Pelaburan koperasi selamat atau berisiko? Jangan sampai tersontot di pintu koperasi

Saya kerap ditanya tentang pelaburan koperasi, dan ini jawapan jujur yang saya biasa berikan.

Secara peribadi, saya kurang konfiden dengan pelaburan di bawah koperasi.

Saya tak kata semua koperasi bermasalah, tetapi sebab terlalu banyak kes yang “nampak cantik di awal, tetapi berakhir dengan masalah”.

Juga saya tidak mengatakan pelaburan koperasi itu scam. Tapi memang ada banyak kes kena scam dalam pelaburan koperasi.

Dan sejarah menunjukkan, terlalu banyak kes (koperasi atau bukan) yang gagal menunaikan janji pulangan bulan, bintang, langit dan samudera.

Antara kes yang pernah berlaku ialah Koperasi Al Hilal yang masih bergelut memulangkan modal kepada ahli sehingga hari ini.

Kemudian muncul pula isu Koperasi PPIM dengan aduan pelabur yang menunggu pulangan yang dijanjikan.

Juga kes Ko-Ummah, Ko-Makmur dan lain-lain, banyak pelabur mengadu.

Semua ini bukanlah scammer. Tetapi realitinya, ramai pelabur tetap “terciduk”.

Masalah utama bukan pada konsep koperasi, tetapi pada cara pelaburan itu ditawarkan.

Jika koperasi dibuka luas kepada umum dan menjanjikan pulangan menarik, risiko kegagalan akan meningkat dengan ketara.

Sebaliknya, koperasi yang benar-benar konsisten biasanya ada satu ciri penting.

1. Keahlian mereka terhad.

2. Modal pelaburan mereka juga terhad dan terkawal.

Contoh paling jelas ialah Koperasi Permodalan Felda yang hanya untuk komuniti Felda sahaja tetapi mampu beri pulangan stabil setiap tahun.

Begitu juga Bank Rakyat yang menawarkan dividen tinggi, tetapi peluang pelaburan sangat terhad kerana kuota.

Ini adalah disiplin pengurusan risiko. Ia bukannya ada rahsia ajaib dari langit pun.

Lebih kecil skala dan lebih terkawal aliran dana, lebih mudah untuk kekalkan konsistensi pulangan.

Sebab itu ASB suatu ketika dahulu pernah berikan pulangan 2 angka, tapi sekarang tidak lagi. Sebabnya modal dan dana makin besar.

Apabila terlalu ramai pelabur dan dana terlalu besar, pengurusan jadi kompleks dan risiko meningkat.

Hakikatnya, syarikat pelaburan profesional pun belum tentu boleh beri pulangan konsisten setiap tahun.

Inikan pula koperasi yang baru belajar mengurus dana besar.

Sebab itu, koperasi yang berjaya biasanya tidak agresif membuka pelaburan kepada umum.

Nasihat saya mudah.

1. Semak laporan audit kewangan terlebih dahulu.

2. Lihat rekod prestasi, bukan janji.

Jika tiada track record yang jelas, berhati-hati di jalan raya.

Jangan sampai tersontot di pintu koperasi.

Afyan Mat Rawi

Penulis buku Tersontot Di Pintu Shorga

Sumber dari FB Afyan Mat Rawi

Add a Comment