Bagaimana Merancang Harta Sepencarian

Bagi pasangan suami isteri, pembelian rumah dalam tempoh perkahwinan boleh dianggap sebagai harta sepencarian. 

Supaya memudahkan proses tuntutan harta sepencarian, ada beberapa cara yang boleh dilakukan oleh pasangan suami isteri. 

Cara pertama, rumah dibeli atas kedua-dua nama suami dan isteri. Dengan cara ini, masing-masing memiliki hak 50% – 50% terhadap rumah yang dibeli. 

Cara lain ialah, rumah boleh dibeli atas nama salah seorang dan kemudian selepas selesai proses pembelian, boleh dibuat deklarasi harta sepencarian. Deklarasi ini untuk membuat pengisytiharan rasmi bahawa rumah yang dibeli tadi adalah harta sepencarian pasangan suami isteri tadi. 

Dalam deklarasi tersebut, pasangan boleh memilih bahagian masing-masing 50% – 50%, 60% – 40%, atau sebagainya. Yang paling ideal ialah 50% – 50%. Deklarasi ini boleh dibuat melalui peguam. 

Perancangan harta sepencarian juga merupakan sebahagian daripada perancangan kewangan dan harta muslim. 

Deklarasi harta sepencarian adalah dokumen yang berasingan daripada wasiat kerana wasiat hanya berfungsi apabila berlaku kematian manakala deklarasi harta sepencarian pula akan akan berfungsi selain dari berlaku kematian, iaitu perceraian atau poligami. 

Merancang harta sepencarian ini memudahkan proses tuntutan di kemudian hari, sama ada berlaku kejadian seperti perceraian, poligami atau kematian. 

Implikasinya nanti, bahagian masing-masing sudah dirancang awal-awal dan dapat mengurangkan konflik di kemudian hari. 

Contohnya, apabila suami meninggal dunia maka isteri perlu membuat permohonan di mahkamah untuk mendapatkan hak harta sepencarian rumah yang dibeli atas nama suami. Ini memerlukan isteri arwah mengumpulkan dokumen-dokumen sokongan untuk dibuktikan di mahkamah. 

Jadi, dengan adanya dokumen deklarasi harta sepencarian akan memudahkan isteri tadi membuat tuntutan. 

Jika tidak dibuat tuntutan harta sepencarian, hak faraidh isteri tadi hanyalah 1/8 (jika ada anak)  atau 1/4 jika ada anak.

Melalui tuntutan harta sepencarian, isteri boleh mempunyai hak 50% ke atas rumah dan baki 50% lagi barulah difaraidhkan sesama ahli waris. 

Maknanya isteri boleh mendapat hak majoriti ke atas rumah tadi, apabila dicampur hak harta sepencarian 50% dan hak faraidh sehingga 25%. 

Jika tidak, ada kemungkinan isteri tadi terpaksa keluar rumah apabila hanya bergantung kepada hak faraidh yang paling tinggi pun 25% sahaja.

One Comment

Apa komen Sdra/i tentang tulisan ini?