fbpx

Membuat Perancangan Simpanan Pendidikan Anak (Bahagian 2)

  • 1 year ago
  • 5Minutes
  • 949Words
  • 755Views

perancangan simpanan pendidikan

Tulisan ini adalah sambungan daripada tulisan sebelum ini yang bertajuk Membuat Perancangan Simpanan Pendidikan Anak.

Manakah instrumen yang terbaik?

Sekiranya kita menemui seorang wakil takaful untuk meminta plan terbaik bagi pendidikan anak-anak, sudah tentu dia akan mencadangkan plan takaful pendidikan.

Sebaliknya, sekiranya kita menemui seorang ejen unit amanah bagi tujuan yang sama, maka sudah tentu dia akan mencadangkan unit amanah sebagai instrumen terbaik.

Manakala sekiranya kita ke bank-bank pula, sudah tentu pegawai bank akan mencadangkan skim simpanan pendidikan bank berkenaan atau Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN). Boleh buka akaun di sini 

 

Jadi, manakah yang terbaik?

Oleh kerana saya seorang wakil takaful, tentulah saya akan mengatakan bahawa skim takaful pendidikan adalah yang terbaik? J

Oh, sebenarnya tidaklah begitu….

Untuk tulisan ini, saya tidak akan “bias” kepada fungsi takaful pendidikan sekalipun saya seorang wakil takaful. Dan sebenarnya beginilah pembentangan saya tentang perancangan pendidikan dalam mana-mana pertemuan dengan prospek, atau taklimat dan ceramah.

Jadi, sebelum meneruskan pembacaan, eloklah terlebih dahulu baca tulisan saya sebelum ini yang bertajuk Membuat Perancangan Simpanan Pendidikan Anak, kerana saya akan menggunakan contoh yang telah digunakan di dalam tulisan tersebut.

Tiada orang yang merancang untuk gagal, tetapi ramai yang gagal untuk merancang…

Dalam merancang pendidikan anak-anak, beberapa faktor yang menjadi asas pengiraan adalah umur ibu bapa, umur anak, tempoh masa serta sasaran simpanan.

Sebagai contoh dalam kes yang sebut dalam tulisan sebelum ini, bagi sepasang suami isteri yang mempunyai anak berusia setahun dan merancang untuk mengumpulkan wang sebanyak RM 80,000 pada usia anak 18 tahun, maka mereka perlu menyimpan sebanyak RM 277.00 sebulan.

Pengiraan ini dibuat tanpa mengambil kira kadar keuntungan simpanan (atau dalam bahasa perbankan konvensional disebut “faedah”) tersebut. Ia bertujuan memudahkan proses pengiraan iaitu RM 80,000 bahagi 17 tahun bahagi 12 bulan = RM 277.00.

Dibundarkan kepada ratus yang hampir, jumlah RM 277.00 menjadi RM 300.00.

Jadi, secara umumnya untuk mengumpulkan sekurang-kurangnya RM 80,000 selama 17 tahun, seseorang perlu menyimpan sebanyak RM 300.00 sebulan.

Di peringkat ini, kesedaran tentang peri pentingnya simpanan awal bagi tujuan pendidikan anak-anak adalah amat penting. Maka timbul persoalan di sini, di manakah tempat simpanan yang terbaik untuk RM 300.00 sebulan tadi.

Baiklah, kita buat perbandingan satu persatu;

1) SIMPANAN

Sebagaimana yang saya sebutkan di awal tulisan sebelum ini, instrumen yang terbaik untuk membuat simpanan pendidikan adalah SIMPANAN. Maka tempat yang sesuai untuk menyimpan adalah institusi penyimpanan, iaitu bank.

Mudah bukan?
Nampak mudah, namun ia tidaklah semudah yang disangka kerana selalunya apabila simpanan dibuat di bank, isu yang selalu timbul ialah DISIPLIN.

DISIPLIN di sini adalah disiplin menabung secara konsisten dan rutin secara bulanan, dan yang kedua untuk berdisiplin dalam memastikan tiada satu sen pun yang keluar dari tabungan  tersebut sebelum sampai tempoh usia anak 18 tahun.

Apa pun, sebenarnya ia adalah instrumen yang terbaik untuk menyimpan kerana dengan menyimpan pada kadar RM 300 sebulan dengan kadar keuntungan 5% setahun, mampu menghasilkan sejumlah RM 97,676 pada usia anak tersebut 18 tahun.

Namun, ia berbalik kepada dua disiplin tadi. Disiplin pertama: menyimpan secara konsisten RM 300 sebulan selama 17 tahun, dan disiplin kedua: tidak mengeluarkan walau satu sen pun daripada tabung berkenaan.

