Memartabatkan bahasa kebangsaan: Perkongsian Prof. Ramalingam

Sedap betul dengar Prof. Ramalingam ini berbahasa Melayu dan mengungkapkan pepatah:

“Kayu besar di tengah padang, tempat bernaung kepanasan,
Tempat berlindung kehujanan,
Uratnya tempat bersila,
Batangnya tempat bersandar.”

podcast bahasa kebangsaan

Lancar sekali pertuturan beliau. Jarang saya tengok orang India mampu berbahasa Melayu dengan baik sebegini.

Lebih Melayu daripada Melayu nampaknya.

Saya pun kali pertama dengar peribahasa itu.

Berikut ialah transkrip penuh daripada klip video podcast beliau bersama Erra Fazira dan Rosyam Nor.

Erra Fazira:

Mungkin adalah kerana teknologi sekarang lebih kepada menonton cerita-cerita di luar.

Prof. Ramalingam:

Eh, saya berbeza pendapat di situlah.

Ini bukan masalah teknologi sebenarnya.

Ini masalah jati diri kita.

Apabila kita hendak menyalahkan teknologi, teknologi akan berkembang dari semasa ke semasa.

Namun, jati diri kita berada di mana?

Kita perlu mengamalkan sikap kepemimpinan melalui teladan.

Orang tua perlu menjadi suri teladan yang baik.

Suri teladan atau ‘role model’ dengan izin, iaitu contoh yang baik.

Itulah yang dikatakan orang, tuah yang disembah, junjung yang dipanjat.

Kepemimpinan melalui teladanlah ya.

Atau orang mengatakan, kayu besar di tengah padang, tempat bernaung kepanasan, tempat berlindung kehujanan, uratnya tempat bersila, batangnya tempat bersandar.

Maknanya, kita perlu menjadi seorang yang boleh diharapkan oleh anak-anak muda sekarang.

Sekiranya di rumah sahaja kita tidak menggunakan bahasa Melayu, manakala sekolah pula mengamalkan sistem pendidikan yang tidak mengutamakan bahasa Melayu, akhirnya ini akan memberikan kesan.

Maksud saya tidak mengamalkan itu adalah kini guru-guru pun kebanyakan selesa untuk bercakap dalam bahasa Inggeris.

Saya tidak menafikan penggunaan bahasa Inggeris kerana kita tidak perlu meminggirkan bahasa Inggeris.

Apabila kita berbicara soal memartabatkan bahasa kebangsaan, bukanlah bermakna kita menolak terus bahasa Inggeris.

Tetapi, kita perlu membezakan soal kita mengangkasakan sesuatu bahasa ini atau kita hendak memartabatkan bahasa yang mana satu.

Kita boleh berbahasa Inggeris dengan baik dan bercakaplah bagaimana cara yang kita hendak cakapkan.

Akhirnya, kita harus kembali ke pangkal jalan kerana identiti bahasa Melayu itu sepatutnya tetap ada.

Apabila ibu menjadi ‘mami’ dan bapa menjadi ‘daddy’, akhirnya apakah yang hendak kita lahirkan?

Adakah kita hendak melahirkan generasi yang berkulit British atau bagaimana?

Walaupun melompat dari bumi ke langit, akhirnya keturunan tidak akan berubah.

Kulit sawo matang akan tetap kekal sebagai kulit sawo matang.

Orang India tetap orang India dan India tidak akan menjadi British.

Ya, tidak perlulah bibirnya Melayu tetapi lidahnya Barat.

Sumber dari Fb Afyan Mat Rawi

Add a Comment