fbpx

AWAS Kepada Pemegang Medical Card: Kisah dan Panduan

  • 6 years ago
  • 8Minutes
  • 1494Words
  • 454Views

AWAS Kepada Pemegang Medical Card: Kisah dan Panduan
www.afyan.com

Dewasa ini penggunaan medical card semakin meluas dan mendapat tempat di kalangan rakyat Malaysia. Lebih-lebih lagi apabila semakin banyak syarikat takaful turut menyediakan pelan perlindungan ini. Ia semakin mendapat sambutan khususnya untuk orang Melayu.

Beberapa hari berada di hospital menemani orang yang tersayang di hospital, menemukan saya kepada beberapa peristiwa dan pengalaman peribadi yang melibatkan penggunaan medical card.

Jadi di sini saya ingin kongsikannya bersama-sama dengan kawan-kawan dan para pembaca blog www.afyan.com. Saya bahagikan kepada dua segmen; segmen A menceritakan beberapa pengalaman dan peristiwa tersebut. Dan segmen B adalah beberapa panduan dan tips.

SEGMEN A: Peristiwa dan pengalaman
Peristiwa 1:
Pada hari pertama kemasukan ke wad, isteri saya ditempatkan bersama seorang pesakit yang memiliki polisi medical card. Beliau baru beberapa bulan menyertai plan ini.

Sebelum ini, berkali-kali dipujuk oleh kakaknya untuk mengambil polisi tersebut tetapi enggan. Setelah beberapa kali dipujuk barulah dia menyertainya, sekalipun bergaji kecil dan masih bujang.

”Mujurlah saya mengambil polisi ini, jika tidak, tidak mungkin saya merasa untuk tinggal di hospital swasta” katanya.

Peristiwa 2:
Semasa ”bersiar-siar” di lobi hspital, saya terdengar perbualan hangat di antara seorang pesakit (saya tidak pasti, mungkin waris pesakit) dengan penjaga kaunter hospital.

”Puan, polisi puan sudah lapse (tidak berkuatkusa)” , kata pegawai hospital.

”Eh, tiap-tiap bulan saya bayar kepada ejen saya” kata perempuan tersebut.

”Tapi puan, saya sudah hubungi dengan pihak syarikat insurans Puan, mereka mengatakan polisi Puan sudah lapse”, pegawai tadi menerangkan dengan lebih terperinci.

”Nanti sebentar, saya hubungi ejen saya”, jawab perempuan tersebut dengan nada bergetar.

Peristiwa 3:
Pada hari keluar hospital, saya ke kaunter untuk membuat pengesahan bil. Semua bil ditanggung oleh medical card isteri saya, kecuali ”caj kerusi malas” yang dikenakan RM 9 untuk satu malam.

Sebelum membuat pengesahan, saya menyemak bil-bil hospital satu persatau. Saya menbelek helaian demi helaian bil-bil tersebut. Ia dilihat aneh dan janggal oleh pegawai hospital.

”Apa yang encik tengok?”, tanya pegawai hospital berkenaan, setelah kira-kira 5 minit menunggu saya untuk menandatangani surat pengesahan bil.

”Saya sedang semak bil-bil ini”, kata saya.

”Err…”, pegawai tersebut semacam hairan. Mungkin tidak pernah melihat orang membelik bil hospital sebegitu lama.

Saya menyemak bil hospital tersebut helaian demi helaian. Ternyata apa yang saya syaki berlaku.

”Encik, kenapa di dalam bil ini tercatat lawatan doktor tercatat dua kali lawatan doktor, walhal hanya sekali sehari?”, tanya saya tidak puas hati.

”Sebentar, nanti saya semak”, kata pegawai tersebut. Kemudian dia memanggil pegawai yang lain.

Saya ulangai persoalan yang sama daripada pegawai tersebut. Akhirnya, mereka meminta untuk bertemu sendiri dengan doktor yang bertanggungjawab. Dan saya lakukannya untuk pengesahan.

Jawab doktor tersebut, ”ia adalah prosedur biasa apabila melibatkan insurans, dan terkandung di dalam akta”.

Saya tidak puas hati. Saya sedang mencari jawapan persoalan ini.

Peristiwa 4:
Selepas keluar daripada hospital, saya melayari laman sesawang (tak tau laman sesawang? Laman weblah. Tiru stail BERNAMA) hospital berkenaan untuk melihat senarai harga perkhidmatan hospital tersebut.