2) PELABURAN

Fungsi pelaburan adalah untuk menjana lebih PENDAPATAN dan SIMPANAN. Ia telah saya sentuh dalam tulisan saya yang bertajuk 7 Langkah: Asas Pengurusan Kewangan.

Jadi, secara teorinya, berbanding dengan membuat SIMPANAN di bank, sudah tentu PELABURAN akan menghasilkan pulangan yang lebih tinggi.

Sekiranya simpanan secara tetap RM 300 sebulan pada kadar keuntungan 5% setahun selama 17 akan menghasilkan  RM 97,676, maka sudah tentu PELABURAN akan menghasilkan kadar pulangan yang lebih lumayan.

Maka, PELABURAN sebanyak RM 300 sebulan pada kadar keuntungan 15% setahun selama 17 tahun, akan menghasilkan RM 269,410!!!! Ia sudah mampu untuk membiayai anak tadi sehingga ke peringkat PhD. Atau ia mampu menampung sejumlah 3 orang anak dengan kadar RM 80,000 seorang.

Namun, apabila memperkatakan tentang pelaburan, ia tidak akan lari daripada RISIKO. Perkara ini berkali-kali saya tekankan di dalam perbincangan  laman facebook saya (iklan: sudahkah saudara/i masukkan nama saya sebagai rakan facebook saudara/i?), bahawa “kalau takut dengan RISIKO, usah bicara soal PELABURAN”.

RISIKO dan PELABURAN adalah umpama adik beradik kembar siam. Semakin tinggi pulangan yang dijanjikan, semakin tinggi risiko yang perlu dihadapi. Prinsipnya mudah, high risk, high return, low risk, low return.

Jadi, kebarangkalian yang paling buruk akan berlaku di dalam PELABURAN (worst case scenario), RM 300 sebulan yang anda laburkan tadi akan LEBUR!

3) PERLINDUNGAN

Apabila disebut tentang perlindungan di sini ia adalah merujuk kepada takaful, dan produk takaful yang dimaksudkan adalah takaful pendidikan.

Jika saudara/i mampu membuat SIMPANAN dengan berdisiplin, atau bijak membuat PELABURAN yang menjanjikan pulangan yang tinggi, ia sudah tentu akan terganggu apabila berlaku perkara-perkara yang tidak diingini.

Sejauh mana kita mampu menjamin bahawasanya kita mampu untuk membuat SIMPANAN atau PELABURAN sebanyak RM 300 sebulan selama 17 tahun?

Sudah tentu perancangan tersebut akan tergendala sekiranya berlaku kematian, lumpuh atau sakit kritikal.

Jadi, di sinilah fungsi takaful.

Secara perkiraan matematik, memang “SIMPANAN” di dalam polisi takaful tidak akan mampu menyaingi pulangan di dalam akaun simpanan tetap bank atau mana-mana pelaburan.

RM 300 sebulan selama 17 tahun di dalam instrumen PELABURAN dan instrumen SIMPANAN menghasilkan pulangan yang jauh lebih tinggi daripada pulangan di dalam instrumen PERLINDUNGAN / TAKAFUL.

Namun, yang membezakan fungsi PERLINDUNGAN a.k.a takaful pendidikan tadi adalah jaminan RM 300.00 sebulan tadi akan berterusan sekalipun hayat kita untuk menyimpan tidak lama (dengan syarat, simpanan tersebut berterusan sebelum berlaku musibah)

Sebagai contoh, sekiranya caruman sebanyak RM 300 tadi dibuat ke dalam polisi takaful pendidikan, maka caruman tersebut akan berterusan sekalipun berlaku kematian, lumpuh atau sakit kritikal menimpa diri kita. Inilah perbezaan utama antara TAKAFUL PENDIDIKAN dengan SIMPANAN PENDIDIKAN dan PELABURAN PENDIDIKAN.

Dalam masa sama, ia juga turut memberi PERLINDUNGAN kepada si anak sekiranya berlaku sebarang musibah.

Dan satu lagi, takaful pendidikan akan memberi sedikit “paksaan” kepada kita untuk membuat pembayaran caruman secara rutin.

Jadi, mana satu pilihan saudara/i?

Saya memilih untuk menggunakan kesemua instrumen. Bukankah tidak elok untuk letakkan semua telur dalam satu bakul? 🙂

(mungkin bersambung lagi)

 

............................................................
Buku FIRE
Buku F.I.R.E - FINANCIAL INDEPENDENCE RETIRE EARLY
RM49.00
Harga termasuk kos penghantaran

www.BukuFIRE.com

5 Comments
  1. Avatar

Apa komen Saudara/anda tentang tulisan ini?

Recommended
Tips: Bagaimana Untuk Menyimpan? (1) https://www.afyan.com “Bagaimana mula menyimpan?” soalan…