Ejen takaful tiada perlindungan undang-undang yang jelas: Sampai bila kita mahu berdiam diri?

Rakan-rakan ejen takaful, beberapa persoalan yang perlu kita renung bersama;

1. Tahukah anda bahawa seorang rider penghantar makanan bakal mempunyai perlindungan undang-undang yang lebih jelas berbanding ejen takaful?

2. Adakah anda sedar bahawa hak pekerja ekonomi gig bakal dilindungi melalui RUU yang sedang dibentangkan di Parlimen, sedangkan kerjaya ejen takaful yang sudah wujud berpuluh tahun ini masih belum mempunyai peruntukan undang-undang yang setara?

3. Mengapa kebajikan barisan hadapan industri kewangan ini masih berada dalam kawasan yang sangat kabur dari sudut perlindungan kerja selama ini?

4. Apabila berlaku isu seperti dizalimi oleh pihak ejensi, leader atau syarikat, ke mana sebenarnya saluran rasmi untuk kita mengadu dan mempertahankan hak?

Selama puluhan tahun industri takaful wujud, tiada platform undang-undang yang benar-benar jelas dan berkesan untuk mengadili pertikaian secara adil.

Maaf cakap, persatuan ejen yang sedia ada juga dilihat belum mampu berfungsi sebagai badan bebas yang benar-benar boleh mempertahankan hak ejen secara menyeluruh.

Jika pekerja biasa, mereka ada Akta Kerja dan Jabatan Tenaga Kerja untuk membawa kes apabila berlaku penganiayaan oleh majikan.

Manakala bagi pekerja gig seperti:

– rider penghantar makanan

– pemandu e-hailing

– pemandu penghantar barang

– freelancer reka grafik

– pencipta kandungan media sosial

– jurufoto bebas

– pekerja digital

– penjual live TikTok

– dan pelbagai lagi pekerjaan moden berasaskan komisen atau tugasan bebas

Mereka bakal mempunyai perlindungan undang-undang khusus di bawah Rang Undang-Undang Pekerja Gig yang sedang dibentangkan di Parlimen bagi melindungi hak dan kebajikan mereka.

Tetapi ejen takaful yang juga bekerja secara komisen, membina pelanggan sendiri, menanggung kos operasi sendiri dan menghadapi pelbagai risiko kerjaya, masih berada dalam kawasan yang agak “kabur” dari sudut perlindungan undang-undang.

Apabila berlaku isu seperti pemotongan komisen, pertukaran struktur, perebutan pelanggan, penamatan kontrak, dihalang dinaikkan pangkat, diskriminasi di dalam ejensi atau tekanan tertentu, ramai ejen akhirnya hanya mampu pendam atau “move on” sendiri.

Sedangkan ramai ejen sudah berkhidmat bertahun-tahun, menyumbang jutaan ringgit kepada industri dan membantu masyarakat mendapatkan perlindungan kewangan.

Jadi, sudah sampai masanya industri ini memikirkan satu bentuk perlindungan yang lebih jelas, profesional dan adil untuk ejen-ejen takaful di Malaysia.

Satu petisyen juga telah diwujudkan bagi menggesa supaya diwujudkan undang-undang khusus untuk melindungi hak ejen takaful di Malaysia.

Paling tidak, masukkan profesion ejen takaful di bawah definisi pekerja gig supaya ada perlindungan asas dari sudut pertikaian, kebajikan dan keadilan pekerjaan.

Saya menyeru rakan-rakan ejen takaful untuk bersama-sama menandatangani petisyen ini sebagai tanda sokongan.

Jika kita sendiri tidak bersuara mempertahankan profesion ini, siapa lagi?

Link petisyen saya kongsikan di sini

Sumber dari FB Afyan Mat Rawi

Iklan

Add a Comment