Convest UIA: Dulu meriah, kini suram?
![](https://i0.wp.com/afyan.com/wp-content/uploads/2025/02/Convest-UIA-Dulu-Meriah-Kini-Suram.jpg?resize=678%2C813&ssl=1)
Lama benar rasanya tak berkunjung ke Pesta Konvokesyen UIAM, atau lebih mesra dikenali sebagai Convest.
Malam ini, tiba-tiba timbul rasa nak singgah ke sana bersama keluarga selepas solat Maghrib.
Seingat saya, lokasi Convest selalu berlangsung di Bukit Convest.
Jadi, kami terus menuju ke sana. Tapi, setibanya di lokasi, kawasan itu gelap gelita.
“Eh, dah habis ke Convest?”
Saya dan isteri saling berpandangan, penuh tanda tanya.
Kami teruskan perjalanan, membuat satu pusingan sekitar kampus untuk mencari tanda-tanda lokasi Convest.
Nostalgia mula menyerang, teringat zaman dahulu kala, Convest pernah berlangsung di kawasan parking lot kuliah Ekonomi, itu pun dekat 30 tahun yang lalu. Tetapi malam itu, tidak ada sebarang petunjuk.
Pusingan kedua juga tidak membuahkan hasil.
Convest berpindah tempat
Akhirnya, setelah bertanya kepada seorang guard, kami mendapat jawapan: lokasi Convest kini berpindah ke kawasan tengah-tengah UIA dekat riverside, berhampiran Masjid UIA.
Kami tiba di lokasi sekitar jam 9 malam, tetapi hampa. Kebanyakan gerai sudah tutup dan selesai operasi. Suasananya jauh dari apa yang saya bayangkan—senyap, sepi, dan kurang meriah.
Namun, kawasan sekitar masjid kelihatan sedikit hidup. Ada persembahan kebudayaan yang sedang berlangsung, tetapi penontonnya tak sampai 100 orang. Malah, peserta persembahan nampak lebih ramai daripada yang menonton.
Saya tertanya-tanya, sejak bila lokasi Convest berubah?
Yang pasti, lokasi baru ini lebih strategik kerana berhampiran dengan dewan utama Majlis Konvokesyen dan laluan utama warga universiti.
Tidak seperti Bukit Convest dahulu yang terasing dan memerlukan usaha lebih untuk diakses.
Namun, persoalan yang terus bermain di fikiran ialah: kenapa suasananya begitu suram dan sendu?
Tiba-tiba nostalgia datang menjengah, Convest dahulu penuh dengan warna-warni dan semangat kemeriahan. Ia menjadi tempat bertemu rakan-rakan lama dan menikmati pelbagai aktiviti.
Atau barangkali saya datang pada waktu yang tidak sesuai?
Sumber dari FB Afyan Mat Rawi
............................................................![Buku FIRE](https://i0.wp.com/afyan.com/wp-content/uploads/2023/05/BukuFIRE-NEW-1.png?w=678&ssl=1)
Buku F.I.R.E - FINANCIAL INDEPENDENCE RETIRE EARLY
RM49.00
Harga termasuk kos penghantaran