Rentetan Kontraversi Isu Metamorpohis

Sekitar Julai 2019

Kali pertama saya tahu tentang isu Metamorphis yang kendalikan oleh Tuan Afnan Rosli adalah pada bulan Julai 2019 lepas apabila membaca posting-posting daripada Ustaz Masri Ramli.

Ketika itu, Ustaz Masri berkongsi pandangan beliau tentang isu “feeling is prayer” tanpa menyebut nama Tuan Afnan dan program Metamorphosis.

Dalam satu posting, saya bertanyakan tentang bagaimana timbul isu ini dan ada rakan yang memberi komen nama Tuan Afnan Rosli.

Posting Ust Masri boleh dibaca melalui hashtag #FeelingIsNotPrayer untuk menolak ajaran bahawa “feeling is prayer”.

 

24 – 25 Julai

Selepas saya mengikuti FB Tuan Afnan, saya tergerak until klik “add friend” dan Alhamdulillah salam persahabatan FB saya diterima beberapa hari selepas itu

Kemudian saya baru perasan beliau juga antara yang terlibat dalam misi kemanusiaan antarabangsa bersama NGO Serantau Muslim, kolelaan sahabat saya Ustaz Hakim Mohd Nor.

Ketika itu hanya fokus kepada isu “feeling is prayer” sahaja dan tidak ada isu lain dibangkitkan. Masa itu pun tak perasan nama programnya ialah Metamorphosis.

Kalau tak silap ketika itu followers Tuan Afnan sekitar 70,000 dan posting-posting beliau sangat mendapat sambutan positif.

Saya sangat respek kepada anak muda ini dalam masa saya juga percaya apa yang ditegur oleh Ustaz Masri adalah benar.

Hujah syarie yang dikemukakannya berpandukan Quran dan Hadith untuk menolak ajaran feeling is prayer, sangat ampuh untuk dipatahkan.

Selepas isu “feeling is prayer” menjadi hangat, Tuan Afnan mengeluarkan kenyataan bahawa beliau akan mengeluarkan silibus “feeling is prayer” daripada modul training beliau.

Ketik itu saya fikir, tentu beliau sudah dinasihati oleh Ustaz Hakim, yang selalu bersama beliau. Cuma silap saya, tidak tanyakan direct kpd Ustaz Hakim.

Tambah Tuan Afnan lagi, beliau sudah pun berhubung dengan pejabat Mufti untuk menilai sendiri modul program beliau.

Ketika itu tambah rasa kagum saya dengan beliau kerana beliau tidak melenting atau menyindir pihak lain. Nampak beliau berlapang dada dan berjiwa besar menghadapi kemelut dan kontroversi yang melanda.

Inilah hikmahnya kenapa perlu ada insan yang menegur secara publik apabila kesalahan dilakukan secara publik. Yang penting teguran dilakukan secara baik dan berhikmah.

Selepas itu barulah saya tahu bahwa program itu namanya Metamorphosis yang mendapat sambutan luarrrrr biasa setiap kali diadakan.

Dan saya melihat depan mata kepala saya sendiri, setiap kali pendaftaran dibuka, tiket sold-out dalam masa beberapa minit dengan jualan jutaan ringgit.

Awalnya saya sangkakan ia gimik, tapi selepas meneliti komen- komen yang kecewa tak dapat tiket, saya yakin ia genuine.

Tambah saya kagum, ia dilakukan tanpa sebarang promosi berbayar dan hanya dilakukan melalui FB personal Tuan Afnan.

Sesekali saya komen di sana tanpa fikir untuk hadiri program berkenaan. Ia bukan untuk semua orang.

 

Ogos – September

Dari bulan Ogos hingga September lepas, saya terbaca beberapa posting yang mengkritik ilmu-ilmu yang dikongsi dari Metamorphosis dan dikaitkan dengan ajaran new age.

Saya mengikutinya dengan penuh minat tanpa membuat sebarang ulasan kerana ia di luar daripada ilmu pengetahuan saya.

Biarlah orang-orang yang mempunyai pengetahuan agama dan orang yang berpengalaman dengan perkara tersebut untuk berikan pandangan.

Saya cukup sekadar komen dan share untuk tujuan sebarkan kebenaran. Polemik terus berterusan dan ada sahaja posting baru yang menyokong dan mengkritik. Malah kemudiannya melarat sehingga tindakan mahkamah.

 

20 September
Kemuncaknya apabila Pertubuhan Trainer Muslim Kebangsaan (TAMRIN) mengambil inisiatif untuk menemukan Tuan Afnan dengan autoriti agama.

Namun pertemuan tersebut disalah tafsir bahawa TAMRIN dan autoriti sudah endorse program TAMRIN dan ia dinafikan oleh TAMRIN. Tuan Afnan edit posting beliau bertajuk “KENYTAAN RASMI METAMORPHOSIS” selepas ia tersebar luas bahawa ada endorsement dari TAMRIN.

