REVERSI (2024): Antara pengorbanan, takdir dan plot twist mengejutkan
REVERSI (2024)

AWAS: SPOILER ALERT!
“Saya daripada masa depan”
Itu ayat yang terpacul dari mulut saya sebaik sahaja tayangan bermula.
Ia ditunjukkan sedari awal filem ini yang berkisar tentang Akid (lakonan Beto Kusyair), seorang lelaki yang mewarisi keupayaan untuk patah balik ke masa lalu daripada ayahnya.
Dari situ, kita diajak menyelami dilema dan pengorbanan Akid dalam usahanya untuk menyelamatkan Sarah isteri dan anak mereka daripada kemalangan tragis.
Masa mula-mula tengok trailer dan sewaktu klimaks filem ini, saya jangka plot twist dia adalah Akid patah balik ke masa lalu untuk buat keputusan tidak kahwin dengan Sarah – macam nak reset hidup dia.
Tapi, sangkaan saya jauh meleset. Plot twist sebenar dia jauh lebih “mind-blowing” daripada tu.
Ada banyak plot twist dalam plot twist.
Masa tengok Akid berulang kali patah balik untuk selamatkan keluarga, saya terus teringat siri “What If” musim pertama dalam episod Dr. Strange ingin mengubah takdirnya.
Atau macam dalam Loki Musim 2, konsep perjalanan masa dikupas dengan lebih mendalam, di mana Loki berusaha mengubah takdir multiverse sambil cuba mengimbangi akibat daripada setiap tindakannya.
Akid, Dr Stranger dan Loki sedar bahawa ada harga yang perlu dibayar untuk setiap perubahan yang dilakukan, dan tak semua takdir boleh dielak tanpa kesan besar.
Dalam What If, kematian teman wanita Dr Strange adalah “absolute point” – sesuatu yang tak boleh diubah.
Filem Reversi mempunyai elemen serupa.
Walaupun Akid cuba berkali-kali, setiap perubahan tetap membawa kepada tragedi baru. Kalau bukan anaknya, isterinya pula menjadi korban.
Ini menjadikan Akid terperangkap dalam kitaran kesedihan dan penyesalan, sama seperti apa yang Loki rasakan apabila cuba menyelamatkan masa depan TVA (Time Variance Authority).
Meremang bulu roma saya sewktu menyaksikan babak demi babak demi babak Akid kembali ke masa lalu untuk selamatkan keluarganya tetapi gagal.
Ada sekali dia berjaya selamatkan isteri tapi kehidupannya berubah apabila isterinya mempersoalkan kenapa tidak selamatkan anak.
Kemudian dia ubah lagi takdir dan kali ini selamatkan anak tapi isterinya pula terkorban, pun mengubah hidupnya apabila anaknya sering bertanya di mana ibunya.
Kesemua takdir memberi kesan besar kepada kehidupan Akid yang penuh dengan emosi.
Tapi, Reversi tidak berhenti setakat itu. Filem ini penuh dengan kejutan yang terus membuatkan kita terfikir.
Sekurang-kurangnya ada 3 plot twist. Dan juga babak yang macam plot twist, yang saya tak faham sebenarnya
PLOT TWIST PERTAMA
Takdir asal Akid adalah dia sendiri yang sepatutnya meninggal dunia dalam kemalangan tu.
Tapi ayahnya, yang juga boleh patah balik ke masa lalu, cuba ubah takdir itu. Ayah Akid dah cuba berkali-kali untuk selamatkan Akid, tapi tetap gagal.
Usaha ayahnya ni sama macam apa yang Akid alami sendiri – cuba lawan takdir tapi akhirnya terperangkap dalam kesakitan.
PLOT TWIST KEDUA
Pada percubaan terakhir, ayah Akid buat keputusan paling besar: dia mengorbankan dirinya supaya Akid boleh hidup.
Babak ini sangat menyentuh hati – kasih seorang ayah yang sanggup letak diri sendiri sebagai taruhan demi anaknya.
PLOT TWIST KETIGA
Tapi tunggu, cerita tak habis di situ. Dalam babak penuh emosi, Akid pula patah balik ke masa lalu untuk jumpa ayahnya.
Dia minta ayahnya supaya tidak menyelamatkannya.
Akid kata dia dah puas hidup dan rela biarkan takdir asalnya berlaku. Babak ni sangat power – penuh rasa pengorbanan dan penerimaan terhadap takdir.
Berapa banyak plot twist daaa?!
Dah la filem ni penuh kejutan, tapi ada satu babak yang masih buat saya tertanya-tanya.
Masa Akid sengaja kemalangan dengan melanggar tiang, apa sebenarnya tujuan dia buat macam tu?
Adakah itu perlambangan keputusasaan atau simbol dia nak terima hakikat?
Mungkin penonton lain ada interpretasi masing-masing.
Apapun “Reversi” bukan sekadar filem tentang perjalanan masa.
Ia cerita tentang kasih sayang, pengorbanan, dan berdamai dengan takdir.
Sama seperti mesej dalam Loki Musim 2 dan What If, filem ini buat kita tertanya-tanya: kalau diberi peluang untuk ubah masa lalu, sejauh mana kita sanggup pergi?
Dan apabila dah sampai ke titik itu, adakah ia benar-benar berbaloi?
Sumber dari FB Afyan Mat Rawi
............................................................
Buku F.I.R.E - FINANCIAL INDEPENDENCE RETIRE EARLY
RM49.00
Harga termasuk kos penghantaran