Alangkah terkejutnya saya apabila mendapati bil yang dicaj adalah berbeza dengan yang tercatat di laman web hospital tersebut. Jumlah yang dibilkan hampir satu kali ganda berbanding dengan yang tercatat. Di hujung senarai harga tercatat pula dengan tulisan kecil ”harga di atas adalah tertakluk kepada perubahan. Kemaskini terakhir pada Februari 2009”

Saya tidak puas hati.

SEGMEN B: Tip dan panduan
Di sini saya perturunkan beberapa tip dan panduan yang berguna berdasarkan pengelaman tadi serta pengalaman beberapa tahun menjadi wakil takaful;

1. ”Bilakah waktu yang sesuai untuk mengambil Medical Card”Selaku wakil takaful, mugkin saya agak bias tentang persoalan ini. Pepatah Cina ada menyebut “masa terbaik untuk menanam pokok adalah 10 tahun yang lalu. Masa kedua terbaik adalah sekarang!”

Sebagaiman kisah peristiwa no. 1, kita tidak tahu bilakah musibah akan datang kepada kita. Jadi, sekaranglah waktunya utnuk membuat keputusan sebelum ia tiba.

2. Pastikan polisi anda sentiasa berkuatkuasa.
Tidak guna anda memiliki medical card sekiranya ia lapse pada saat-saat anda memerlukannya, sebagaimana yang terjadi di dapal peristiwa di atas.

Selalunya masalah berlaku lapse apabila caruman tidak dibuat pada waktu yang ditetapkan. Sebaiknya, eloklah pembayaran dibuat secara terus kepada syarikat seperti potongan autodebit, arahan tetap, atau potongan gaji. Sebaiknya elakkan membayar melalui ejen kerana ada kebarangkalian untuk wang tersebut tidak sempat dibayar ketika musibah datang secara tiba-tiba.

Yang terbaik, premium tersebut dibuat secara tahunan supaya kebarangkalian untuk lapse adalah kecil. Berbanding bayaran secara bulanan, maknanya anda perlu bayar selama 12 tahun sekali atau sebanyak 240 kali selama 20 tahun. Jika secara tahunan, hanya bayar sekali setahun dan 20 kali sahaja selama 20 tahun.

Cuma masalahnya, mungkin agak sukar untuk membuat pembayaran secara tahunan kerana bayarannya adak tinggi. Jika begitu, pilihlah medical card takaful yang memiliki premium tahunan yang paling rendah di pasaran! Saya ada caranya.

3. Elakkan caj rawatan yang tidak perlu.
Apabila mendapat rawatan, hospital akan menawarkan pelbagai jenis rawatan. Selaku pesakit, kita berhak untuk memilih dan tidak memilih rawatan yang dicadangkan. Tetapi jangan sampai tidak memilih untuk tidak dirawat lansung. Perkara ini boleh diperolehi apabila anda membuat sedikit homework tentang perkara ini.

Bagi kes saya di dalam peristiwa 3, saya dapati caj yang dikenakan adalah berbeza dengan rawatan yang diberikan. Saya tidak pasti sejauh mana dakwaan doktor tersebut apabila dia mengatakan ”ia adalah prosedur biasa apabila melibatkan insurans, dan terkandung di dalam akta”.

Saya masih belum sempat untuk mendapatkan kesahihan perkara. Andai berjaya, saya akan update di blog ini.

Dalam kes lain, sebagaimana yang diceritakan oleh seorang rakan, seorang pemilik polisi mendapat rawatan untuk kanser beberapa kali. Ini menyebabkan nilai perlindungan berkurangan dari masa ke masa. Apa yang malang ialah, selepas beberapa kali rawatan, beliau cuba mendapat rawatan daripada hospital yang lain. Alangkah terkejutnya apabila tiada lansung sel kanser sebagaiman yang didakwa oleh hospital yang pertama.

4. Elakkan juga caj yang tidak perlu.
Ketika memeriksa bil semasa keluar daripada hospital, saya telah dikenakan caj untuk ”penggunaan kerusi malas”. Caj yang dikenakan adalah RM 9 semalaman.

Bayangkan sekiranya anda menggunakan selama seminggu, maka bayarannya adalah RM 63.00. Jumlah yang sama boleh digunakan untuk membeli sebuah kerusi malas. Cuba banyakan pula sekiranya menggunaknnya selama 2 minggu, akan mencecah RM 100. Bayangkan pula sekiranya sebulan. Bayaran yang sama membolehkan anda memulakan bisnes menjual ”kerusi malas” 🙂

Sememangnya caj-caj bukan rawatan tidak diberikan perlindungan oleh medical carad, seperti akhbar, majalah, televisyen, radio, telefon dan sebagainya. Kita datang untuk mendapat rawatan, bukan untuk bersuka ria.

