13 tahun tanpa elektrik, akhirnya terpaksa tunggu Sultan Pahang di tepi jalan

Ramai orang sangka zaman hidup tanpa elektrik sudah lama berlalu.

Rupanya pada tahun 2026, masih ada keluarga di Malaysia yang sudah lebih 10 tahun bergantung kepada bateri kereta dan tenaga solar untuk menerangi rumah sendiri.

Yang menyentuh hati, mereka sanggup berdiri di tepi jalan semata-mata mahu menarik perhatian Sultan Pahang.

“Ampun Tuanku, mohon berhenti sekejap.”

Pendek ayat itu.

Tetapi berat untuk seorang ayah tulis dan pegang di hadapan keluarga sendiri.

Dia dapat tahu rombongan Sultan akan melalui jalan kampung mereka di Kuala Sat, Ulu Tembeling, Jerantut.

Jadi dia bersama beberapa orang kampung tunggu di tepi jalan.

Dia angkat placard.

Kereta Sultan perlahan.

Kemudian berhenti.

Dia terus terpa ke pintu dan beritahu masalah mereka.

13 tahun kampung mereka tiada elektrik.

13 tahun bergantung kepada bateri kereta dan tenaga solar untuk kegunaan asas harian.

Bayangkan anak-anak membesar dalam keadaan begitu.

Semua kereta rombongan turut berhenti.

Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah dengar sendiri masalah rakyat baginda.

Kadang-kadang rakyat tidak perlukan ucapan panjang berjela-jela.

Cukup ada pemimpin yang sanggup berhenti dan mendengar.

Yang buat ramai lebih terkejut, tak sampai 24 jam, berbelas tiang konkrit elektrik TNB sudah sampai ke kampung tersebut dan sedia untuk dipasang.

Itu yang buat ramai orang tertanya-tanya.

Selama berbelas tahun ini, apa sebenarnya yang berlaku?

Sampai rakyat terpaksa tunggu tepi jalan dan mengadu sendiri kepada Sultan untuk dapatkan perkara asas seperti elektrik.

Gila juga apabila difikirkan.

Benda asas seperti ini sepatutnya sudah lama selesai.

Tetapi dalam masa sama, ramai juga tersentuh melihat tindakan Sultan yang terus berhenti, dengar sendiri dan ambil tindakan segera.

Kadang-kadang satu tindakan kecil daripada seorang pemimpin boleh mengubah hidup sebuah keluarga untuk bertahun-tahun.

Dan dalam dunia hari ini, sikap mahu mendengar masalah rakyat itu sendiri sudah sangat mahal nilainya.

Apa yang wakil rakyat dan MB Pahang buat selama 13 tahun ini?

Sumber dari FB Afyan Mat Rawi

Add a Comment