fbpx

Memisahkan jenama institusi kewangan islam dan konvensional: Cadangan untuk mencegah kekeliruan kewangan konvensional dan syariah

  • 11 months ago
  • 4Minutes
  • 588Words
  • 813Views

Tangkap layar yang saya kongsikan ini adalah mesej yang baru saya terima daripada seorang pelanggan Etiqa Insurance, sebuah syarikat insurans konvensional yang menyangka ia adalah polisi Etiqa Takaful yang patuh syariah.

Kebetulan sedang hangat isu hukum menyertai acara larian anjuran Standard Chartered, sebuah bank konvensional yakni riba.

Saya mengambil pendirian untuk tidak terlibat sebarang kegiatan mempromosi sebarang produk kewangan konvensional, tidak kira bank, takaful atau unit trust, secara langsung atau tak langsung.

Dalam posting ini, bukan berkenaan dengan hukum yang ingin saya bangkitkan. Kita serahkan kepada pakar-pakar muamalat dan kewangan Islam untuk memberi fatwa tuntas.

Sementara itu, kita saling berlapang dada dengan pandangan-pandangan yang ada dengan semangat benci dan jauhi riba, bukan semangat saling menjatuhkan.

Dalam posting ini suka saya berikan cadangan penambah baikan industri takaful dan perbankan Islam untuk mencegah perkara ini daripada berulang.

Cadangan ini pernah saya suarakan beberapa kali sebelum ini.

Ini usul saya: asingkan terus jenama institusi kewangan patuh syariah dengan institusi kewangan konvensional / tidak patuh syariah / haram / riba.

Terutama bagi perbankan Islam dan syarikat takaful yg masih di bawah group dan nama yang sama, diasingkan terus jenama mereka dengan jenama yang betul-betul berbeza.

Praktis sekarang, bank ABC konvensional dan ABC Islamic Bank atau XYZ Insurans & XYZ Takaful: berkongsi nama yang sama, sistem yg sama, fasiliti yg sama, malah ejen dan staf yang sama.

Dalam cadangan saya ini, asingkan terus kedua dengan jenama berbeza. Jika dapat diasingkan terus operasi dan staf 100%, lebih bagus.

Malah lebih baik lagi, letakkan syarat mana-mana institusi perlu diberi pilihan hanya jalankan salah satu sahaja, sama ada haram atau halal. Ini adalah lebih bagus, supaya tidak menimbulkan kekeliruan pada jenama terbabit.

Contohnya yg berlaku sekarang, apabila timbul isu di atas, ramai yang masih terkeliru disebabkan nama yang sama.

Jenama Standard Chartered, Etiqa (sekadar menyebut 2 nama sahaja) wujud dalam kedua-dua jenama halal dan haram, sama ada patuh syariah atau tidak / riba

Standard Chartered bank konvensional yang tak patuh syariah / riba.

Dalam masa sama ada Standard Chartered Saadiq bank patuh syariah tanpa riba.

Sama juga dengan Etiqa Insurance, yang tidak patuh syariah / riba / haram.

Dalam masa sama ada Etiqa Takaful yang patuh syariah.

Sekiranya usul ini dilaksanakan, maka orang awam tidak terkeliru.

Sebagaimana sekarang, pelanggan takkan terkeliru dengan jenama seperti Bank Islam, Bank Muamalat, Bank Rakyat, Agro Bank, Takaful Malaysia, Takaful Ikhlas – yang hanya menjalankan bisnes patuh syariah.

Sebagaimana juga tidak ada orang yang terkeliru dengan jenama AXA, Allianz, Kurnia – semua ini hanya ada konvensional / haram / riba sahaja.

Tapi masih ramai yang terkeliru apabila berurusan dengan Standard Chartered, Etiqa, Maybank, Hong Leong, AIA, Prudential, Public Bank, CIMB, Great Eastern dan seumpamanya kerana jenama ini digunakan dalam kedua-dua institusi patuh syariah dan tidak patuh syariah / riba.

Tambah mengelirukan, ada juga yang gunakan logo pun sebijik 100% cuma ditambah satu perkataan yang membezakan logo institusi riba dengan institusi patuh syariah.

Lebih parah apabila ejen dan salesman mempromosi kedua-dua jenama halal dan haram serentak, sebagaimana berlaku dalam kes yang saya screenshot.

Suka saya ingatkan, pada peringkat pematuhan syariah dan produk – tak timbul isu. Tapi timbul isu besar di peringkat pemasaran ejen-ejen dan para staf memasarkan produk Islamik dan konvensional serentak, dan seterusnya ia membawa kepada kekeliruan pada peringkat orang awam

Cadangan saya, agar BNM hanya benarkan satu lesen sahaja. Pilih sama ada yg patuh syariah atau konvensional / tidak patuh syariah / riba.

Amalan dual-license yang dipraktikkan di Malaysia hari ini banyak menimbulkan kekeliruan.

Insya Allah takkan berlaku kekeliruan sekiranya kompeni takaful dan bank Islam tidak menggunakan jenama yang sama dengan insurans dan bank konvensional.

Mohon mencadangkan.

Wallahua’lam.

Sumber dari FB Afyan Mat Rawi

............................................................
Buku FIRE
Buku F.I.R.E - FINANCIAL INDEPENDENCE RETIRE EARLY
RM49.00
Harga termasuk kos penghantaran

www.BukuFIRE.com

Tags:
One Comment

Apa komen Saudara/anda tentang tulisan ini?

Recommended
Alhamdulillah. Akhirnya selepas hampir setahun baru selesai penutupan akaun PLT…