fbpx

Usah kecam orang tidak beri duit raya

  • 12 months ago
  • 2Minutes
  • 391Words
  • 127Views

Kosmo! KHAMIS 20 APRIL 2023

Klik imej untuk paparan besar

APABILA menjelang raya, pastinya kanak-kanak sangat menantikan momen untuk menerima dan mengutip duit raya.

Malah, ada juga antara kanak-kanak menjadikan tradisi mengumpul duit raya sebagai perlumbaan siapa yang berjaya mengutip jumlah paling banyak.

Malah, ada pula yang menjadikan pemberian duit raya sebagai trend dan bukannya diberi ikut kemampuan.

Lebih memburukkan keadaan apabila kanak-kanak memandang rendah kepada pemberi sekiranya sampul yang dibuka hanya mempunyai nilai sedikit seterusnya dicop sebagai kedekut.

Jika dipandang dari sudut pemberi, amalan tersebut boleh menjadi bebanan memandangkan sekarang ekonomi kian goyah lebih-lebih buat individu bujang yang baru menapak dalam bidang pekerjaan.

Menurut perunding kewangan, Afyan Mat Rawi, pemberian duit raya dilihat mempunyai aspek pro dan kontranya tersendiri.

“Memang bersedekah adalah amalan mulia dan amat digalakkan tetapi jangan jadikan sikap memberi duit raya sebagai kewajipan sehingga menyebabkan orang tidak mampu rasa bersalah.

“Kepada ibu bapa juga jangan didik anak untuk minta duit raya kerana boleh menimbulkan tangkapan negatif oleh anak terhadap orang yang tidak memberi duit raya.

“Jadi, tiada isu jika orang bujang bekerja tidak memberikan duit raya memandangkan amalan tersebut bukan ajaran Islam dan budaya Melayu,” katanya ketika dihubungi.

Tambahnya, tiada apa yang mampu dilakukan untuk menepis pandangan negatif mengenai isu pemberian duit raya selain hanya tidak mengendahkan perbuatan tersebut.

“Kalau saya akan buat tidak tahu sahaja mengenai perkara tersebut.

“Bukannya mereka yang tentukan kehidupan saya. Wang adalah tanggungjawab masingmasing.

“Jika kita kesuntukan wang, orang yang memandang negatif terhadap kita tidak akan membantu kita pun,” jelasnya.

Dalam pada itu, Afyan kesal dengan sikap orang Melayu yang mempunyai pandangan negatif terhadap amalan pemberian duit raya dan menyarankan untuk mengikuti cara nabi kita.

“Inilah masalah orang kita. Suka sangat menghakimi orang lain. Sepatutnya perkara sebegini tidak perlu dijadikan polemik dalam masyarakat.

“Turuti sahaja cara dan sunnah Rasulullah SAW dalam menyambut Syawal,” ujarnya.

Sebelum menggulung bicara, Afyan juga menasihati agar sentiasa bersederhana dalam melakukan apa jua tanpa mempamerkan sikap menunjuk-nunjuk.

“Sama juga dengan amalan lain seperti beli baju baharu, buat rumah terbuka dan sebagainya.

Lakukan ikut kemampuan dan bersederhana dengan niat ibadah yang bukan untuk menunjuk semata-mata.

“Apa yang menjadi masalah adalah apabila ada unsur menunjuk-nunjuk siapa lebih cantik dan siapa yang lebih banyak memberi.

“Amalan tersebut menyebabkan orang tidak berkemampuan rasa rendah diri walhal perasaan tersebut bukan semangat Syawal yang sepatutnya timbul sebagai umat Islam,” tutupnya.

Sumber dari FB Afyan Mat Rawi

............................................................
Buku FIRE
Buku F.I.R.E - FINANCIAL INDEPENDENCE RETIRE EARLY
RM49.00
Harga termasuk kos penghantaran

www.BukuFIRE.com

Apa komen Saudara/anda tentang tulisan ini?

Recommended
Saya menjawab soalan yang diajukan dalam posting sebelum ini berkenaan…