fbpx

Saya Tahu Insurans dan Riba Itu Haram, Tetapi…

  • 9 years ago
  • 10Minutes
  • 1876Words
  • 600Views

(Artikel ini turut disiarkan di MajalahNiaga.com

Beliau mengangguk-angguk tanda setuju dengan penjelasan saya tentang perbezaan di antara insurans konvensional dengan takaful.

Tatkala saya menerangkan tentang perbezaan kontrak insurans konvensional yang menggunakan kontrak jual beli, dan kontrak takaful yang menggunakan kontrak derma, beliau bertanya beberapa soalan untuk penjelasan.

Dari bahasa badannya, nampak beliau begitu bersungguh-sungguh inginkan penjelasan tentang perkara tersebut. Ternyata soalan-soalan yang beliau kemukakan menunjukkan kematangannya berfikir, sesuai dengan statusnya sebagai seorang bisnesman.

“Ya Encik Afyan, saya pun pernah membaca tentang perkara ini”, kata beliau merujuk kepada keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan tentang hukum insurans konvensional.

Nampaknya sebelum menemui saya, beliau sudah pun membuat sedikit kajian dan pembacaan. Ia memudahkan kerja saya untuk menerangkan perkara tersebut. Tambahan lagi, kafeteria tempat kami bertemu tidak ramai pelanggan mengunjunginya memudahkan saya membuat penerangan dengan jelas.

“Ada sebarang persoalan yang Tuan ingin tanyakan lagi?”, saya bertanya kepada beliau selepas penjelasan terakhir tentang perkara ini.

“Setakat ini tiada”, kata beliau sambil menyandarkan badan ke kerusi.

“Jika begitu, kita boleh berpindah ke topik seterusnya iaitu keperluan kewangan Tuan sebelum saya cadangkan mana-mana produk takaful yang sesuai”, kata saya.

“Sebenarnya saya sudah memiliki beberapa polisi sebelum ini”, kata beliau.

“Alhamdulillah, suka saya mendengarnya kerana Tuan sudah mengambil keputusan yang bijak untuk masa hadapan Tuan”, balas saya, menyanjungi kesedarannya untuk memiliki plan perlindungan kewangan.

“Tetapi…”, beliau membiarkan ayatnya tergantung.

 

Ingin Berhijrah, Tetapi…

Saya diam seketika memberi peluang beliau menghabiskan kata-kata.

Saya cuba meneka. Mungkin dia tidak berpuas hati dengan polisi sedia ada, atau beliau hanya ingin berjumpa saya sekadar ingin mengetahui perbezaan antara takaful dengan insurans konvensional, kerana beliau mengetahui saya selepas membaca blog saya tentang isu ini.

“Sebenarnya, saya sudah melanggan dengan insurans konvensional”, kata beliau agak perlahan.

“Oh, begitu rupanya”, kata saya di dalam hati. Agak jauh dari tekaan saya sebelum ini.

“Saya sudah mengambil polisi insurans konvensioanal kira-kira sepuluh tahun lalu ketika baru berkahwin. Ketika itu saya tidak tahu insurans konvensional ini haram hukumnya. Dan saya pun baru tahu dalam setahun dua ini bahawa insurans konvensional ini haram”, jelas beliau panjang lebar.

“Alhamdulillah, selain daripada mempunyai kesedaran untuk memiliki perlindungan kewangan, Tuan juga mempunyai kesedaran tentang aspek halal haram. Tahniah saya ucapkan”, tambah saya lagi, menyanjung tinggi kesedaran beliau. Kali kedua saya ucapkan tahniah kepada beliau.

Tetapi, kalau saya batalkan polisi insurans konvensional saya, saya akan rugi”, kata beliau lagi.

Saya diam sebentar.

Saya dapat meneka apa yang bermain di benak fikirannya; beliau bercadang untuk berpindah kepada takaful tapi beliau memikirkan kerugian yang beliau akan alami sekiranya membatalkan polisi insurans konvensional sedia ada.

“Tuan, menjadi tanggungjawab saya untuk mengajak Tuan berhijrah daripada insurans konvensional kepada takaful yang bebas daripada riba, sebagaimana yang saya kongsikan di awal tadi tentang bahaya riba. Jika Tuan sudah mengambil pelan perlindungan takaful dari syarikat lain, saya tidak akan menasihat Tuan untuk batalkan polisi-polisi Tuan”, jelas saya panjang lebar.

