fbpx

Keputusan Forex Diputuskan Selepas Kajian Mendalam Malah Pengkaji Sudah Pun Menjalankan Sendiri Urusniaga Forex

  • 3 years ago
  • 5Minutes
  • 885Words
  • 1483Views

Keputusan forex diputuskan selepas kajain mendalam malah pengkaji sudah pun menjalankan sendiri urusniaga forex.

Baca tulisan Dr Lokmanulhakim Hussain ini. Kajian beliau dan team ISRA sangat detail. Baca di sini.

Saya petik sedikit tulisan beliau:

12 tahun yang lalu sekitar tahun 2008, sewaktu saya masih belajar di Universiti Islam Madinah di peringkat Masters, seorang sahabat bertanya saya tentang hukum trading FOREX yang pada masa itu mula rancak menjadi salah satu kaedah pelaburan.

Saya tidak dapat menjawabnya kerana tidak ada kefahaman yang sejelasnya bagaimanakah FOREX trading dijalankan. Saya hanya mengatakan ia mesti menepati hukum-hakam al-sarf. Soal adakah online FOREX trading menepati hukum-hakam al-sarf, saya tidak tahu.

Bertitik tolak daripada soalan tersebut, keinginan saya sangat kuat untuk mengetahui hukum dan fatwa ulama berkenaan FOREX. Hasil carian hukum dan fatwa tentang online FOREX pada masa itu, di laman-laman web termasuk yang berpengkalan di negara-negara Arab tidak menjawab sepenuhnya persoalan saya, kerana kebanyakannya menghukum bahawa ia mesti menepati al-sarf dan mesti berlaku on the spot, tetapi tidak membincangkan secara teknikal bagaimana syarat-syarat tersebut boleh dipenuhi atau tidak dalam konteks online FOREX trading.

Pada masa itu (tahun 2008) setakat carian saya, belum ada lagi kajian-kajian akademik atau tulisan jurnal yang mengkaji dari aspek teknikal dan hukum fiqah secara komprehensif berkenaan online FOREX.

Satu kaedah fiqah menyebut, “Penentuan hukum terhadap sesuatu perkara adalah furuk kepada mengetahui gambaran perkara tersebut”. Dalam konteks FOREX, sebelum menetapkan hukum dan fatwanya, kita mesti tahu secara jelas dan nyata bagaimana ia dijalankan.

Dengan keterbatasan rujukan berkenaan teknikaliti online FOREX dan tidak ada kenalan atau guru yang pernah terlibat dalam FOREX, saya memberanikan diri untuk belajar sendiri apa itu online FOREX dan bagaimana ia dioperasikan.

Saya mula melakukan carian dan pembacaan yang agak mendalam tentang online FOREX, donwload sendiri aplikasi FOREX trading sama ada yang menggunakan streamster ataupun Meta Trader 4 yang masyhur pada masa itu. Saya juga membaca Terms and Conditions beberapa platform FOREX yang terkenal pada masa itu. Saya juga mula mempelajari segala teknikaliti untuk seseorang trading FOREX, bermula dengan register dengan platform, mengenali currency pairs yang ditawarkan, bagaimana untuk trading, apa itu open position, close position, short position, long position, stop loss, margin call, leverage dan semua istilah-istilah trading.

Saya juga mempelajari bagaimana menganalisis pergerakan harga matawang, menggunakan analisis teknikal dengan melihat bentuk dan design graf matawang, untuk mengandaikan bilakah masa sesuai untuk open position dan close position. Juga mempelajari apa itu support dan resistant dalam graf.

Saya juga mempelajari bagaimana menganalisis pergerakan matawang menggunakan analisis fundamental dengan melihat kepada berita-berita ekonomi. Saya dapat menyaksikan sendiri bagaimana G7 Meeting boleh memberi kesan kepada graf matawang negara yang terlibat.

Saya kemudian mula melakukan FOREX trading secara virtual tanpa menggunakan wang yang sebenar, tetapi menggunakan virtual money yang disediakan oleh kebanyakan platform-platform FOREX untuk tujuan mempelajari teknikaliti FOREX trading.

