fbpx

Isu Hukum Tukaran Emas

  • 4 years ago
  • 5Minutes
  • 964Words
  • 757Views

Dipetik dari muamalat.my

Nisab Zakat Emas

Isu Hukum Tukaran Emas Perhiasan Lama Dengan Baru

Isu ini hangat kembali walaupun saya sudah tulis suatu ketika dahulu. Di sini saya nak jelaskan dengan bahasa yang lebih mudah, jadi tulisan ini agak panjang, tapi kena baca satu persatu supaya isu boleh difahami. Saya tak pandai melukis.

Emas perhiasan lama 50gm ditukar dengan emas perhiasan baru 50gm lalu ditambah upah. Ada yang kata tak boleh, haram, mengapa?

1. Mengapa Ada Yang Kata Haram?
Ulama yang kata haram sebab mereka berpegang kepada semua emas adalah barangan ribawi, tak kira perhiasan atau tidak, tak kira emas baru atau lama. Dan ini pendapat majoriti ulama. Bahkan ini pendapat ulama modern seperti Sheikh Ibn Uthaymin, Ibn Baz dan ramai lagi.
Mengapa jadi riba? Sebab ada unsur tafadul. Apa itu tafadul? Tafadul ialah tidak sama antara satu dengan yang lain. Dalam kes ini, bayaran upah itu dianggap tafadul, kerana sepatutnya emas ditukar dengan emas sama berat, tak kira emas lama dan emas baru.

2. Mengapa ada yang membolehkan?
Ulama yang membolehkan kerana mereka menganggap barang kemas dan perhiasan adalah sudah terkeluar daripada ‘illah ribawi. Bahkan upah yang ada pada barang kemas adalah mesti diiktiraf. Selagi mana ada ia perhiasan, sudah tentu ada upah pertukangan dan pembuatan dan upah itu akan ’embedded’ dengan harga emas. Adalah mustahil emas lama dengan emas baru boleh tukar dengan harga yang sama kerana terdapat elemen upah di situ.
Ulama yang berpendapt sebegini ialah Imam Ahmad dalam satu pendapatnya, Ibn Taymiyyah dan Ibn Qayyim. Manakala ulama moden pula seperti Rafiq Yunus al-Misri, Dr Yusuf al-Qaradawi, Mufti Ali Jumaah (Fatwa Mesir), Sheikh Abdullah Muni’ (Ulama Saudi), Parameter Pelaburan Emas JAKIM Yang Diperakui oleh Muzakarah Fatwa Kebangsaan, Fatwa Negeri Perlis dan Fatwa Negeri Kelantan.

3. Punca Perbezaan Pendapat
Puncanya ialah pada pengiktirafan upah dalam barang kemas atau perhiasan ini. Majoriti tidak mengiktiraf upah, manakala pendapat Ibn Taymiyyah dan sealiran dengannya mengiktiraf upah sebagai ada nilaiannya dan sepatutnya diambil kira.

4. Sebenarnya pada saya kedua-dua pendapat ini tidak banyak berbeza. Ini kerana Ibn Taymiyyah sendiri tidak mengiktiraf upah jika emas perhiasan itu dijadikan alat tukaran (wang). Bayangkan dalam keadaan duit kita seharian adalah emas. Jika nak dijadikan wang, sudah tentu kadar upah tidak boleh diambil kira. Secantik mana pun design perhiasan itu dan semahal mana pun upah pembuatannya, kalau nak dijadikan wang, emas itu jika ditukar dengan emas, mesti sama berat. Bayangkan berat cincin anda mungkin tak sampai satu dinar (4.25gm), tapi harga cincin anda termasuk upah itu sama harga dengan duit satu dinar, anda pergi ke kedai kambing, nak beli kambing yang berharga satu dinar seekor, sudah tentu penjual kambing itu tak nak ambil kira upah harga cincin itu. Dia cuma nak terima jika berat cincin itu satu dinar sahaja. Upah itu sudah tak diambil kira. Itulah konteks perbincangan ulama silam. Konteks perbincangan ulama majoriti mazhab adalah konteks jual beli al-sarf, iaitu tukaran wang, manakala bagi Ibn Taymiyyah, jika emas itu adalah dibuat untuk perhiasan, ia tak tertakluk kepada konteks al-sarf lagi.