Kemudian, saya menyambung lagi, “Tetapi memandangkan Tuan mengambil pelan insurans konvensional, maka adalah menjadi kewajipan dan tanggungjawab saya untuk mengajak Tuan keluar daripada sistem kewangan riba dan berhijrah kepada sistem takaful”.

 

Untung Rugi Berpindah-pindah Polisi

Beliau mengangguk-angguk perlahan sambil berkata “Ya Encik Afyan, saya tahu bahawa insurans konvensional adalah riba dan riba itu haram hukumnya, tetapi saya akan rugi banyak jika saya membatalkan polisi yang sudah saya langgan lebih 10 tahun ini”.

Saya tersenyum, apa yang diperkatakannya benar. Membatalkan polisi lama yang sudah diambil bertahun-tahun semata-mata untuk mengambil polisi baru bukanlah satu tindakan bijak.

Malah, adalah satu perbuatan yang tidak beretika mana-mana ejen insurans atau takaful yang menasihati pelanggan untuk membatalkan polisi sedia ada dengan tujuan supaya pelanggan mengambil polisi baru dengannya.

Sebagai perunding kewangan dan takaful, menjadi prinsip saya untuk menasihati pelanggan untuk kekalkan polisi sedia ada kerana membatalkan polisi sedia ada yang lama, dan melanggan polisi baru akan melibatkan kos dan kerugian tertentu yang terpaksa ditanggung oleh pelanggan atas dua faktor, iaitu;

  • Umur; usia pelanggan semakin hari semakin meningkat, justeru kos untuk melanggan polisi baru hari ini secara logiknya akan lebih tinggi berbanding polisi yang sama tahun lalu atas faktor umur, dan
  • Kesihatan; kesihatan pelanggan hari ini tentu tidak sama ketika beliau melanggan polisi lama dahulu. Situasi akan lebih teruk untuk melanggan polisi baru jika beliau pernah membuat tuntutan.

Atas kedua-dua faktor ini, berpindah daripada polisi lama kepada polisi baru lebih banyak merugikan pelanggan. Tetapi yang paling untung dalam situasi ini adalah ejen.

Itu sebabnya, adalah sesuatu yang tidak beretika bagi mana-mana ejen atau wakil takaful menasihati pelanggan untuk membatalkan polisi sedia ada, kerana ia hanya menguntungkan ejen, bukan pelanggan.

Tidak dapat dinafikan terdapat segelintir ejen yang tidak beretika yang mengamalkan cara ini untuk memperbanyakkan bisnes mereka. Tetapi selalunya mereka tidak kekal lama dalam industri.

Namun yang menyedihkan, perbuatan mereka sedikit sebanyak merosakkan industri. Bak kata Karam Singh Waliya; Kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.

Atas dasar prinsip, ejen-ejen yang beretika tidak sekali-kali menasihati pelanggan untuk membatalkan polisi sedia ada hanya semata untuk bisnes. Pengalaman saya, selalunya saya akan mencadangkan untuk menambah jumlah perlindungan yang baru bersesuaian dengan keperluan kewangan semasa.

Contohnya polisi lama yang diambilnya dahulu adalah ketika bujang, mungkin bersesuaian ketika polisi tersebut dilanggan. Namun sekarang prospek sudah berkahwin dan beranak pinak sudah tentu keperluan perlindungan kewangannya bertambah berbanding dahulu.

Namun, dalam situasi ini, pelanggan yang ditemui sudah pun lama menjadi pelanggan insurans konvensional.

Jadi, juga atas dasar prinsip yang lebih utama iaitu prinsip Islam yang saya pegang, saya akan menasihati pelanggan untuk berhijrah daripada institusi riba kepada alternatif yang bebas riba dan patuh syariah.

Ya, atas dasar prinsip juga kerana insurans konvensional adalah instrumen riba, justeru itu adalah menjadi tanggungjawab saya untuk menerangkan bahawa insurans yang dilanggan selama ini adalah riba dan alternatifnya adalah takaful.

Kemudian, keputusan terletak di tangan pelanggan untuk membuat keputusan yang terbaik untuk dirinya, di dunia dan akhirat.

“Berapa caruman yang Tuan ambil dengan insurans sebelum ini?”, tanya saya.