Trading secara virtual masih belum memberikan pengalaman FOREX yang sebenar kepada saya kerana saya tidak dapat gambaran sebenar bagaimana wang kita didepositkan, bagaimana dimasukkan ke dalam platform, bagaimana ia digandakan dengan leveraging, dan bagaimana ia boleh dikeluarkan.Saya mula bertanya adakah saya perlu trading FOREX secara real?

Pada masa itu (tahun 2008-2009), belum ada fatwa kebangsaan tentang FOREX trading secara online. Yang ada hanya pandangan-pandangan peribadi beberapa ilmuan di tanahair, dan fatwa sebuah negeri yang menyebut berkenaan dengan FOREX secara umum.

Maka dengan tujuan untuk belajar, dan tanpa ada fatwa yang jelas berkenaan dengan FOREX pada masa itu, saya mencuba melakukan FOREX trading secara real walaupun tidak menggunakan modal yang sangat besar.

Dengan itu, saya dapat mengetahui sendiri bagaimana proses deposit, proses leveraging daripada modal kita, bagaimana trading berlaku, bagaimana matawang yang kita beli berada dalam keadaan floating, bagaimana keuntungan dan kerugian boleh berlaku, apa caj-caj yang terlibat, bagaimana withdrawal wang kita dijalankan, dan segala teknikaliti seseorang trader FOREX lalui.

Setelah saya pulang ke Malaysia dan join ISRA, pada tahun 2011 saya dimasukkan dalam satu projek kajian berkenaan dengan FOREX trading. Dengan pengalaman dan pengetahuan saya tentang teknikaliti FOREX trading, dan kepakaran penyelidik-penyelidik ISRA yang terlibat, kami telah menyediakan kertas kajian bertajuk “Operasi Perdagangan Pertukaran Matawang Asing oleh Individu Secara Lani (Individual Spot Forex) Melalui Platform Elektronik: Satu Sorotan Dari Sudut Syariah”. Ketika kajian dibuat, kami juga menjemput pakar FOREX yang pernah bekerja di platform broker FOREX untuk mendapat gambaran yang lebih jelas berkenaan operasi FOREX.

Kertas tersebut dibentangkan di Muzakarah Ahli-ahli Penasihat Syariah Institusi Kewangan Islam Malaysia ke-7, pada 31 May 2011, bersama dua lagi kertas yang disediakan oleh kumpulan penyelidik daripada Universiti. Resolusi Muzakarah tersebut memutuskan bahawa online FOREX trading adalah TIDAK PATUH SYARIAH.

Pada 14 Februari 2012, saya bersama Prof Dr Ashraf Hashim membentangkan kajian FOREX di Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Kali ke-98, dan Muzakarah sebulat suara memutuskan bahawa FOREX trading secara online adalah HARAM.

Sejak daripada itu, saya banyak terlibat dalam roadshow di seluruh negara bersama JAKIM untuk menjelaskan berkenaan dengan hukum FOREX. Ketika itu saya kerap didatangi oleh trader-trader FOREX yang pada awalnya menganggap fatwa FOREX dibuat oleh mereka yang tidak faham apa itu FOREX. Tetapi apabila saya berbincang dengan mereka dengan level bahasa sebagai Forex trader, baru lah mereka akur bahawa ia bukan fatwa yang diputuskan tanpa gambaran yang sebenar.

Bagi mereka yang masih terlibat dalam FOREX, saya nasihatkan supaya akur kepada keputusan fatwa, dan boleh cuba baca kajian yang dibuat oleh ISRA yang menjadi asas kepada keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan.

Baca laporan kajian detail di sini

Sumber dari FB Page Afyan Mat Rawi

............................................................
Buku FIRE
Buku F.I.R.E - FINANCIAL INDEPENDENCE RETIRE EARLY
RM49.00
Harga termasuk kos penghantaran

www.BukuFIRE.com

Apa komen Saudara/anda tentang tulisan ini?

Recommended
Selepas saya mempromosi e-wallet MAE sejak minggu lepas, ada yang…