5. Jika emas itu adalah tujuannya perhiasan, kadar upah itu layak diambil kira. Jika tak dikira, masakan setiap barang perhiasan ada harga upah? Mustahil, tiada harga upah. Pelbagai jenis workmanship yang ada yang melibatkan upah.

6. Inilah pendapat Imam Ahmad bin Hanbal, yang dinukilkan oleh Ibn Qudamah dalam kitab al-Mughni apabila ditanya tentang seorang lelaki yang membayar 2 dirham perak untuk mendapatkan cincin seberat 1 dirham sahaja; 1 dirham untuk upah dan satu dirham lagi tukaran perak. Imam Ahmad kata tidak ada masalah dan harus. Bahkan Ibn Qudamah mengatakan, inilah pendapat sebahagian ulama mazhab kami.

7. Berasaskan hal ini, bagi Ibn Taymiyah, apabila emas perhiasan sudah bercampur dengan harga upah, maka kedudukan emas perhiasan tidak lagi dianggap sebagai harta ribawi, tetapi ia seperti barangan biasa seperti pakaian dan lain-lain. Kecuali dalam kes jika emas perhiasan itu dijadikan wang, baharulah ia kembali kepada barangan ribawi.

8. Realiti Transaksi Kedai Emas Dengan Kilang (Supplier).
Ini pun satu hal, walaupun ada kedai emas mengatakan mereka buat dua akad dengan pembeli, semata-mata atas alasan nak elakkan riba, dan tak nak berlaku isu top up harga upah, tapi mereka (kedai emas) dengan kilang (supplier perhiasan) tak pernah berlaku seperti itu, bukan di Malaysia sahaja, di mana-mana negara pun sama.
Adalah menjadi amalan biasa, seluruh dunia, kedai emas akan tolak barangan emas perhiasan lama dengan kilang secara tafadul. Beri emas lama 1kg, dapat emas baru sekitar 950gm lebih saja. Kalau emas lama itu emas 916 seberat sekilogram diserahkan kepada kilang, kilang akan kira emas tulen 999 hanya 900 gram saja. Itu belum dicampur upah setiap satu jenis perhiasan lagi. Cincin upah lain, rantai tangan upah lain, design modern upah lain.
Mengapa wujudnya tafadul ini? Seperti tadi juga, isunya pada upah. Upah itu memang actual ujrah yang wujud dalam transaksi. Tidak dapat dielakkan kerana proses menulenkan emas lama, ada kosnya, design ada kosnya. Kos inilah yang menjadi emas perhiasan tidak lagi menjadi ribawi.

9. Kesimpulannya, walaupun ada pendapat yang mengatakan emas perhiasan adalah ribawi, pendapat yang mengatakan emas tidak ribawi juga ada asasnya yang kuat, bahkan lebih menepati realiti sebenar industri, serta tidak ada unsur menzalimi sesiapa. Atas sebab itu Fatwa Kelantan, Perlis dan Parameter JAKIM memilih pandangan emas perhiasan adalah bukan ribawi, tetapi tetap menghormati ijtihad ulama yang menganggap ia adalah ribawi, kerana mereka pun asas yang kuat.

10. Jika emas perhiasan bukan harta ribawi, maka kalau terus nak topup duit upah ke atas emas lama untuk bayar emas perhiasan baru tidak menjadi riba al-fadl lagi. Tiada unsur tafadul, kerana ia sama seperti barangan biasa. Ia sama saja dengan tolak kereta lama dengan tambahan duit untuk ambil kereta baru.

11. Jika rasa nak lari daripada khilaf, nak ikut pendapat majoriti mazhab, boleh saja buat dua akad, jual dulu emas lama, ambil duit dan tambah duit baru dan buat akad kedua beli daripada kedai. Lari daripada khilaf adalah sunat dan lebih afdal.

Ahmad Sufyan Che Abdullah
muamalat.my

 

Sumber dari FB Afyan Mat Rawi 

............................................................
Buku FIRE
Buku F.I.R.E - FINANCIAL INDEPENDENCE RETIRE EARLY
RM49.00
Harga termasuk kos penghantaran

www.BukuFIRE.com

Apa komen Saudara/anda tentang tulisan ini?

Recommended
Terima kasih kepada Ustaz Dr Ahmad Sufyan Che Abdullah yg memperingatkan saya…