“Saya mengambil tiga polisi untuk saya dan anak sulung saya, jumlahnya dalam RM500 sebulan. Saya ambil pada tahun 1999, ketika awal perkahwinan dan setahun kemudian selepas mendapat anak sulung”, jawab beliau sambil menghulurkan satu fail yang terisi polisi-polisi insurannya.

Saya mencongak-congak jumlah caruman yang sudah beliau bayar selama ini. Sebulan RM500 maka setahun RM6,000. Congakan awal saya, polisi-polisi tersebut sudah lebih 10 tahun maka sekurang-kurangnya sudah RM60,000 yang sudah dibayar selama ini.

Ia satu jumlah yang besar. Jadi tidak hairanlah beliau agak ralat untuk membatalkan polisi sedia ada dan berhijrah kepada takaful.

Sambil membelek polisi-polisi insurannya, beliau berkata kepada saya “Encik Afyan, saya sudah pun membuat kiraan sebelum saya bertemu dengan Encik. Jumlah caruman yang saya bayar untuk kesemua polisi adalah RM524.40 sebulan dan jumlah keseluruhan yang saya bayar berjumlah RM71,463.96. Dan saya sudah pun hubungi syarikat berkenaan, nilai tunai insurans saya adalah RM34,356.14. Rugi kalau saya batalkan sekarang”.

Perkataan “rugi” diulang lagi, kali ini dengan lebih ditekankan. Sambil itu beliau menunjukkan satu kertas yang bertulisan tangan tertulis jumlah-jumlah yang disebutkannya tadi.

Saya tersenyum, sambil mempelawa beliau minum minuman yang kami pesan di awal pertemuan tadi, “Minum dulu Tuan, nanti sejuk pula”.
Beliau turut tersenyum, sambil menyedut air minumannya.

Sambil minum, sempat beliau berkata “Jika saya batalkan, saya rugi 50% daripada jumlah caruman yang saya sudah bayar, kira-kira RM40,000. Memang rugi.”

Nampak semacam beliau cuba menguji saya. Suasana hening seketika.

 

Sanggup Untuk Teruskan?

Saya turut minum sambil saya bertanya kepadanya, “Tuan, bagaimana kalau saya katakan yang air yang kita minum ini sebenarnya tersalah pesan?”.

“Maksud En Afyan?”, tanya beliau, keliru tiba-tiba saya berubah topik.

“Maksud saya, andai kata tiba-tiba datang pelayan restoran ini kepada kita, dan memaklumkan air yang kita minum ini sebenarnya dipesan ini adalah air minuman beralkohol, tapi kita tidak perasan dalam menunya tadi”, kata saya.

“Isshhhh…. saya akan muntahkan balik apa yang saya minum dan minta air baru”, balasnya sambil ketawa kecil.

“Tuan tidak berasa rugi?”, tanya saya, menguji.

“Tidaklah. Apalah sangat rugi sedikit berbanding minuman haram masuk ke perut kita ini”, balasnya tegas, sambill mencebikkan bibir tanda jijik dengan air syaitan itu.

“Eh, mahal ni Tuan”, kata saya merujuk kepada harga air minuman kafeteria hotel ekslusif yang kami bertemu sekarang. Memang harganya sedikit mahal berbanding restoran-restoran biasa.

“Tidak kisahlah. Saya boleh bayar apa yang sudah dipesan dan kita pesan air minuman baru. Jangan risau Encik Afyan, hari ini saya belanja Encik Afyan”, balas beliau.

“Begitulah juga dengan insurans konvensional yang Tuan langgan selama ini”, balas saya, agak tajam.

Beliau terdiam. Nampak agak tersentak berdasarkan kerutan keningnya yang tajam memerhatikan saya.

“Apalah sangat rugi sedikit berbanding dosa riba dan hukuman riba di akhirat kelak”, saya menyambung lagi, kali ini menggunakan ayat-ayat yang beliau gunakan tadi dengan sedikit olahan.

Beliau masih terdiam. Nampak ingin berkata sesuatu tapi tidak terkeluar.

“Malah Tuan, balasan dosa riba lebih teruk berbanding dosa minum arak”, tegas saya merujuk kepada penerangan awal saya berkenaan dosa-dosa riba yang Allah mengisytihar perang terhadap pelaku riba.