5. Jangan membuat tuntutan berlebihan atau ”over-claim”.
Ini adalah panduan tambahan daripada perkara 3 dan 4. Tidak seperti perlindungan kematian, lumpuh, kemalangan, atau penyakit kritikal, jumlah perlindungan akan dibayar terus daripada syarikat takaful ke hospital.

Bagi tuntutan takaful untuk kematian, lumpuh, kemalangan, atau penyakit kritikal, jumlah wang pampasan akan diberikan kepada peserta. Jadi bagi pemilik medical card, tidak guna membuat tuntutan lebih kerana ia menguntungkan pihak lain.

Lagipun, over-claim akan menybabkan jumlah perlindungan kita akan berkurangan dari masa ke masa. Sepatutnya perlindungan ini digunakan sehingga mati terutama selepas usia mencecah 50 kerana risiko penyakit lebih tinggi pada waktu itu. Jika kita membuat tuntutan lebih pada usia muda, maka jumlah perlindungan apabila kita tua smakin sedikit. Walhal ketika tualah kita lebih memerlukan rawatan.

Seorang rakan senior di dalam industri takaful pernah memberi panduan tentang perkara ini. Nasihatnya, agar kita jangan menggunakan medical card dan membuat pembayaran tunai apabila dimasukkan ke hospital. Selepas keluar daripada hospital, barulah membuat tuntutan ”reimburstment” berdasarkan bil yang dikeluarkan. Dengan cara ini, kita seolah-olah tidak memiliki medical card, dan pihak hospital akan lebih ihsan kepada kita, dan lebih berhati-hati untuk mengenakan caj yang berlebihan.

6. ”Saya tidak perlu kerana saya sudah memiliki medical card daripada syarikat”
Soalnya, adakah kita akan bekerja sampai mati? Paling lama sehingga 55 tahun. Jadi bagaimana dengan rawatan hospital selepas usia 55 tahun?

7. ”Oh, jadi saya mengambilnya selepas umur 55 tahunlah! Bukankah ini lebih bijak berbanding saya mengambilnya sekarang?”
Baguslah sekiranya pada usia tersebut anda masih layak untuk memiliki medical card. Layak maksudnya, anda masih sihat, segar-bugar, tidak menghidap penyakit 3 serangkai; darah tinggi, sakit jantung, dan kencing manis. Jika begitu, memang bijak jika anda menunggu usia 55 tahun barulah anda mengambil takaful medical card.

8. ”Patutkah saya memiliki lebih daripada satu medical”
Seorang pakar kewangan peribadi pernah memberitahu saya, sekiranya pelanggan memiliki kemampuan yang lebih, jangan sekali-kali mengambil satu medical card dengan amaun perlindungan dan premium yang lebih.

Sekalipun saya ejen takaful, saya mendedahkan juga perkara ini walaupun ia diskredit kepada saya.

Jika anda memiliki kemampuan yang lebih, adalah lebih baik anda mengambil medical card daripada beberapa syarikat berbeza kerana kemungkinan kad A diterima oleh Hospital X dan kad B pula tidak. Begitu juga sebaliknya, kad B diterima di hospital Y tetapi tidak bagi kad A.

Maka, jika anda berkemampuan lebih, memiliki dua kad daripada dua syarikat takaful berbeza memberi keluasan kepada anda untuk memilih. Fakta ini memberi diskredit kepada ejen takaful seperti saya ?

Begitu juga untuk pekerja syarikat swasta yang sudah memiliki kad daripada majikan. Kad kedua boleh diambil sebagai persediaan selepas pencen sebgaimana yang saya nyatakan di dalam Tip 7 dan 8. Ini kerana, jika kita bercadang untuk mengambil medical card selepas pencen, risiko penolakan adalah besar kerana selaluya pada usia 55 seseorang sudah tidak sihat dan menghidap pelbagai penyakit.

Penutup
Apa yang penting sekurang-kurangnya anda memiliki satu medical card, tidak kira daripada majikan atau personal, yang penting ialah pengetahuan agar ia tidak disalah guna oleh diri kita mahupun pihak lain.

............................................................
Buku FIRE
Buku F.I.R.E - FINANCIAL INDEPENDENCE RETIRE EARLY
RM49.00
Harga termasuk kos penghantaran

www.BukuFIRE.com

8 Comments
  1. Avatar
  2. Avatar
  3. Avatar
    • Avatar
    • Avatar

Apa komen Saudara/anda tentang tulisan ini?

Recommended
9 Perkara Yang Perlu Anda Tahu Sebelum Memperbaharui Roadtax Kenderaan…