sepatah dua.
Sumber dari FB Afyan Mat Rawi
............................................................
Buku F.I.R.E - FINANCIAL INDEPENDENCE RETIRE EARLY
RM49.00
Harga termasuk kos penghantaran