“Begini Tuan, saya tidak nafikan bahawa dalam situasi Tuan sudah tentu Tuan memikirkan kerugian yang bakal Tuan tanggung sekiranya Tuan membatalkan polisi sedia ada dan melanggan polisi baru. Namun, memandangkan polisi yang Tuan langgan selama ini adalah polisi riba, dan Tuan sudah pun sedia maklum tentang hukum-hakam riba, maka sudah tibalah masanya untuk Tuan berhijrah. Insya-Allah, apabila Tuan berhijrah kelak, nescaya Allah akan bersama-sama Tuan dengan keputusan yang Tuan lakukan”.

Beliau masih diam. Berfikir barangkali. Keningnya masih berkerut seperti tadi.

“Sebagaimana air yang kita tersalah pesan tadi, kita tidak terasa rugi sekalipun membayar ekstra dua harga untuk satu gelas yang kita patut minum dan satu gelas yang kita tersalah pesan, dan hanya satu sahaja yang kita akan minum sebenarnya”, sambung saya lagi, kali ini menggunakan perkataan ‘kita’ sebagai kata ganti diri pertama.

“Tuan, saya ada satu cara untuk mengurangkan kerugian yang Tuan alami. Caranya adalah dengan memindahkan nilai tunai polisi lama Tuan ke polisi baru yang akan Tuan langgan nanti. Dengan cara ini, sekalipun polisi baru Tuan baru sahaja sebulan, tetapi nilai tunainya sama dengan polisi lama Tuan yang sudah lebih 10 tahun”, saya memberikan cadangan.

Nampak sedikit sinar di wajahnya, lantas berkata “Oh, begitukah?”

 

Mari Berhijrah! Hapuskan Riba

Beliau menyambung lagi “Sebenarnya saya sudah lama memikirkan alternatif terbaik untuk menggantikan polisi insurans saya ini selepas mengetahui tentang hukum haramnya kira-kira dua tahun lalu. Namun, selama ini saya buntu memikirkan kerugian yang bakal saya alami jika membatalkan insurans tersebut”.

“Alhamdulillah, hari ini saya sudah nampak jalannya”.

Beliau nampak begitu ceria sekali.

Seterusnya saya mencadangkan agar beliau tidak terus membatalkan polisi insurans konvensionalnya selagi mana polisi takafulnya berkuatkuasa sepenuhnya. Ini kerana setiap polisi baru akan mempunyai tempoh menunggu sebulan sehingga tiga bulan bagi memastikan perlindungan-perlindungan untuk kematian, lumpuh, serta sakit kritikal berkuatkuasa sepenuhnya.

Tempoh menunggu ini ada kaitan dengan tahap kesihatan peserta.

Jika polisi lamanya terus sahaja dibatalkan sebelum polisi baru berkuatkuasa sepenuhnya, risiko kepada pelanggan seandainya ditimpa musibah pada waktu itu. Jika ia berlaku, maka tiada perlindungan kewangan diberi dan saya adalah orang yang paling terkilan seandainya ia berlaku kepada pelanggan saya.

Justeru itu, saya mengesyorkan agar polisi lama dibatalkan hanya selepas polisi takaful yang baru dilanggan melepasi tempoh menunggu yang selalunya mengambil masa 90 hari atau 3 bulan. Sebaiknya selepas setahun untuk memastikan keadaan kesihatan peserta benar-benar sihat.

“Alhamdulillah, tahniah kerana Tuan berani mengambil keputusan untuk BERHIJRAH!”, kata saya. Kali ketiga saya ucapkan tahniah, dan yang paling bermakna kerana dalam masa sama saya bersyukur kerana menyelamatkan seorang lagi muslim daripada bahaya dan bahana riba.

Oh, bukan seorang, termasuk juga anaknya.

 

Klik di sini untuk dapatkan perundingan percuma http://rahsiatakaful.com/v1/takaful-keluarga/

............................................................
Buku FIRE
Buku F.I.R.E - FINANCIAL INDEPENDENCE RETIRE EARLY
RM49.00
Harga termasuk kos penghantaran

www.BukuFIRE.com

17 Comments

Apa komen Saudara/anda tentang tulisan ini?

Recommended
Artikel sama diterbitkan oleh MajalahNiaga.com. Beliau mengangguk-angguk tanda setuju dengan penjelasan…