 

23 September
Rentetan kontraversi-kontraversi yang berlaku, beliau mengeluarkan satu video live untuk mengumumkan bahawa program Mega Metamorphosis beliau dibatalkan.

Saya rasa agak lega di situ.

Cuma katanya ia akan tetap ada di tempat program kerana semua telah ditempah awal dan tidak boleh dibatalkan last minit.

 

26 September

Beberapa hari sebelum program terakhir Mega Metamorphosis, Mufti Wilayah Persekutuan Dato’ Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri mengeluarkan kenyataan rasmi melalui Bayan Linnas yang mengatakan bahawa modul-modul yang dikongsi mempunyai elemen tidak patuh syariah dan perlu ditinggalkan.

Sebelum kontroversi-kontraversi ini melanda, saya pernah sekali berjumpa beliau tapi secara beramai-ramai iaitu ketika program Social Media Influencer untuk mempromosi Quran Hour di Karangkraf. Tidak sempat untuk sembang apa pun.

Selain itu saya beberapa kali menghantar mesej kepada beliau sehingga akhir sekali beliau didapati deactivate FB beliau.

Mesej saya hantar sebagai seorang sahabat baru, yang melihat beliau masih muda dan mempunyai potensi yang cerah pada masa akan datang jika beliau memperbaiki keadaan.

Ada hikmah rakan-rakan lain yang membuat teguran terbuka daripada awal isu ini sebelum Mufti mengeluarkan kenyataan.

Ada yang kata, “Jangan pandai-pandai keluar fatwa berpandukan Google. Tunggulah kenyataan daripada Mufti”.

Jika ia ditujukan kepada orang yang hanya pandai Google, copy paste, dan hentam, ia memang sesuai.

Tapi jika kritikan dilontarkan berpandukan Quran, Hadith dengan hujahan-hujahan syarie, ia patut diberi perhatian.

Dari satu sudut, jika tidak ada yang konsisten menegur daripada awal, mungkin Mufti tidak tahu dan tidak memberi respon.

Kalau semua perkara hukum hendak tunggu Mufti keluarkan pandangan, agak sulit juga. Sebab selalunya Mufti akan keluarkan pandangan berdasarkan isu-isu semasa yang timbul.

Sebenarnya bagus ada pihak yang mengkritik kesalahan yang dilakukan secara publik. Daripada situ, pihak pejabat Mufti akan ambil perhatian dan berikan pandangan.

Cuba bayangkan ia tidak dikritik langsung secara publik? Tentu sukar untuk Mufti ambil tahu.

Apapun, ia juga bukan satu alasan untuk kita semua menghentam Tuan Afnan Rosli dan para peserta program Metamorphis.

Kata-kata seperti “kau dah sesat!”, “Metamorphosis sesat!”, “bila nak bertaubat?”, “Jangan lupa solat taubat!”, dan sebagainya hanya akan memburukkan keadaan.

Malah ia akan menjadikan rakan-rakan kita itu semakin defensif.

Maka akan keluar pula kata-kata “aku solat sunat taubat, takkan nak cerita kat engkau”, “perlu ke Afnan announce dia dah solat taubat?”,”aku dah solat taubat, kau dah?” yang hanya akan mengeruhkan keadaan.

Jika ia terus-terusan begitu, polemik ini tidak akan selesai.

Selepas keluar kenyataan Mufti, saya sempat mesej sepatah kepada Tuan Afnan melalui FB untuk doakan agar beliau kembali ke jalan yang benar dan mengikuti saranan Mufti.

 

28 – 29 September

Program Mega Metamorphosis tetap berjalan dengan kehadiran yang meriah dan turut dihadiri oleh TAMRIN sebagai pemerhati. Saya juga diajak oleh Presiden TAMRIN, Tuan Fadzli Yusof tapi tak dapat hadiri kerana notis singkat.

 

2 Oktober

Semalam Tuan Afnan deactivate FB selepas beberapa hari program terakhir beliau tamat.

Saya kira biarlah beliau ber”metamorphosis” seketika sebelum kembali dengan lebih baik.

Jika Tuan Afnan membaca tulisan ini, saya doakan Tuan dapat ambil masa bertenang dan munculkan diri untuk mengeluarkan kenyataan bahawa Tuan bersedia kembali ke jalan yang benar dan mengajak sama para peserta Metamorphosis bersama.

Juga tidak perlu sampai saman menyaman yang hanya akan mengusutkan keadaan. Ia boleh diselesaikan secara baik dengan tarik balik saman atau melalui penyelesaian di luar mahkamah.

Kepada yang mengkritik, jangan samai menghina.

Kepada rakan-rakan alumni Metamorphis pula, terimalah nasihat daripada Mufti untuk kembali ke pangkal jalan.

Saya sangat yakin, ular yang menyusur akar tidak akan hilang bisanya.

Salam maju jaya daripada saya.

Afyan Mat Rawi
Nama dekat sama dengan Afnan.

Sudikan SHARE jika bermanfaat.

 

Sumber dari FB Afyan Mat Rawi

WP2Social Auto Publish Powered By : XYZScripts.com